Sebagai Muslim, kita harus cakna perkara-perkara yang membatalkan puasa agar amalan Ibadah kita di bulan Ramadan tidak menjadi sia-sia.
Dari segi bahasa, “puasa” itu ialah menahan diri.
Dari segi istilah, puasa ialah menahan diri daripada perbuatan-perbuatan yang membatalkan puasa daripada Subuh sehingga Maghrib.
Walaupun kita dilarang makan dan minum, kedua perbuatan tersebut bukanlah satu-satunya perkara yang membatalkan puasa.
Artikel berkaitan: JAKIM : Doa Berbuka Puasa & Ketika Hampir Berbuka
Berikut merupakan perkara-perkara yang membatalkan ibadah puasa kita.
7 Perkara Yang Membatalkan Puasa – JAKIM
7 Perkara Yang Membatalkan Puasa
- Makan dan minum dengan sengaja
- Memasukkan benda ke dalam rongga badan
- Muntah dengan sengaja
- Bersetubuh di siang hari
- Mengeluarkan air mani dengan sengaja
- Keluar darah haid atau nifas
- Gila atau Murtad
Sila rujuk penerangan lanjut di bawah:
1. Makan dan minum dengan sengaja
Tidak kira sama ada sedikit atau banyak, sekiranya anda dengan niat sengaja untuk makan dan minum, maka ibdah puasa anda sama sekali terbatal.
Walau bagaimanapun, sekiranya perbuatan ini dilakukan akibat anda terlupa atau tidak sengaja, maka puasa anda tidak terbatal dan anda wajib meneruskan puasa tersebut sehingga waktu berbuka.
Untuk rujukan, sila Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/241-245).
2. Memasukkan benda ke dalam rongga
Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata.
Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang.
Laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.
Sekiranya ubat untuk keadaan darurat, ia tidak terbatal seperti vaksin dan lain-lain.
3. Sengaja muntah
Muntah dengan sengaja juga merupakan perbuatan yang membatalkan puasa.
Perkara ini ada dinyatakan dengan jelas melalui hadis Nabi S.A.W. seperti yang beriku:
Rasulullah bersabda:
Barangsiapa yang dipaksa muntah sedangkan dia dalam keadaan puasa, maka tidak ada qada’ baginya. Namun apabila dia muntah (dengan sengaja), maka wajib baginya membayar qada’. (riwayat Abu Daud)
4. Persetubuhan
Bersetubuh sama ada mengeluarkan air mani juga termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.
Imam asy-Syaukani berkata (Dararil Mudhiyyah (2/22)): “Jima’ dengan sengaja, tidak ada ikhtilaf (perbezaan pendapat) padanya bahawa perkara tersebut membatalkan puasa, adapun jika jima’ tersebut terjadi kerana lupa, maka sebagian ulama menganggapnya sama dengan orang yang makan dan minum dengan tidak sengaja.”
5. Mengeluarkan air mani dengan sengaja
Mengeluarkan air mani dengan sengaja juga boleh menyebabkan puasa kita terbatal.
Walau bagaimanapun, sekiranya air mani tersebut keluar akibat kita bermimpi ketika tidur pada siang hari, maka tidaklah terbatal puasa kita padahari tersebut.
6. Datang darah haid atau nifas
Wanita yang didatangi haid atau nifas diharamkan daripada berpuasa.
Sekiranya haid atau darah nifas tiba-tiba keluar ketika waktu berpuasa, maka puasa anda secra automatiknya terbatal dan perlu digantikan di kemudian hari.
7. Gila atau Murtad
Seseorang yang gila secara automatik terbatal puasanya kerana ibadah ini hanya diwajibkan untuk orang yang sempurna akalnya.
Orang yang murtad juga terbatal ibadah puasanya kerana ibadah puasa ini hanya diwajibkan ke atas setiap orang Islam.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, JAKIM
Penggunaan Ubat-ubatan Yang Tidak Membatalkan Puasa
Apabila berpuasa, secara lahirnya kita mengelakkan diri daripada memasukkan sesuatu melebihi had tertentu pada rongga-rongga badan seperti mulut, hidung, telinga, saluran dubur dan faraj. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang dibenarkan ketika berpuasa selagi tidak melebihi had yang ditetapkan.
Dikongsikan maklumat penting untuk kita fahami berkenaan status batal atau tidak batal puasa jika mengambil ubatan dan rawatan semasa berpuasa.
Berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi tentang pengambilan ubat-ubatan terutamanya bagi pesakit kronik dan wanita hamil. Secara umumnya, mereka boleh menjalani ibadah puasa dengan baik, dengan syarat mereka mematuhi jadual pengambilan ubat, mengawal pemakanan dan mengikut nasihat yang diberikan.
- Perkara-perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang TIDAK membatalkan puasa ialah:
- Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga).
- Tablet sublingual (bawah lidah) dengan syarat diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan.
- Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.
- Semua jenis suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah.
- Pendermaan, pemindahan darah atau pengambilan sampel darah untuk ujian makmal.
- Ubat jenis sapuan (krim atau salap), balutan dan plaster pada permukaan kulit.
- Memasukkan tiub kateter melalui salur darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung.
- Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit.
- Ubat kumur secara gargle (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat terapeutik semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan.
- Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan daripada anggota badan.
- Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut.
- Rawatan bius setempat atau separuh.
- Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.
- Perkara-perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang MEMBATALKAN puasa ialah:
- Pengambilan ubat jenis biji dan ubat minum.
- Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (asma) atau penyakit paru-paru kronik.
- Memasukkan sebarang tiub kecil (pesari) atau ubat ke dalam faraj termasuk prosedur cucian dan pemeriksaan dalaman vagina wanita.
- Memasukkan sebarang tiub kateter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing, barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita.
- Penggunaan alat seperti enema, tiub supositori, teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rektum untuk pemeriksaan.
- Penggunaan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman.
- Penggunaan bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas.
Nota: Sumber rujukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Panduan Berpuasa bagi Pesakit. 2013
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Maklumat Lanjut Tentang Perkara Membatalkan Puasa
Seringkali menjadi persoalan dalam kalangan pesakit berkaitan batal atau tidak puasa jika mengambil atau menggunakan ubat semasa berpuasa. Bagi menyelesaikan kemusykilan dalam kalangan pesakit, ayuh kongsikan maklumat penting untuk mereka fahami berkenaan status batal atau tidak batal puasa jika mengambil ubat semasa berpuasa.
Senarai yang diberikan ini adalah berdasarkan kepada garispanduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2013. Terdapat beberapa pendapat yang merupakan khilaf ulamak contohnya inhaler, pemeriksaan dan memasukkan tiub ke dalam rongga badan. Walau bagaimanapun di dalam konteks di Malaysia, garispanduan JAKIM ini boleh dijadikan panduan umum yang baik dan boleh menjadi rujukan kita semua :