Sakit Dada Sebelah Kiri – Punca, Simptom & Rawatan Yang Sesuai

sakit dada sebelah kiri
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sakit dada sebelah kiri adalah salah satu gejala yang sering menimbulkan kebimbangan kerana ia sering dikaitkan dengan masalah jantung.

Walau bagaimanapun, punca sakit ini boleh jadi pelbagai, termasuk masalah paru-paru, pencernaan, otot, atau faktor psikologi. Sifat sakit ini mungkin berbeza-beza dari segi intensiti, tempoh, dan lokasinya.

Justeru, artikel ini ditulis untuk memudahkan anda untuk memahami punca dan gejala sakit dada sebelah kiri bagi mengenal pasti rawatan yang sesuai dapat diberikan.

Baca juga:

Apa itu Sakit Dada Sebelah Kiri?

Sakit dada sebelah kiri

Sakit dada sebelah kiri merujuk kepada rasa tidak selesa, sakit, atau tekanan yang dirasai di bahagian kiri dada. Ia boleh muncul secara tiba-tiba atau perlahan-lahan bergantung kepada puncanya.

Sakit ini mungkin bersifat tajam, mencucuk, berdenyut, atau seperti tekanan yang menekan dada. Walaupun ia sering dikaitkan dengan jantung, organ lain seperti paru-paru, otot, dan saluran pencernaan juga boleh menjadi penyebab.

Dalam kes tertentu, sakit ini juga mungkin berpunca daripada faktor psikologi seperti tekanan atau serangan panik.

Penyebab Sakit Dada Sebelah Kiri

Punca sakit dada sebelah kiri sangat pelbagai dan boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan utama:

1. Angina (Sakit Dada Akibat Jantung)

Angina sering menjadi punca penyakit jantung koronari, tetapi ia juga boleh disebabkan oleh masalah jantung lain. Kesakitan dan ketidakselesaan biasanya melibatkan lengan kiri, bahu kiri, leher kiri, dan rahang kiri. Anda juga mungkin akan merasakan ketidakselesaan di bahagian belakang.

2. Serangan Jantung

Beberapa serangan jantung bermula dengan sakit dada ringan yang semakin teruk secara perlahan. Ada juga yang bermula secara mendadak dengan rasa sakit yang kuat di bahagian tengah atau kiri dada.

3. Myokarditis

Keadaan ini boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular akibat keradangan pada otot jantung. Doktor sering tidak dapat mengenal pasti punca, tetapi jika ada, ia biasanya disebabkan oleh jangkitan virus.

4. Kardiomiopati

Penyakit ini melibatkan otot jantung yang lemah atau pembesaran jantung. Ia boleh berlaku tanpa gejala, tetapi juga boleh menyebabkan sakit dada.

5. Perikarditis

Keradangan pada lapisan sekeliling jantung ini boleh menyebabkan sakit tajam di bahagian kiri atau tengah dada. Anda juga mungkin merasa sakit di salah satu atau kedua-dua bahu. Perikarditis boleh berlaku akibat jangkitan, pembedahan jantung, serangan jantung, kecederaan, atau kesan ubat.

6. Serangan Panik

Berlaku secara tiba-tiba dan biasanya memuncak dalam masa 10 minit. Kesakitan dada, sesak dada, dan gejala lain boleh menyerupai serangan jantung.

7. Penyakit Refluks Gastroesofagus (GERD)

GERD boleh menyebabkan pedih ulu hati dan refluks asid. Simptomnya termasuk sensasi terbakar di bahagia atas perut dan dada.

8. Hernia Hiatal

Berlaku apabila bahagian atas perut menekan otot besar antara abdomen dan dada (diafragma). Simptomnya termasuk sakit dada.

9. Masalah Esofagus

Ini termasuk kekejangan otot, keradangan (esofagitis), atau pecah pada esofagus yang boleh menyebabkan sakit dada.

10. Kecederaan Otot atau Dinding Dada

Sakit dada boleh berlaku akibat otot yang ditarik tegang, atau terseliuh di dada atau antara tulang rusuk. Jika anda mengesyaki patah tulang, segera berjumpa doktor. Proses penyembuhan boleh mengambil masa kira-kira 10 minggu atau lebih lama, dan aktiviti berat perlu dielakkan sementara waktu.

11. Paru-Paru Runtuh (Pneumothorax

Keadaan ini boleh berlaku akibat penyakit atau trauma pada dada, menyebabkan rasa sakit tajam yang mendadak di salah satu bahagian dada.

