Pulau Mengalum, Sabah – Tarikan Utama & Aktiviti Menarik

pulau mengalum
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Pulau Mengalum – Tarikan Utama & Aktiviti Menarik

Apabila bercakap mengenai Sabah, ramai yang terbayang keindahan negeri ini serta tarikannya yang pelbagai. Salah satu tarikan yang tidak boleh dilepaskan di negeri bawah bayu ini ialah pulau-pulaunya indah dan menakjubkan. 

Untuk pengetahuan anda, ada satu pulau yang dikenali sebagai Pulau Mengalum yang masih kurang diketahui ramai, tetapi menawarkan keindahan semula jadi yang luar biasa. 

Nak tahu lebih lanjut? 

Jom baca perkongsian di bawah mengenai pulau ini termasuklah aktiviti menarik dan tarikan utama serta kemudahan yang disediakan.

BACA JUGA: 15+ Tempat Menarik Di Kota Kinabalu, Wajib Pergi Bila Datang Sabah!

Pulau Mengalum 

Pulau Mengalum adalah salah satu destinasi menarik di Sabah yang wajib dikunjungi. Pulau ini seterkenal pulau-pulau lain di Sabah seperti Pulau Mabul, Sipada dan sebagainya, namun, ia menawarkan keindahan alam yang pasti akan membuatkan pengunjung terpukau. 

Dengan keindahan pantainya yang masih lagi terjaga dan ekosistem lautnya yang kaya, Pulau Mengalum adalah pilihan destinasi yang ideal untuk pengunjung yang mencari ketenangan sambil menikmati keindahan alam semula jadi. 

Sumber: Sabah Travel Guide

Selain itu, pulau ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan bagi sesiapa yang berkunjung ke sini. Dikelilingi oleh terumbu karang yang cantik, Pulau Mengalum adalah syurga bagi para penyelam dan penggemar aktiviti air. 

Meskipun belum dikomersialkan secara meluas, Pulau Mengalum memberikan pengalaman autentik dan mendalam bagi mereka yang ingin merasai keindahan alam semula jadi yang asli.

Lokasi & Cara Akses

Pulau Mengalum terletak di perairan Laut Sulu, adalah salah satu destinasi pulau yang menakjubkan di negeri Sabah. Lebih kurang  56 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah. 

Untuk ke Pulau Mengalum, perjalanan akan dimulakan dari Terminal Feri Jesselton Point Waterfront di pusat bandar Kota Kinabalu ke Pulau Mengalum dengan menggunakan bot. Pelayaran ke pulau ini mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit. 

Anda boleh menyewa bot atau memilih pakej pelancongan yang merangkumi pengangkutan, makan tengah hari, dan sesi snorkeling (atau aktiviti lain). Pastikan anda membuat tempahan awal untuk mengelakkan tempahan anda ditolak. 

Tarikan Utama & Aktiviti Menarik di Pulau Mengalum

Pulau Mengalum menawarkan pelbagai tarikan menarik yang menjadikannya destinasi pilihan bagi pelancong yang menggemari aktiviti air dan keindahan alam semula jadi. Berikut ialah antara tarikan utama dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di pulau ini:

1. Pantai Putih yang Bersih

Salah satu tarikan utama Pulau Mengalum adalah pasir pantainya yang putih bersih, halus, dan lembut di kaki. Ini menjadikan pulau ini lokasi yang ideal untuk bersantai sambil menikmati keindahan panorama laut. 

Sumber: Pakej Bajet Sabah 

Angin sepoi-sepoi dan bunyi ombak yang menghempas pinggir pantai mencipta suasana yang menenangkan. Hilang semua bebanan dan keresahan dalam diri. Cewah. Memang sesuai sangat untuk mereka yang ingin melarikan diri dari hiruk-pikuk kota. 

2.  Mengalum Anchor

Mengalum Anchor juga antara tarikan utama di pulau ini. Ia adalah sebuah sauh bersejarah yang menjadi ikon pulau ini. Pengunjung boleh melihat dan mengambil gambar dengan sauh ini untuk dijadikan kenang-kenangan. 

Terdapat dua versi cerita mengenai asal-usul sauh ini. Ada yang mengatakan ia ditinggalkan oleh Ferdinand Magellan, manakala ada juga cerita yang mengatakan ia berasal daripada bot memancing yang karam. 

3. Aktiviti Snorkeling

Seterusnya, aktiviti snorkeling juga salah satu tarikan dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Pulau Mengalum. 

Air lautnya yang jernih membolehkan anda menikmati pemandangan bawah laut yang sangat memukau. Anda boleh melihat keindahan terumbu karang yang berwarna-warni dan pelbagai spesies ikan tropika, termasuk ikan badut (clownfish) dan parrotfish. Seronok sangat!

Sumber: KKday

Aktiviti ini sesuai untuk semua peringkat umur dan kemahiran, menjadikannya pilihan popular dalam kalangan pengunjung. Alatan snorkeling boleh disewa di pulau ini, dan beberapa kawasan snorkeling juga mempunyai jurulatih profesional untuk membantu sesiapa yang pertama kali atau pemula.

4. Selam Skuba (Scuba Diving)

Bagi penyelam berpengalaman, Pulau Mengalum menawarkan pengalaman menyelam yang mengagumkan. Kedalaman laut di sekitar pulau ini menempatkan pelbagai spesies marin seperti penyu laut, ikan pari, dan barracuda. 

