Apakah perbezaan antara sekolah SMKA dan SMK?
Sekali lihat, kita pastinya dapat menjangka bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) mempunyai tambahan pendidikan agama Islam kerana terdapat perkataan “Agama” itu.
Perbezaan itu sememangnya benar namun terdapat beberapa perbezaan lain yang sangat signifikan untuk kita lihat antara SMKA dan SMK.
Kali ini mari lihat perbezaan antara kedua jenis sekolah ini agar dapat membantu pelajar yang memasuki alam sekolah di Malaysia dapat membuat pilihan yang tepat dan terbaik untuk masa depan mereka.
1. Subjek tambahan
Pelajar SMKA diwajibkan untuk mengambil subjek Bahasa Arab daripada TIngkatan 1 hingga Tingkatan 5.
Ini merupakan satu kelebihan bagi yang ingin menyambung pelajar dalam bidang pengajian agama memandangkan mereka akan mempunyai asas yang lebih baik dalam Bahasa Arab.
Malah, sesetengah bidang pengajian di peringkat universiti mewajibkan subjek Bahasa Arab sebagai syarat diterima masuk.
Namun, sekiranya anda memang tidak mempunyai minat dalam Bahasa Arab, sekolah SMKA mungkin tidak sesuai untuk anda dan inilah antara perbezaan ketara antara SMKA dan SMK.
Artikel berkaitan: Sijil Menengah Agama (SMA): Silibus dan Kepentingannya
2. Subjek Pendidikan Islam digantikan dengan Pendidikan Al-Quran & Al-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah
Perbezaan kedua antara SMKA dan SMK adalah di SMKA, subjek Pendidikan Islam digantikan dengan digantikan kepada Pendidikan Al-Quran & Al-Sunnah (PQS) serta Pendidikan Syariah Islamiah (PSI) di Tingkatan 4 dan 5.
Pengambilan kedua-dua subjek ini bagi pelajar SMKA membolehkan mereka mendalami kedua-dua bidang ini denngan lebih mendalam.
3. Penginapan di asrama
Perbezaan ketiga antara SMKA dengan SMK adalah mereka disediakan penginapan di asrama.
Penyediaan asrama untuk elajar SMKA ini penting, dapat memudahkan mereka menjalani rutin harian dan program kerohanian di bawah pemantauan guru.
Kehidupan para pelajar SMKA membantu mereka mengikuti segala program dan modul yang ditetapkan oleh pihak sekolah kerana mereka tidak perlu berulang-alik dari rumah setiap hari.
Antara program kerohanian yang biasanya dianjurkan adalah seperti kuliah Maghrib, tazkirah harian, bacaan kitab dan lain-lain lagi untuk merealisasikan objektif pembentukan pelajar SMKA yang bersahsiah tinggi, beriman dan bertaqwa..
4. Kelas Khas Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ)
Perbezaan ke 4 SMKA berbanding SMK adalah kewujudan KKQ. ,
Kelas Khas Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ) membantu pelajar SMKA memperkasakan penguasaan kemahiran al-Quran dalam kalangan murid-murid yang mengikuti kelas berkenaan dari aspek kemahiran Taranum, Hafazan, Tajwid,Ulum Al-Quran, Rasm Uthmani dan Qiraat Al-Sab’ie.
objektif perlaksanaan Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran ialah;
- Melahirkan pelajar yang dapat membaca dan menghafal surah-surah tertentu daripada Al-Quran secara bertajwid dan mengamalkannya di dalam kehidupan seharian
- Melahirkan insan yang memahami dan menghayati perkara-perkara yang berkaitan dengan Al-Quran samaada merangkumi aspek sejarah penulisan, pengumpulan, pembukuan, surah dan asbabun-nuzul
- Mengetahui lagu-lagu Al-quran (taranum) dan mempraktikkannya dalam bacaan harian
- Mengetahui, membezakan dan membaca wajah-wajah bacaan Qiraat Sabie
- Melahirkan individu yang memahami dan mengamalkan al-Quran dengan sebaiknya serta dapat menguasai bahasa arab.
5. Ilmu agama dan akademik yang seimbang
Pelajar SMKA tidak hanya akan memfokuskan pengajian dalam bidang agama, tetapi juga wajib menitikberatkan keseimbangan dari segi akademik.
Para pelajar akan mempunyai kelas-kelas intensif bagi memastikan mereka meningkatkan prestasi mereka dalam pelbagai subjek.