12. Pneumonia

Menyebabkan sakit dada yang tajam atau seperti ditikam, yang menjadi lebih teruk apabila menarik nafas dalam atau batuk. Biasanya berlaku selepas penyakit pernafasan seperti bronkitis atau influenza.

13. Kanser Paru-Paru

Sakit dada boleh menjadi salah satu gejala kanser paru-paru, walaupun simptom biasanya tidak muncul pada peringkat awal. Diagnosis awal meningkatkan peluang rawatan yang berjaya.

14. Hipertensi Pulmonari

Tekanan darah tinggi di paru-paru boleh menyebabkan sakit dada bersama simptom lain.

15. Emboli Paru-Paru (PE)

Gumpalan darah di paru-paru menyebabkan sakit dada mendadak yang tajam. Ini adalah kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan segera.

16. Diseksi Aorta

Berlaku apabila tekanan atau kelemahan pada aorta menyebabkan pecahan pada dindingnya, membolehkan darah bocor ke bahagian badan lain. Keadaan ini mengancam nyawa dan memerlukan rawatan perubatan kecemasan.

Simptom & Gejala

Sakit dada sebelah kiri boleh hadir dengan pelbagai jenis simptom bergantung kepada punca asasnya. Berikut adalah beberapa tanda yang sering dikaitkan dengan sakit ini:

  • Kesakitan Tajam atau Menekan: Tekanan berat atau sakit mencucuk di dada.
  • Sakit Menjalar: Merebak ke lengan kiri, bahu, leher, rahang, atau belakang.
  • Sesak Nafas: Sukar bernafas atau rasa seperti tidak cukup udara.
  • Degupan Jantung Tidak Normal: Laju, perlahan, atau tidak sekata.
  • Peluh Berlebihan: Berpeluh sejuk tanpa sebab yang jelas.
  • Sensasi Terbakar: Rasa pedih atau terbakar di dada atau perut atas.
  • Kesakitan Semasa Pergerakan: Bertambah sakit semasa batuk atau bergerak.
  • Mual atau Muntah: Rasa loya yang sering berlaku bersama sakit dada.
  • Batuk atau Demam: Mungkin disertai sakit dada akibat jangkitan paru-paru.
  • Pening atau Pengsan: Rasa pening atau kehilangan kesedaran secara tiba-tiba.

Rawatan Yang Sesuai

Rawatan bagi sakit dada sebelah kiri bergantung kepada punca utama masalah tersebut:

1. Kesakitan Saluran Pencernaan seperti GERD

Rawatan biasanya melibatkan pengguaan ubat seperti proton pump inhibitors, H2 blockers, dan agen penggalak pergerakan (promotility agents) untuk mengurangkan asid perut dan meningkatkan fungsi pencernaan.

2. Perikarditis atau Pleurisi

Jika keradangan disebabkan oleh jangkitan bakteria, doktor mungkin akan memberikan antibiotik. Selain itu, pesakit dinasihatkan untuk berehat sepenuhnya bagi membolehkan tisu yang meradang pulih.

3. Pneumothorax dan Pecah Esofagus

Dalam kes seperti ini, pembedahan mungkin diperlukan untuk merawat masalah paru-paru (pneumothorax) atau esofagus yang pecah. Rawatan segera sangat penting bagi mengelakkan komplikasi serius.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Anda perlu segera berjumpa doktor jika sakit dada sebelah kiri disertai dengan gejala serius seperti sesak nafas, berpeluh sejuk, muntah, atau sakit yang menjalar ke bahu, lengan, atau rahang.

Jika sakit dada terasa semakin teruk atau tidak hilang selepas berehat, ia mungkin menunjukkan masalah yang serius seperti serangan jantug. Jangan abaikan tanda-tanda ini kerana diagnosis awal boleh menyelamatkan nyawa.

Kesimpulan

Kesimpulannya, sakit dada sebelah kiri boleh berpunca daripada pelbagai sebab termasuk masalah jantung, paru-paru, pencernaan, otot, atau faktor psikologi. Walaupun sesetengah keadaan mungkin tidak berbahaya, ada juga yang boleh mengancam nyawa.

Oleh itu, memahami punca, simptom, dan rawatan yang sesuai adalah penting. Jika anda mengalami sakit dada yang mencurigakan, jangan berlengah untuk mendapatkan rawatan perubatan bagi memastikan kesihatan anda terjaga.

Sumber:

  1. Is Your Chest Pain a Sign of a Heart Attack, or Something Else? (2017). UNC Health
  2. Johnson, K, et al. (2022). Chest pain. National Center for Biotechnology Information
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut