Panduan Potong Kuku Secara Tertib Mengikut Sunnah

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sebagai umat Islam, kita pasti terarah untuk melakukan rutin penjagaan diri mengikut cara Rasulullah saw termasuklah potong kuku mengikut sunnah.

Tambahan pula, memotong kuku termasuk dalam salah satu sunnah fitrah. Perkara ini jelas dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.”

(Riwayat al-Bukhari (5550) dan Muslim (257))

Hadis ini juga menjadi bukti bahawa Islam sangat menganjurkan penganutnya supaya merapikan diri antaranya dengan cara memotong kuku.

Persoalannya, adakah hari khusus buat umat Islam dan cara sunnah untuk memotong kuku?

Adakah Hari Khusus Potong Kuku Ikut Sunnah?

Mengenai cara memotong kuku atau hari tertentu untuk melakukannya, sebenarnya tiada hadis yang benar-benar sahih berkenaannya.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi’in yang menunjukkan mereka memiliki kebiasaan memotong kuku pada hari Jumaat.

Antaranya :

  • Ibnu Umar R.Anhuma biasanya memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat. (Lihat al-Sunan Al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/244)
  • Daripada Ibrahim bahawa beliau menceritakan, “Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 2/65)
  • Muhammad bin Ibrahim al-Taimi (salah seorang tabi’in) berkata, “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya.” (Lihat al-Musannaf oleh Abd al-Razzaq, 3/197)

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, jelaslah bahawa perbuatan memotong kuku sangat digalakkan untuk dilakukan pada hari Jumaat.

Tambahan pula, hari Jumaat merupakan hari bagi kaum muslimin untuk berkumpul di masjid.

Oleh sebab itulah sebahagian sahabat Rasulullah saw dan sebahagian tabi’in memotong kuku mereka pada hari Jumaat. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 8/104)

Namun, sekiranya seseorang tidak sempat, seseorang boleh melakukannya pada bila-bila masa lapang. Akan tetapi, ia hendaklah tidak dibiarkan sehingga melebihi 40 hari.

Perkara ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik r.a :

وُقِّتَ لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَصَّ الشَّارِبِ ، وَتَقْلِيمَ الأَظْفَارِ ، وَحَلْقَ الْعَانَةِ ، وَنَتْفَ الْإِبْطِ ، لاَ يُتْرَكُ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ يَوْمًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW memberikan batasan waktu kepada kami untuk memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, dan mencukur bulu kemaluan, agar tidak dibiarkan lebih dari empat puluh hari.”

Riwayat Muslim (520), al-Tirmizi (2759) dan al-Nasa’ie (15)

Hal ini dilakukan agar tiada kotoran terperangkap di bawahnya dan supaya tiada apa-apa kotoran atau sesuatu yang menghalang masuknya air ketika berwudhuk dan mandi.

Cara Potong Kuku Mengikut Pendapat Para Ulama

Terdapat beberapa cara memotong kuku yang lazim dilakukan oleh para ulama yang boleh diikuti.

Ayuh kita semaknya bersama-sama.

Menurut Imam Nawawi, mulakan dengan tangan kanan dari jari telunjuk sampai jari kelingking. Kemudian, barulah potong kuku jari ibu. Untuk tangan kiri, mulakan dari jari kelingking sampai jari ibu.

potong kuku
Sumber : Facebook QuranHour

Menurut Imam al-Ghazali, pada tangan kanan, dimulakan dari jari telunjuk sampai jari kelingking.

Kemudian, sambung pada jari kelingking tangan kiri sehingga ke jari ibu tangan kiri dan diakhiri dengan jari ibu tangan kanan.

Untuk jari kaki pula, mulakan dengan jari kelingking kaki kanan dan akhiri dengan jari kelingking kaki kiri.

potong kuku
Sumber : Facebook Ustazah Asma’ Harun

Cara ini bukan sahaja afdal untuk diikuti kerana menjadi amalan para ulama, malah ia turut bersesuaian dengan rutin Rasulullah saw yang suka memulai sesuatu dengan sebelah kanan.

Daripada hadis oleh hadis oleh Aisyah r.a:

“Dahulu Rasulullah saw sangat senang mendahulukan sisi yang kanan dalam memakai selipar, bersikat, bersuci dan dalam semua urusannya (yang baik).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Memotong kuku secara teratur seperti yang diamalkan para sahabat dan ulama terdahulu mencerminkan keindahan Islam yang menitikberatkan kebersihan, kesempurnaan adab, dan ketaatan dalam perkara-perkara kecil sekalipun.

Secara umumnya, boleh disimpulkan bahawa tiada hari yang khusus untuk memotong kuku. Namun, adalah sangat digalakkan untuk melakukannya pada hari Jumaat.

Sumber : Portal Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Facebook Ustazah Asma’ Harun, Kosmo!, Facebook QuranHour

Baca Juga : Amalan Sunat Hari Jumaat – Infografik JAKIM

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut