Permohonan kemasukan bagi Darjah 1 dan Tadika Agama Johor (TAJ) untuk sesi 2026 telahpun dibuka seperti dimaklumkan dalam poster MAKLUMAN PERMOHONAN KEMASUKAN MURID DARJAH 1 & TADIKA AGAMA JOHOR (TAJ) BAGI SESI PERSEKOLAHAN 2026 DI SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA KERAJAAN NEGERI JOHOR di atas.
Ini merupakan peluang awal bagi ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka ke dalam sistem pendidikan agama negeri yang tersusun dan terjamin kualitinya.
Permohonan untuk kemasukan ke Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor merupakan salah satu proses penting bagi ibu bapa atau penjaga yang ingin memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan agama secara formal dan sistematik.
Sekolah-sekolah agama ini diuruskan oleh Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan menawarkan pendidikan asas agama Islam kepada murid-murid sekolah rendah di seluruh negeri.
Tarikh Permohonan Sekolah Agama Johor & Tadika Agama Johor 2026
01 JULAI 2025 HINGGA 31 OKTOBER 2025
Borang permohonan
Borang permohonan kemasukan boleh didapati di Sekolah Agama Kerajaan Johor yang berhampiran.
Waktu Operasi Pendaftaran: Hari: Isnin – Jumaat (waktu pejabat).
Syarat Kemasukan
Tadika Agama Johor (TAJ):
1. Warganegara Malaysia
2. Berumur 5 atau 6 tahun pada tahun berkenaan
Sekolah Agama Johor (SAJ):
1. Warganegara Malaysia
2. Kanak-kanak yang akan memasuki Tahun 1 sekolah rendah pada 2026.
Senarai dokumen
Berikut merupakan dokumen yang perlu dibawa untuk permohonan Sekolah Agama Johor dan Tadika Agama Johor:
- Salinan MyKid / MyKad anak
- Salinan sijil lahir anak
- Salinan MyKad ibu bapa / penjaga
- Slip Gaji Ibu Bapa/ Penjaga
- Bil Api atau Air kediaman
- 4 Keping gambar murid berukuran pasport
- Sebarang dokumen sokongan lain jika perlu
Latarbelakang Sekolah Agama Johor (SAJ) & Tadika Agama Johor (TAJ)
Tadika Agama Johor (TAJ) merupakan program pra-persekolahan yang direka khas untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun. Di sini, kanak-kanak akan didedahkan kepada asas bacaan al-Quran, doa-doa harian, pengenalan huruf Jawi, serta adab-adab asas dalam kehidupan seharian menurut ajaran Islam.
Program TAJ menjadi batu asas kepada pendidikan agama formal dan menyediakan anak-anak dengan persekitaran pembelajaran yang kondusif, interaktif dan berasaskan nilai murni.
Sekolah Agama Johor (SAJ) pula merupakan sekolah agama di bawah kelolaan kerajaan negeri Johor memberi tumpuan kepada pengajian asas Islam merangkumi bidang Fardu Ain, Ibadah, Al-Quran, Akhlak, Jawi dan Bahasa Arab.
Program pendidikan ini disusun bagi menyokong sistem persekolahan kebangsaan, selari dengan objektif melahirkan murid yang seimbang dari aspek spiritual dan akademik.
Kurikulum ini dilaksanakan mengikut peringkat usia dan kemampuan pelajar, bermula daripada Tadika Agama Johor (TAJ), kemudian disambung ke tahap rendah dalam sekolah agama kerajaan.
Rakyat Johor yang berminat perlulah mengemukakan permohonan Sekolah Agama Johor mengikut tarikh yang telah ditetapkan setiap tahun.
Artikel berkaitan: Senarai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
Maklumat lanjut
Untuk sebarang pertanyaan mengenai permohonan Sekolah Agama Johor dan Tadika Agama Johor, ibu bapa boleh terus menghubungi pihak sekolah agama terdekat atau Pejabat Agama Daerah masing-masing.
Sumber: FB Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor
Alamat | Unit Pengurusan Sekolah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Aras 3, Blok B, Pusat Islam Iskandar Johor, Jalan Masjid Abu Bakar, 80990 Johor Bahru, Johor. |
---|---|
No. Telefon | 07-2282955 |
No. Faks | 07-2233178 |