Pickleball merupakan sukan raket yang sedang viral dan mendapat perhatian penggemar sukan di Malaysia.
Bagi yang pertama kali melihatnya, sukan ini mungkin mengingatkan anda pada tenis atau pingpong.
Disebabkan popularitinya yang semakin meningkat di serata dunia, sukan ini turut dipertimbangkan untuk dijadikan sebahagian daripada sukan Olimpik pada masa akan datang.
Disebabkan ia juga boleh dimain secara perseorangan atau beregu, pickle ball juga merupakan sukan yang baik untuk bersosial.
Mungkin sebab itulah banyak pusat atau kelab sukan yang turut menawarkan fasiliti gelanggang pickle ball untuk kegunaan orang ramai.
Tambahan pula, pelbagai pihak yang giat menganjurkan sukan ini sebagai program riadah sosial bagi semua peringkat usia.
Apakah Pickleball?
Sukan pickleball diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1965 oleh tiga orang rakan. Pada asalnya, ia dimainkan sebagai sukan riadah di perkarangan rumah.
Lama kelamaan, ia semakin terkenal di negara tersebut sehinggalah pada tahun 1990, sukan pickle ball telah dimainkan di semua 50 negeri.
Sukan ini menggabungkan elemen badminton, tenis dan pingpong dan dimainkan di atas gelanggang.
Sekali imbas, gelanggangnya berbentuk seperti gelanggang badminton namun saiznya lebih kecil dan jaringnya pula lebih rendah.
Raketnya pula diperbuat daripada kayu atau bahan komposit dan mempunyai pemegang kecil namun 2 ke 3 kali lebih besar daripada raket pingpong.
Bolanya pula agak ringan dan diperbuat daripada plastik berlubang.
Kenapa Sukan Pickeball Viral?
Walaupun sudah lama diperkenalkan di Amerika Syarikat, sukan ini pantas berkembang di negara lain termasuk Malaysia kerana kelebihan sukan itu sendiri. Antaranya ialah :
- Sesuai untuk pemula
- Melibatkan pergerakan yang lebih ringan berbanding tenis, squasy atau badminton
- Mudah untuk dipelajari dan peraturan lebih ringkas
- Tidak memerlukan latihan khusus atau masa yang lama untuk belajar
- Lebih kasual dan sesuai untuk semua peringkat usia
- Baik untuk melatih koordinasi, stamina, keseimbangan, kekuatan otot dan kesihatan jantung
Cara Main dan Peraturan Sukan Pickleball
- Lontaran Bola (Shots)
Terdapat dua jenis lontaran yang anda boleh lakukan iaitu :
i. Volley
Lontaran ini dilakukan apabila anda memukul bola di udara sebelum ia melantun ke dalam gelanggang ketika rally. Rally adalah pergerakan ulang alik bola daripada pasukan anda ke pasukan lawan selepas servis sehingga batal (fault) berlaku.
Biasanya pukulan volley dilakukan apabila pihak lawan memberi bola yang dipukul dengan kuat dan rendah melepasi jaring. Volley adalah teknik yang sesuai untuk membalas bola sebegini.
Untuk melalukan volley :
- Berdiri dekat dengan zon tanpa volley (kitchen), tetapi jangan masuk ke dalam zon tersebut, supaya anda bersedia untuk bertindak balas dengan cepat.
- Kekalkan kedudukan badan yang seimbang dengan lutut sedikit dibengkokkan dan paddle bersedia pada paras dada.
ii. Groundshot
Groundshot pula adalah apa-apa lontaran yang dilakukan setelah bola melantun melepasi gelanggang sebanyak satu kali.
2. Servis
Dalam sukan pickle ball, servis dilakukan secara menyerong (diagonally). Ia boleh dilakukan di bahagian kiri atau kanan servis.
Sebagai contoh, jika anda berada di bahagian kanan servis, anda perlulah membuat servis kepada bahagian servis kanan lawan.
Ketika bola dipukul, kaki pemain tidak boleh menyentuh garisan gelanggang. Pemain perlulah berada sekurang-kurangnya satu kaki dari belakang garisan belakang.