Salah satu tapak selam yang popular adalah “Mengalum Reef,” di mana terumbu karang yang masih tidak terusik menjadi rumah kepada kehidupan marin yang jarang ditemui. Pengunjung yang tidak mempunyai lesen menyelam juga boleh mengambil kursus asas di pulau ini sebelum mencuba aktiviti ini. 

5.  Aktiviti Memancing 

Pulau Mengalum sangat popular dalam kalangan kaki pancing. Kawasan perairan di sekitar pulau ini kaya dengan pelbagai jenis ikan, menjadikannya syurga bagi mereka yang suka memancing,

Pengunjung boleh menyewa bot dan peralatan memancing untuk menikmati pengalaman memancing di laut dalam pulau ini. 

6. Meneroka Sekitar Pulau

Bentuk Pulau Mengalum yang unik seperti donut menjadikannya menarik untuk diteroka. Pengunjung boleh berjalan kaki mengelilingi pulau untuk menikmati pemandangan pantai dan hutan tropika di pulau ini. Sepanjang perjalanan, anda boleh menemui pelbagai jenis flora dan fauna tempatan yang menarik. 

Sumber: Trip Advisor

Terdapat juga laluan berjalan kaki (track) yang disediakan untuk memudahkan pengunjung meneroka sekitar pulau. Aktiviti ini sangat sesuai untuk mereka yang sukakan alam semula jadi dan ingin menikmati udara segar sambil bersenam ringan.

7. Menyaksikan Pemandangan Matahari Terbenam

Pulau Mengalum adalah salah satu lokasi terbaik di Sabah untuk menyaksikan matahari terbenam yang menakjubkan. Momen indah ini memang tidak boleh dilepaskan. 

Anda boleh memilih untuk duduk di pantai sambil menikmati santapan ringan dan mengambil gambar kenangan.

8. Spot Fotografi Alam Semula Jadi

Keindahan semula jadi Pulau Mengalum menjadikannya lokasi ideal untuk fotografi, terutama bagi pencinta alam dan fotografi landskap. 

Sumber: Pakej Bajet Sabah 

Daripada pemandangan pantai yang indah, kehidupan marin yang pelbagai sehinggalah ke pemandangan matahari terbit dan terbenam yang memukau, pulau ini menawarkan banyak sudut menarik untuk diabadikan.

Kemudahan dan Perkhidmatan di Pulau Mengalum

Pulau Mengalum menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang memastikan pengunjung dapat menikmati pengalaman yang selesa dan menyeronokkan. Antara kemudahan yang disediakan ialah:

1. Penginapan di Resort

Pulau ini menawarkan beberapa pilihan penginapan di resort yang menawarkan pemandangan laut yang menakjubkan.

Resort-resort ini menyediakan bilik-bilik yang luas dan dilengkapi dengan kemudahan moden. Pengunjung boleh menikmati pemandangan laut yang menakjubkan dari bilik mereka. 

Kebanyakan resort juga menawarkan perkhidmatan spa, kolam renang, dan restoran yang menyajikan hidangan tempatan dan antarabangsa

2. Perkhidmatan Bot

Terdapat pelbagai perkhidmatan bot yang disediakan untuk membawa pengunjung ke dan dari Pulau Mengalum. Pengunjung juga boleh menyewa bot untuk aktiviti lawatan sekitar pulau atau untuk ke pulau berdekatan.

Sumber: Flickr

3. Restoran Makanan Laut Segar

Pengunjung juga boleh menikmati hidangan makanan laut segar yang disediakan oleh restoran-restoran yang ada di pulau ini. Makanan laut tempatan yang lazat dan segar di sini adalah merupakan salah satu tarikan utama bagi sesiapa yang berkunjung ke sini.

4. Peralatan Snorkeling, Memancing dan Bot

Pulau Mengalum menyediakan perkhidmatan penyewaan peralatan snorkeling untuk pengunjung yang ingin meneroka kehidupan marin di sekitar pulau. 

Pengunjung boleh menyewa bot untuk aktiviti memancing di laut dalam. Peralatan memancing seperti joran, reel, dan umpan juga disediakan. Pemandu tempatan yang berpengalaman boleh disewa untuk membawa pengunjung ke lokasi memancing yang terbaik di sekitar pulau

Cara Membeli Tiket untuk Pulau Mengalum Melalui KLOOK

Untuk membeli tiket ke Pulau Mengalum, anda boleh melakukannya dengan mudah melalui platform dalam talian seperti KLOOK. 

Klook.com

KLOOK menawarkan pakej lawatan yang lengkap, termasuk tiket bot, aktiviti seperti snorkeling, dan penginapan jika perlu. 

Anda hanya perlu memilih tarikh lawatan, memilih pakej yang sesuai dengan keperluan anda, dan melakukan tempahan dalam talian. 

Pembayaran juga boleh dibuat dengan mudah menggunakan pelbagai kaedah pembayaran yang tersedia.

Penutup

Pulau Mengalum di Sabah bukan sekadar destinasi percutian biasa, tetapi sebuah permata tersembunyi yang menawarkan pengalaman alam semula jadi yang luar biasa. 

Dengan aktiviti menarik, pemandangan yang menakjubkan, dan kemudahan yang disediakan, ia adalah destinasi percutian yang wajib dikunjungi. 

Tunggu apa lagi, jomlah rancang percutian ke Pulau Mengalum sekarang untuk menikmati pengalaman percutian yang penuh dengan kenangan indah. 

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut