Peristiwa Israk Mikraj Ringkas – Infografik JAKIM & Video

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

KRONOLOGI RINGKAS ISRA’ MIKRAJ || Peristiwa Israk dan Mikraj adalah satu mukjizat yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Antara peristiwa penting dalam Israk dan Mikraj adalah perintah kewajipan solat fardu lima waktu sehari semalam ke atas orang Islam.

Berikut dikongsikan beberapa fakta dan kronologi Israk dan Mikraj untuk makluman kita bersama.

Maksud Israk dan Mikraj

Israk & Mikraj merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah Rasulullah SAW yang wajib diimani oleh umat Islam berdasarkan bukti-bukti daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT:

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
(Surah Al-Isra’, Ayat 1)

  • Israk adalah perjalanan Rasulullah SAW pada waktu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Al-Aqsa di Palestin.
  • Mikraj pula adalah perjalanan Baginda SAW dari langit pertama sehingga ke Sidratul Muntaha untuk bertemu Allah SWT.
Sumber: JAKIM

Tarikh Berlakunya Israk Wa Mikraj

Peristiwa ini telah dilalui Rasulullah s.a.w. pada 27 Rejab, tahun ke-10 kerasulan Baginda,* iaitu bersamaan tahun 621M.

Peristiwa ini berlaku selepas kewafatan bapa saudara Nabi SAW, Abu Talib dan isteri kesayangan baginda, Saidatina Khadijah, di mana tahun ini dikenali sebagai Tahun Dukacita.

*NOTA:

Para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat tentang tarikh berlakunya isra’ mikraj. Menurut penerangan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, peristiwa ini berlaku pada :

  • Setahun sebelum hijrah: Inilah pendapat Ibn Mas’ud, al-Zuhri, Urwah bin al-Zubair, Ibn Sa’d dan Ibn Hazmin mendakwa ini adalah ijmak. Inilah yang dijazamkan oleh Imam al-Nawawi.
  • Berlaku pada tahun Baginda SAW diangkat menjadi nabi: Inilah pendapat al-Tabari.
  • Dua tahun sebelum hijrah.
  • Tiga tahun sebelum hijrah: Inilah yang dihikayatkan oleh Ibn al-Athir. Setepatnya berlaku 27 Rejab tahun kesepuluh kenabian. Inilah pendapat oleh al-Allamah Mansurfuri.
  • Lima tahun sebelum hijrah: Inilah pendapat al-Nawawi dan al-Qurtubi. Inilah pendapat al-Zuhri dan dihikayatkan daripadanya oleh Qadhi Iyad dan beliau mentarjihkannya dengan sepakat bahawa Khadijah pernah solat bersama Nabi SAW selepas difardukan solat.

Ringkasan Peristiwa Israk Mikraj

ISRAK
Jibril datang kerumah Nabi dan membawanya ke Masjidilharam
Sebelum perjalanan, Jibril bawa Nabi ke telaga Zamzam di belah Dada Nabi untuk Kali kedua. Di cuci hati nabi, kotoran zahir dan batin di isi dengan iman, yakin, hikmah serta ilmu. Nabi dibawa menaiki Buraq. Tiba di Masjidil Aqsa.

MIKRAJ
Dari Baitul Maqdis naik ke langit
Jibril mengiringi Nabi naik ke langit. Di setiap tingkat, ada penjaga Dan nabi yang menyambut.

  • Langit 1, berjumpa Nabi Adam.
  • Langit 2, berjumpa Nabi Isa dan Yahya
  • Langit 3, berjumpa Nabi Yusuf
  • Langit 4, berjumpa Nabi Idris
  • Langit 5, berjumpa Nabi Harun
  • Langit 6, berjumpa Nabi Musa
  • Langit 7, berjumpa Nabi Ibrahim

Melawat Syurga dan Neraka

Nabi dipelawa minum samada susu, khamar atau madu. Nabi pilih susu.
Naik ke sidratulmuntaha

Melawat BaitulMakmur, Kaabah para Malaikat

Naik bertemu Allah, Jibril tidak mengiringi Nabi.

KISAH PENSYARIATAN SOLAT PADA MALAM ISRA’ MIKRAJ

Peristiwa Isra’ dan mikraj yang dialami oleh Rasulullah SAW mempunyai banyak ibrah. Antara hikmah dari ibrah yang paling besar dalam peristiwa ini adalah kewajipan solat 5 waktu yang diterima daripada Allah SWT secara terus tanpa perantaraan malaikat.