Untuk servis yang sah (valid), bola mestilah melantun sekali pada ruangan belakang non-volley (Kitchen) sebelum memasuki ruang pihak lawan.
Jika servis memasuki ruangan Kitchen, servis dikira batal.
Anda juga perlu ingat supaya melakukan servis dengan memukul bola pada paras bawah pinggang. Bola boleh dilambung atau dilantunkan sekali sebelum servis dilakukan.
Lontaran juga perlu diberikan dalam arka ke atas apabila dipukul.
Dua Kali Lantunan (Two Bounces)
Pada servis pertama, bola mestilah melantun sekali sebelum pihak lawan menerimanya. Kemudian, pihak lawan juga perlu melakukan servis dengan cara sama iaitu satu kali lontaran. Selepas bola sudah melantun sekali pada kedua-dua pihak,barulah para pemain boleh lakukan volley atau memukul selepas satu lantunan.
Bermain di Ruangan Kitchen
Walaupun anda tidak boleh melakukan lontaran volley di kitchen, anda boleh memasuki ruangan ini ketika bola dari pihak lawan memasuki ruangan ini.
Anda boleh membalasnya dengan lontaran groundstrokes.
Kesalahan Dalam Pickle Ball (Fault)
Permainan akan terus berjalan sehinggalah berlakunya kesalahan seperti berikut :
- Servis dilakukan melebihi paras pinggang.
- Bola servis memasuki ruangan Kitchen.
- Lontaran mendarat di bahagian luar sideline atau belakang baseline.
- Lontaran bola terkena pada jaring.
Sistem Permarkahan
Perlawanan pickleball biasanya dimainkan sehingga 11 mata. Walau bagaimapun, pasukan mestilah menang dengan lebihan sebanyak 2 mata.
Sebagai contoh, jika kedudukan adalah 10-10, permainan akan diteruskan sehingga salah satu pasukan mendahului dengan 2 mata iaitu 12-10.
Servis Bertukar Antara Pemain dalam Pasukan
Untuk permainan beregu (doubles), kedua-dua pemain dalam satu pasukan akan mendapat peluang untuk lakukan servis sebelum servis bertukar tangan kepada pihak lawan, kecuali pada servis pertama dimainkan.
Pemain akan bertukar giliran setiap kali sehingga pasukan pemukul tewas dalam rally.
Dalam permainan beregu, skor akan disebutkan dalam bentuk yang berbeza iaitu “Skor Pasukan Pemukul-Skor Pasukan Penerima-Nombor Pemain Servis”.
Sebagai contoh, “5-3-1” bermaksud pasukan pemukul mempunyai 5 mata, pasukan penerima mempunyai 3 mata dan ini merupakan servis pertama dalam pasukan tersebut.
Untuk permainan pertama, hanya satu pemain dalam pasukan yang akan melakukan servis. Selepas rally tamat dan servis bertukar kepada pihak lawan, peraturan (dua pemain melakukan servis) akan dimulakan.
Skor Hanya Untuk Pasukan Servis (Serving Team)
Berbanding sukan lain seperti tenis atau badminton, hanya pasukan yang melakukan servis (serving team) boleh mendapatkan mata.
Jika pihak penerima menang (receiving team) menang dalam rally, mereka hanya akan mendapat giliran untuk lakukan servis, tetapi tidak peroleh mata.
Setiap kali pasukan servis (serving team) menang dalam rally, mereka akan memperoleh 1 mata.
Skor akan diumumkan sebelum servis diberikan. Contohnya, jika pasukan A mempunyai 3 mata dan pasukan B mempunyai 1 mata, skor akan disebut “3-1” sebelum servis dilakukan.
Jika anda mahukan gambaran yang lebih jelas tentang cara bermain sukan ini, anda boleh tonton video di bawah :
Semoga penjelasan ini dapat membantu anda untuk mula bermain pickleball bersama rakan dan seisi keluarga.
Jangan lepaskan peluang untuk mencuba sendiri sukan yang sedang hangat ini. Selamat mencuba!
Sumber : philaymca.org, USA Pickleball
Baca Juga : Cara Mudah Belajar Main Chess / Catur Dalam 5 Minit