Pulau Besar yang terletak di Melaka dahulu lebih sinonim sebagai lokasi mistik dan sarat dengan aktiviti berunsur khurarat.
Mana tidaknya, pulau ini sebelumnya pernah memiliki pelbagai gelaran termasuk ‘Pulau Syirik’ dan ‘Pulau Keramat’ oleh sesetengah orang.
Pulau Besar juga terkenal sebagai lokasi salah seorang wali iaitu Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail dan seorang agamawan iaitu Syarifah Rodziah.
Di sekeliling kawasan makan, terdapat papan kenyataan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melakukan perkara khurafat di sekitar perkuburan.
Kerajaan negeri melalui MAIM dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga telah membanteras aktiviti khurafat dan syirik di pulau ini bagi memastikan pulau ini dijaga dengan baik dan tidak disalah guna sesetengah pihak.
Walau bagaimanapun, Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) telah memberi nafas baharu kepada pulau ini dan telah dijenamakan sebagai salah satu pusat peranginan di bumi bersejarah itu.
Sejak beberapa tahun ini, ia turut menjadi kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Tiga buah pulau berdekatan Pulau Besar iaitu Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka juga telah diisytiharkan sebagai Taman Laut Malaysia.
Aktiviti Menarik di Pulau Besar Melaka
Seperti kebanyakan pantai lain, Pulau Besar sering meriah dengan kunjungan orang ramai untuk bersantai dan berkhemah.
Selain bermandi-manda di pantai, terdapat juga beberapa aktiviti menarik yang ditawarkan di pulau ini antaranya menaiki kayak, snorkelling dan bersiar-siar menaiki bot.
Pada masa yang sama, terdapat pelbagai aktiviti lasak ditawarkan kepada orang ramai di pantai Siring antaranya rock climbing, flying fox dan abseiling.
Jika ingin berehat dan isi perut, anda juga boleh singgah ke pelbagai kedai makan yang berada di sekitar pantai.
Lokasi dan Cara ke Pulau Besar
Pulau ini terletak kira-kira 27 km dari bandar Melaka dan berdekatan dengan Serkam serta Umbai.
Terdapat beberapa pulau kecil yang terletak berdekatan Pulau Besar, Melaka antaranya Pulau Lalang, Pulau Dodol, Pulau Nangka, Pulau Undan dan Pulau Serimbun.
Untuk ke pulau ini, orang ramai perlu menaiki bot dari Pantai Siring yang mengambil masa kira-kira 10 minit. Jangan risau, terdapat banyak servis bot yang sedia untuk menghantar pengunjung ke Pulau Besar.
Sesetengah pengusaha bot turut menawarkan beberapa jenis pakej untuk kemudahan pengunjung antaranya pakej bot dua hala, pakej island hopping dan pakej berkumpulan.
Untuk meneroka pulau ini, kami mencadangkan supaya anda datang pada awal pagi dan pulang pada waktu petang.
Pengunjung juga boleh bermalam di resort yang baru dibuka pada Januari 2024 iaitu Putera Island Resort.
Jika anda berkesempatan untuk ke Melaka dan ingin mencari kedamaian pantai, jangan lupa untuk singgah ke Pulau Besar, Melaka.
Ia pasti bakal memberikan kenangan unik yang tidak dapat dilupakan.
Sumber : Melaka Hari Ini (1), (2), Tourism Melaka, Astro Awani
Baca Juga : Floating Market Melaka : Tarikan, Lokasi, Waktu Operasi