Peria Katak – Khasiat, Manfaat & Kesan Sampingan
“Pahitnya!” Itulah ungkapan yang sinonim dengan peria katak, seperti juga namanya dalam bahasa Inggeris iaitu bitter gourd.
Namun, di sebalik rasa pahit ini, ramai yang menjadikannya sebagai ‘ubat’.
Tahukah anda apakah kandungan yang terdapat dalam sayuran ini? Benarkah khasiat peria katak boleh menyembuhkan diabetes / kencing manis?
Jom kita kenali dengan lebih dekat lagi faktanya.
Pengenalan
- Nama saintifik : Momordica charantia.
- Nama umum : Peria katak, bitter gourd, bitter melon, balsom pear atau balsam apple dalam bahasa Inggeris.
- Famili : Cucurbitaceae
Dikatakan berasal dari Selatan China, tumbuhan ini banyak ditanam secara komersil di Asia Tenggara, Asia Selatan, China dan Caribbean.
Tahukah anda, peria katak merupakan tumbuhan sub-tropika yang tergulung sebagai sayuran buah yang paling pahit di dunia.
Pernah tengok tak pokoknya? Sayuran ini berasal daripada tumbuhan herba yang menjalar, berbatang lembut dan boleh mencapai ketinggian sehingga 5 meter.
Pokok peria katak berbunga kuning dan menghasilkan bunga jantan dan bunga betina yang berasingan.
Buahnya yang mempunyai bentuk seakan timun, mempunyai kulit yang mengerutu dan berwarna hijau muda ketika muda dan akan bertukar warna kuning apabila matang.
2 Jenis Peria
Buah berbentuk memanjang, peria yang terdapat di pasaran terdiri daripada dua jenis.
JENIS 1 – BERASAL DARI CHINA
Jenis ini mempunyai permukaan luaran yang berkulit licin sedikit dan berkilat, warnanya kehijauan muda. Ia lebih besar dan panjang sehingga 20-30 cm.
JENIS 2 – BERASAL DARI INDIA
Jenis kedua pula berasal dari India dan amat digemari orang India dan juga Asia Tenggara yang berukuran lebih pendek dan bersaiz kecil.
Biji buah berwarna putih ketika muda dan bertukar merah apabila matang.
Kerana rasanya yang sangat pahit, peria katak jarang dimasak bersama sayuran lain. Bagi menghilangkan rasa yang terlalu pahit, peria katak terlebih dahulu direndam ke dalam air garam, dicuci dan dipotong sebelum dimasak.
Peria sering digunakan dalam masakan cina yang biasanya digoreng bersama daging dan douchi atau dibuat sup dan juga sebagai teh. Manakala masyarakat Melayu lebih suka digoreng dan dicampur dengan udang atau daging.
Baca juga:
- Bunga Cengkih : Khasiat, Petua Batuk, Sakit Gigi & Banyak Lagi
- 10 Contoh Makanan Diet Untuk Cepat Kurus – Saranan KKM
Takut nak makan peria pahit? Jom dapatkan Peria Crispy Spicy or Original (Peria Katak) Kerepek Perisa Baru- Berlado Pedas Manis, Jagung Bakar, Salted Egg
Khasiat & Manfaat Peria Katak Untuk Kesihatan
Walaupun pahit untuk ditelan, tapi banyak khasiat tersimpan!
Rasa pahit peria katak datangnya dari kandungan kuinin yang tinggi dan dianggap oleh orang Asia, Panama dan Columbia sebagai bahan untuk mencegah dan merawat demam malaria.
Dari segi perubatan Ia merupakan sayur yang banyak mendapat perhatian pakar perubatan moden, bahkan begitu banyak produk yang diolah daripada peria katak boleh didapati di Malaysia.
Dalam perubatan ayuveda (India), peria katak sering dilihat sebagai sejenis insulin tumbuhan yang baik untuk pesakit kencing manis (diabetis) dan mengawal kandungan gula dalam darah.
Berikut dikongsikan khasiat peria katak dan manfaatnya untuk kesihatan:
- Kaya Nutrisi – Tinggi kalsium, zat besi dan vitamin C
- Mencegah Kanser – Kaya dengan antioksida, bersifat anti-kanser
- Membantu Mengawal Berat Badan – Rendah kalori, tinggi serat dan membantu pemendapan lemak
- Menurunkan Paras Gula – Rendah indeks glisemiks dan sekaligus boleh membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah
- Menurunkan Kolesterol – Beberapa kajian mendapati ekstrak peria katak berpotensi membantu mengawal paras kolesterol jahat (LDL)
- Membantu Melegakan Asma / Radang – Dalam perubatan tradisional Cina, air rebusan peria digunakan untuk melegakan penyakit asma dan menyejukkan panas radang
- Mengatasi Masalah Berkaitan Haid – Air rebusan peria juga dikatakan boleh diminum untuk mengatasi masalah haid yang terlewat
*Rujuk penerangan di bawah:
Sekumpulan pakar penyelidik di Amerika Syarikat telah berjaya mengasingkan sejenis protein yang terdapat di dalam peria. Protein ini dinamakan MAP-30 dan terdapat dalam biji dan kulit buah berkenaan. MAP-30 dikatakan mengandungi sifat-sifat anti-kanser sebagaimana yang terdapat pada tikus.
Selain itu, ia juga dapat mengawal penyakit-penyakit virus seperti herpes dan poliomaelitis, dan menghalang penyakit tersebut daripada membiak dan merebak dari satu sel ke sel yang lain.
Protein-protein lain yang diasingkan daripada tumbuhan jenis memanjat ini juga boleh membantu mengurangkan berlakunya keguguran dan menghalang pertumbuhan sel-sel kanser.
Kajian yang dijalankan ke atas tikus makmal dengan ekstrak peria katak menunjukkan ia mampu menyerupai tindakan insulin kerana buah dan bijinya mengandungi protein Polypeptide – K yang efektif terhadap diabetes.
Selain itu, ia juga membantu merencat penyerapan gula di usus dan menggalakkan sel-sel menggunakan gula dengan lebih efektif untuk ditukarkan menjadi tenaga. Ia juga membantu mengurangkan paras gula dengan merencat penghasilan gula oleh hati.
Kesan Sampingan / Keburukan Peria Katak Jika Diambil Secara Berlebihan
Peria katak kini sering diambil dalam bentuk kapsul atau dijadikan jus minuman dan diambil secara mentah sebagai ulam atau dimasak sebagai sayuran.
Pengambilan secara berlebihan adalah tidak digalakkan kerana seseorang boleh mengalami masalah perut atau cirit birit.
Selain itu, tidak semua penghasilan ubat-ubatan dan kapsul ini dihasilkan dengan pantauan KKM.
Oleh itu, anda perlu berhati-hati kerana pengambilan peria katak bersama ubatan moden boleh menyebabkan paras gula turun terlalu rendah (hipoglisemia), bahkan ia mungkin mengandungi kandungan gula yang tersembunyi.
Sila dapatkan nasihat doktor atau pegawai farmasi sebelum mengambil rawatan tradisional ini kerana ia mungkin akan memberi kesan sampingan dalam mempengaruhi pengambilan perubatan moden anda.
Sumber: Jabatan Pertanian Malaysia, Bahagian Pemakanan KKM, Kementerian Kesihatan Malaysia