Buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur. Ia boleh memberi masalah apabila ia menjadi bengkak atau keradangan. Apakah punca buasir dan cara untuk tanganinya?
Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Pengenalan
Buasir atau dikenali juga sebagai hemorrhoids terjadi apabila salur darah yang berdekatan dengan dubur menjadi bengkak.
Buasir boleh diklasifikasikan kepada dua kategori bergantung kepada lokasinya iaitu buasir luaran atau buasir dalaman. Antara gejala buasir yang biasa dialami oleh pesakit adalah lendir yang mengalir daripada buasir, bengkak, gatal, berdarah atau sakit semasa membuang air besar, ketidakselesaan serta panas atau pedih pada dubur.
Jenis Buasir dan Tahapnya
Terdapat 2 jenis buasir yang boleh berlaku iaitu buasir dalaman dan luaran.
Buasir dalaman (Internal hemorrhoid) – pembengkakan saluran darah berlaku di bahagian dalam lapisan rektum.
Biasanya, pesakit mengadu berlakunya pendarahan selepas membuang air besar namun tiada rasa sakit.
Ada juga pesakit yang mengadu bahawa terasa seperti ‘sesuatu’ yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar.
Buasir luaran (External hemorrhoid) – saluran darah bengkak yang berlaku di bahagian luar rektum dan bawah kulit di dubur.
Biasanya, pesakit akan mengadu rasa pedih, panas atau mempunyai pendarahan semasa hendak membuang air besar.
Kesakitan ini turut berlaku disebabkan saluran darah tersumbat oleh darah beku.
Tahap Buasir
- Tahap pertama – unjuran dalaman yang berdarah
- Tahap kedua – benjolan di dubur yang keluar selepas buang air besar, dan kemudian hilang begitu sahaja
- Tahap ketiga – benjolan di dubur yang keluar setelah buang air besar tetapi perlu ditolak masuk oleh jari ke dalam dubur
- Tahap keempat – benjolan yang tidak dapat ditolak masuk ke dubur
Punca Buasir dan Faktor Risiko
Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan kejadian buasir. Pada awalnya, pengkaji merumuskan tabiat, sikap, adat, kehidupan sedentari dapat mempengaruhi kejadian buasir.
Hasil kajian terkemudian mendapati kelemahan graviti pada dinding pembuluh darah, kehamilan, sembelit, duduk lama di dalam tandas, pengaruh genetik dan meneran semasa membuang air besar juga boleh menyebabkan berlakunya buasir.
Punca buasir atau faktor risikonya berkait rapat dengan keadaan yang mengakibatkan penambahan tekanan kepada saluran darah di rektum atau dubur seperti :
Kehamilan
Janin yang membesar boleh menyebabkan tekanan pada bahagian dubur
Cirit-Birit
Individu yang mengalami cirit-birit kronik juga cenderung untuk alami buasir.
Hubungan Kelamin Melalui Dubur
Aktiviti seksual yang melibatkan dubur juga boleh mendedahkan seseorang kepada masalah buasir.
Angkat Berat
Aktiviti mengangkat objek berat berulang kali boleh mengakibatkan tekanan kepada saluran darah di dubur sehingga menyebabkan buasir.
Diet Kurang Serat
Individu yang kurang mengambil serat dalam diet harian cenderung untuk alami buasir.
Makanan Pedas Melampau
Selain itu, makanan pedas melampau boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan. Pengambilan cili secara berlebihan akan memberi kesan tidak baik terhadap kesihatan terutamanya sistem penghadaman dan boleh menjadi salah satu punca buasir.
Genetik
Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah alami buasir juga cenderung untuk turut alaminya.
Duduk Terlalu Lama di Tandas
Penggunaan tandas duduk pada jangka masa yang lama boleh memberikan risiko buasir yang lebih tinggi berbanding tandas cangkung.
Ini disebabkan oleh posisi duduk yang lama semasa membuang air besar boleh memberi tekanan yang lebih kepada saluran darah di dubur berbanding penggunaan tandas cangkung.
Cara Mencegah Buasir & Punca Yang Menjadi Petanda Awal
Terdapat beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan buasir serta mengurangkan simptomnya iaitu :
Elakkan Sembelit
- Pastikan anda lebihkan pengambilan makanan yang tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan bijirin. Sekiranya ingin makan roti dan bijirin, pilihla yang mengandungi bijirin penuh.
- Lebihkan pengambilan air kosong, sebaiknya 8 gelas sehari. Anda juga boleh campurkan air kosong dengan chia seed untuk tingkatkan pengambilan serat harian.
- Elakkan pengambilan julap yang boleh menyebabkan cirit-birit sehingga boleh membuatkan masalah buasir lebih teruk. Sekiranya perlu, anda boleh mengambil julap yang mengandungi serat yang tinggi seperti Fybogel yang bertujuan untuk mengelakkan sembelit.
Kurangkan Rasa Sakit Pada Dubur
Terdapat pelbagai cara untuk kurangkan rasa sakit antaranya :
- Mandi dengan air suam
- Ambil pil tahan sakit seperti aspirin, ibuprofen atau paracetamol.
- Sekiranya terdapat pembengkakan, anda boleh gunakan ais untuk surutkan bengkak atau duduk di dalam besen berisi garam.
- Anda juga boleh gunakan produk krim sapuan atau supisotori yang berada di pasaran untuk merawat buasir.
NOTA:
Kerap kali, buasir akan hilang dengan sendiri ataupun dengan rawatan yang minimum. Namun begitu, komplikasi yang mungkin timbul daripada penyakit buasir adalah seperti thrombosis (darah beku di dalam salur darah), jangkitan kuman, ulser, bernanah dan hilang kawalan terhadap pembuangan najis.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Kebiasaannya, buasir boleh hilang dengan mengamalkan langkah pencegahan seperti dinyatakan di atas.
Walau bagaimanapun, anda perlu dapatkan nasihat doktor sekiranya ia berterusan dan mengganggu aktiviti harian anda.
Doktor akan mendiagnos masalah dan mencadangkan rawatan yang sesuai dengan tahap buasir yang berlaku.
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia, myhealth.gov.my, Root Of Science