Ikuti kisah pensyariatan solat pada malam Israk Mikraj yang dikongsikan oleh JAKIM melalui infografik di bawah:

ISRA' MIKRAJ
ISRA' MIKRAJ
ISRA' MIKRAJ

VIDEO : RINGKASAN PERISTIWA ISRAK MIKRAJ – JAKIM

Isra’ Mikraj adalah satu peristiwa perjalanan agung Rasulullah SAW yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT.

Sumber : MyJakim Malaysia

7 PERISTIWA LUAR BIASA YANG DIPERLIHATKAN KEPADA RASULULLAH SAW DALAM ISRAK & MIKRAJ

Israk bermaksud perjalanan baginda Rasulullah SAW dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Masjidil Aqsa), Palestin dengan menaiki tunggangan yang bernama Buraq.

Mikraj pula membawa maksud perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha (langit ketujuh). Kejadian ini terjadi pada 27 Rejab.

Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Baitul Maqdis, Palestin) yang kami berkati sekelilingnya untuk Kami memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Isra’ 17: 1)

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun

7 PERISTIWA LUAR BIASA YANG DIPERLIHATKAN KEPADA RASULULLAH SAW DALAM ISRAK & MIKRAJ

  1. RASULULLAH SAW DIPERLIHATKAN BALASAN BAGI MEREKA YANG SUKA MENGUMPAT

Daripada Anas bin Malik, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ، فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ، قَالَ هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ، وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ

Maksudnya: “Pada malam aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: Siapa mereka ini, wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.” (HR Ahmad & Abu Daud, hadis sahih)

  1. RASULULLAH SAW TERCIUM HARUMAN KUBUR MASYITAH

Daripada Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda:

‏عَنِ ‌‏ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما ‌‏قَالَ ‏ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‌‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (‏ ‏لَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الَّتِي ‌‏أُسْرِيَ ‌‏بِي فِيهَا ، أَتَتْ عَلَيَّ رَائِحَةٌ طَيِّبَةٌ ، فَقُلْتُ : يَا ‏جِبْرِيلُ ‏،‏ مَا هَذِهِ الرَّائِحَةُ الطَّيِّبَةُ ؟ فَقَالَ : هَذِهِ رَائِحَةُ ‌‏مَاشِطَةِ ابْنَةِ فِرْعَوْنَ ‌‏وَأَوْلادِهَا ، قَالَ : قُلْتُ : وَمَا شَأْنُهَا ؟ قَالَ : بَيْنَا هِيَ تُمَشِّطُ ابْنَةَ ‌‏فِرْعَوْنَ ‌‏ذَاتَ يَوْمٍ ،

إِذْ سَقَطَتْ ‌‏الْمِدْرَى ‌‏مِنْ يَدَيْهَا ، فَقَالَتْ : بِسْمِ اللَّهِ ، فَقَالَتْ لَهَا ابْنَةُ ‏ ‏فِرْعَوْنَ :‏ ‏أَبِي ؟ قَالَتْ : لا ، وَلَكِنْ رَبِّي وَرَبُّ أَبِيكِ اللَّهُ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tercium satu bau yang amat harum. Apabila Nabi Muhammad SAW bertanya pada Jibril a.s., Jibril menjawab “itulah bauan Masyitah (tukang sikat anak perempuan Firaun) dan anak-anaknya. Satu hari, ketika dia (yakin Masyitah) sedang menyikat rambut anak perempuan Firaun, tiba-tiba sikat terjatuh dari tangannya.

Ketika mengambil sikat itu ia berkata, ‘Bismillah (Dengan Nama Allah).’ Lalu anak perempuan firaun bertanya, ‘Adakah kamu menyebut nama bapaku?’ Masyitah menjawab, ‘Tidak. Tetapi aku menyebutkan nama Tuhanku dan Tuhan bapamu, iaitu Allah’. Lantas anak perempuan Firaun memberitahu kepada ayahnya (Firaun), lalu Masyitah dibunuh bersama anak-anaknya.” (HR Ahmad, hadis sahih)

  1. RASULULLAH SAW MELIHAT DAJJAL DALAM RUPA ASALNYA

Diriwayatkan daripada Nawwas bin Sam’an al Kilabi dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدَّجَّالَ ذَاتَ غَدَاةٍ، فخَفَّضَ فِيهِ ورَفَعَ، حَتَّى ظَنَنَّاهُ فِي طَائِفَةِ النَّخْلِ، [فَلَمَّا رُحْنَا إِلَيْهِ عَرَفَ ذَلِكَ فِي وُجُوهِنَا، فَسَأَلْنَاهُ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ذَكَرْتَ الدَّجَّالَ الْغَدَاةَ، فَخَفَّضْتَ فِيهِ وَرَفَّعْتَ حَتَّى ظَنَنَّاهُ فِي طَائِفَةِ النَّخْلِ]. فَقَالَ: “غَيْرُ الدَّجَّالِ أخْوَفُني عَلَيْكُمْ، فَإِنْ يَخْرُجْ وَأَنَا فِيكُمْ فَأَنَا حَجِيجُه دُونَكُمْ، وَإِنْ يَخْرُجْ وَلَسْتُ فِيكُمْ فَامْرُؤٌ حَجِيجُ نَفْسِهِ، وَاللَّهُ خَلِيفَتِي عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ: إنه شاب جَعْدُ قَطَط عينه طَافِيَةٌ، وَإِنَّهُ يَخْرُجُ خَلَةَ بَيْنَ الشَّامِ وَالْعِرَاقِ، فَعَاثَ يَمِينًا وَشِمَالًا يَا عِبَادَ اللَّهِ اثْبُتُوا”

Maksudnya: “Bukan Dajjal yang aku khawatirkan akan memudharatkan kalian. Kerana jika Dajjal muncul, sedangkan aku masih berada di antara kalian, maka aku lah yang akan menghadapinya, bukan kalian. Jika dia muncul, sedangkan saya tidak lagi berada di antara kalian, maka setiap orang Muslim wajib membela dirinya, dan Allah lah yang menjaga setiap orang Muslim sepeninggalku. Sesungguhnya Dajjal adalah seorang yang berusia muda, berambut kerinting, dengan bola mata yang menonjol. Dan sesungguhnya pasukan berkudanya memenuhi kawasan antara negeri Syam dan Irak, lalu menyebar ke segala penjuru. Hai hamba-hamba Allah, berpendirian teguhlah kalian.” (HR Muslim, hadis sahih)

  1. RASULULLAH SAW DIPERLIHATKAN BALASAN KEPADA MEREKA YANG MENINGGALKAN SOLAT

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda:

ثُمَّ أَتَى عَلَى قَوْمٍ تُرضَحُ رُؤُوسُهُم بِالصَّخْرِ، كُلَّمَا رُضِخَتْ عَادَتْ كَمَا كَانَتِ، لَا يُفَتَّرُ عَنْهُمْ مِن ذَلِكَ شَيْءٌ، فَقَالَ: يَا جِبْرِيلُ مَنْ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ : هَوْلَاءِ الَّذِينَ تَتَثَاقَلُ رُؤُوسُهُمْ عَنِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: : “Kemudian Baginda SAW datang kepada suatu kaum yang menghancurkan kepala mereka dengan batu. Setiap kali kepala mereka dihancurkan ia kembali semula seperti sedia kala dan mereka sedikitpun tdak mahu berhenti daripada (melakukan) perkara tersebut. Maka Baginda bertanya: ‘Wahai Jibril, siapakah mereka?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah golongan yang berat kepalanya (cuai dan lalai) daripada mendirikan solat fardhu.’” (HR al-Baihaqi, hadis dhaif).

  1. RASULULLAH SAW TERDENGAR TELAPAK KAKI BILAL DI SYURGA

Daripada Abu Hurairah R.A berkata, telah berkata Nabi SAW kepada Bilal ketika solat Fajar:

يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الجَنَّةِ. قَالَ: مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي: أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا، فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ، إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ

Maksudnya: “Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam syurga.” Bilal menjawab: “Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwudhu’ pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wudhu’ tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” (HR Bukhari, hadis sahih)

  1. RASULULLAH SAW MELIHAT NABI-NABI DAN UMATNYA MASING-MASING

Daripada Ibn Anas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

لَمَّا أُسْرِيَ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَعَلَ يَمُرُّ بِالنَّبِيِّ وَالنَّبِيَّيْنِ وَمَعَهُمْ الْقَوْمُ وَالنَّبِيِّ وَالنَّبِيَّيْنِ وَمَعَهُمْ الرَّهْطُ وَالنَّبِيِّ وَالنَّبِيَّيْنِ وَلَيْسَ مَعَهُمْ أَحَدٌ حَتَّى مَرَّ بِسَوَادٍ عَظِيمٍ فَقُلْتُ مَنْ هَذَا قِيلَ مُوسَى وَقَوْمُهُ وَلَكَنِ ارْفَعْ رَأْسَكَ فَانْظُرْ قَالَ فَإِذَا سَوَادٌ عَظِيمٌ قَدْ سَدَّ الْأُفُقَ مِنْ ذَا الْجَانِبِ وَمِنْ ذَا الْجَانِبِ فَقِيلَ هَؤُلَاءِ أُمَّتُكَ وَسِوَى هَؤُلَاءِ مِنْ أُمَّتِكَ سَبْعُونَ أَلْفًا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW melintasi nabi-nabi a.s. dan melihat umat masing-masing. Ada nabi yang umatnya satu kaum, ada nabi yang umatnya beberapa orang sahaja dan ada nabi yang tidak berumat walau seorang pun. Kemudian Nabi melihat lautan manusia yang besar. Apabila Baginda bertanya, “siapa mereka?, dijawab kepada Baginda, “itulah Musa bersama umatnya.” Kemudian dikata kepada Nabi, “Angkatlah pandanganmu dan lihatlah di ufuk sana dan ufuk sana,” apabila Nabi melihatnya, dikatakan kepada Baginda. “itulah umatmu. Di antara mereka aka nada 70 ribu orang yang bakal memasuki syurga tanpa hisab.” (HR Tirmidzi, hadis hasan sahih)

  1. RASULULLAH SAW DIPERLIHATKAN BALASAN KEPADA PENDAKWAH YANG TIDAK BERAMAL DENGAN APA YANG DIKATAKAN

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik berkata; Rasulullah SAW bersabda:

رَأَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي رِجَالًا تُقْرَضُ شِفَاهُهُمْ بِمَقَارِيضَ مِنْ نَارٍ فَقُلْتُ يَا جِبْرِيلُ مَنْ هَؤُلَاءِ قَالَ هَؤُلَاءِ خُطَبَاءُ مِنْ أُمَّتِكَ يَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَيَنْسَوْنَ أَنْفُسَهُمْ وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلَا يَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Tatkala saya diisrakkan, saya melihat beberapa orang yang lidahnya dipotong dengan gunting dari api. Saya bertanya, ‘Wahai Jibril, siapakah mereka itu?’ Dia menjawab, ‘Mereka adalah para khatib umatmu, mereka memerintahkan kepada orang-orang untuk berbuat kebaikan, namun mereka melupakan diri mereka sendiri padahal mereka membaca kitab. tidakkah mereka menggunakan akalnya?” (HR Ahmad, hadis sahih)

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.

KREDIT SUMBER ASAL : USTAZAH ASMA’ BINTI HARUN & TIM PENYELIDIKAN

Hikmah Peristiwa Isra’ Mi’raj

Sebagai umat islam, terdapat pelbagai hikmah dan pengajaran boleh diambil masyarakat Islam melalui peristiwa israk mikraj untuk dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian seperti yang di petik dari Tazkirah ;

1 – Israk Mikraj Adalah Perjalanan Yang Nyata

Peristiwa Israk Mikraj ini merupakan perjalanan dan pengalaman Rasulullah s.a.w yang benar-benar terjadi dan, bukan hanya perjalanan rohani atau mimpi Baginda semata-mata.
Dalam peristiwa ini, Rasulullah s.a.w mendapatkan perintah secara langsung tanpa perantara dalam suruhan mengerjakan solat lima waktu. Ini adalah bukti bahawa Israk Mikraj berbeza dengan penurunan wahyu-wahyu Allah yang lainnya.
Rasulullah juga mengalami perjalanan itu dalam keadaan sedar dan dengan sepenuh hati Baginda. Selepas peristiwa itu, Baginda segera menceritakan kepada para sahabat dan pengikut Baginda dengan ingatan yang sangat jelas.

2 – Tanda Kekuasaan Allah S.W.T

Peristiwa Israk Mikraj merupakan salah satu bukti dan tanda kekuasaan Allah s.w.t. Allah juga ingin menunjukkan betapa besarnya kekuasaan-Nya dengan menjadikan sebuah peristiwa yang boleh dianggap ganjil bahkan hal yang lebih hebat daripada itu.
Dengan kehendak Allah, boleh dilakukan apa-apa saja mengikut kehendak-Nya. Allah s.w.t dengan jelas telah menyatakan bahawa Israk Mikraj adalah bertujuan untuk memperlihatkan kekuasaan-Nya.

3 – Bentuk Kemuliaan Allah S.W.T Kepada Rasulullah S.A.W

Sebelum terjadinya peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah s.a.w menghadapi banyak ujian yang sangat berat, terutamanya tentangan hebat dalam usaha dakwah Baginda. Antaranya Baginda diusir dan ditolak oleh penduduk di kota Thaif.
Rasulullah s.a.w juga kehilangan dua orang yang penting, iaitu isteri kesayangan Baginda, Siti Khadijah dan bapa saudara yang banyak membantu iaitu Abu Thalib.
Oleh itu, Israk Mikraj merupakan hadiah dan sebuah pengganti dari apa yang telah Rasulullah s.a.w hadapi terutamanya pada tahun yang sama.

4 – Bukti Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W

Israk Mikraj juga memperlihatkan sebahagian bukti akan kebesaran Allah selain bertujuan memantapkan dan mengukuhkan kerasulan Rasulullah s.a.w.
Selain itu Israk Mikraj juga diciptakan untuk memuliakan Rasulullah s.a.w sebagai seseorang yang dipilih oleh Allah s.w.t.
Peristiwa ini juga bertujuan mempersiapkan kekuatan jasad, jasmani, rohaniah, dan aqliah Rasulullah s.a.w dalam menjalankan tugas-tugas kenabian Baginda.

5 – Bukti Ajaran Rasulullah S.A.W Bersifat Menyeluruh

Peristiwa Israk atau perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Madinah), menunjukkan bahawa ajaran yang dibawa Rasulullah s.a.w bukan hanya untuk masyarakat Mekah sahaja tetapi agama kepada seluruh umat manusia yang ada di muka bumi.

6 – Perintah Didirikan Solat Lima Waktu

Peristiwa Mikraj atau perjalanan Rasulullah s.a.w ke Sidratul Muntaha adalah tempat berlakunya peristiwa Rasulullah menerima perintah Allah s.w.t untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.
Perintah ini adalah secara langsung diberikan oleh Allah kepada Baginda tanpa perantara.
Walaupun pada awalnya Allah s.w.t memerintahkan didirikan sebanyak 50 waktu, namun Rasulullah s.a.w memohon agar dikurangkan sehinggalah perintah solat menjadi lima waktu sehari semalam seperti hari ini.
Perintah solat lima waktu ini sangat dipegang erat oleh Rasulullah s.a.w dan Baginda sangat menitikberatkan kepada umat Baginda supaya tidak meninggalkan solat lima waktu kerana ianya adalah tiang agama Islam dan kunci diterima segala amalan di dunia.

7 – Pembersihan Hati untuk Menghadap Allah S.W.T

Diriwayatkan, sebelum peristiwa Isra’ Mikraj, Rasulullah s.a.w telah ‘dibedah’ oleh malaikat bagi membersihkan jiwa Baginda dari dari sifat-sifat buruk seperti was-was.
Ini memberi gambaran kepada umat Islam bahawa sebelum menghadap Allah s.w.t dalam menjalankan ibadah, seharusnya membersihkan dulu jiwa dan hati dari segala sifat buruk.

Selain itu, segala amalan ibadat hendaklah disertai dengan niat yang betul dan ikhlas. Allah berfirman bahawa Islam itu bersih, maka bersihkanlah jiwa raga kerana sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang bersih.

Sungguh banyak hikmah yang dapat diambil oleh umat Islam sebagai iktibar daripada peristiwa ini.

Jadi sebagai umat Islam umumnya, dan pengikut Nabi Muhammad s.a.w khususnya haruslah kita jadikan peristiwa ini sebagai pangajaran utama dalam mengejar ibadah terutamanya dalam mendirikan solat lima waktu.

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut