Perang Uhud: Sejarah Peperangan & Iktibar Buat Umat Islam

Perang Uhud
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Perang Uhud merupakan perang kedua umat Islam di bawah pimpinan Nabi Muhammad S.A.W. Peperangan ini telah berlaku disebabkan dendam kafir Quraisy, yang telah kalah pada peperangan pertama, iaitu Perang Badar.

Pertempuran kedua umat Islam dan kafir Quraisy ini telah berlaku pada bulan Syawal tahun 625 Masihi, dengan umat Islam diketuai Rasulullah S.A.W. dan orang kafir Quraisy dipimpin Abu Sufyan.

Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lagi tentang peperangan kedua umat Islam ini dan iktibar yang boleh anda peroleh daripadanya, pastikan anda bersama artikel ini sehingga ke penghujung.

Sejarah Perang Uhud

Untuk pengetahuan anda, perang Uhud ini merupakan peperangan yang terjadi akibat dendam orang kafir Quraisy yang telah kalah dalam peperangan Badar. Ramai pemimpin mereka terkorban dalam peperangan tersebut dan ia menjadi satu , dan amparan besar buat mereka.

Oleh itu, kaum kafir Quraisy ini telah merancang serangan besar-besaran terhadap umat Islam di Madinah. Serangan yang berlaku pada tahun ketiga hijrah ini telah berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud, dan daripada nama kawasan itulah nama peperangan ini diberi.

Bukit Uhud

Pada awalnya, pasukan Islam berjaya mendominasi pertempuran dalam Perang Uhud ini. Tentera Quraisy menjadi kucar-kacir, dan banyak di antara mereka melarikan diri meninggalkan medan perang. Namun, kemenangan awal ini menyebabkan sebahagian pemanah tergoda oleh harta rampasan perang dan melanggar pesanan Rasulullah S.A.W. yang menyuruh mereka agar jangan tinggalkan posisi mereka walau apa pun berlaku.

Kesempatan ini dimanfaatkan oleh Khalid bin Walid, yang ketika itu masih belum memeluk Islam, untuk memimpin pasukan berkuda Quraisy menyerang dari arah belakang. Serangan ini mengejutkan pasukan Islam dan membalikkan situasi, menyebabkan kekalahan yang besar kepada mereka.

Peperangan ini telah mengorbankan kira-kira 70 orang tentera Islam dan 23 orang tentera kafir Quraisy. Namun, kematian yang paling menyayat hati Rasulullah S.A.W, adalah kematian pak ciknya sendiri iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib (Singa Allah) yang telah mati dibunuh oleh seorang hamba bernama Wahsyi.

perang-uhud

Jumlah Tentera

    Berbeza dengan peperangan Badar, yang jumlah tenteranya boleh dikatakan sedikit, Perang Uhud ini mengumpulkan lebih banyak tentera daripada kedua-dua belah pihak. Abu Sufyan ibni Harb yang merupakan ketua bagi kaum kafir Quraisy, telah berjaya mengumpulkan 3000 orang tentera mereka. Manakala, Rasulullah S.A.W telah mengumpulkan hampir 1000 umat Islam bagi peperangan ini.

    Namun begitu, dari 1000 orang yang dikumpul oleh Rasulullah ini, 300 daripadanya telah menarik diri, menjadikan askar umat Islam yang berperang hanya tinggal 700 orang sahaja. Perkara ini berlaku kerana 300 orang tersebut termakan dengan kata-kata khianat Abdullah bin Ubay yang mempersoalkan kewibawaan Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin umat Islam.

    perang uhud

    Pengajaran dari Perang Uhud

    Banyak pengajaran dan iktibar yang boleh kita ambil dari Perang Uhud ini. Antara pengajaran tersebut ialah:

    • Menjauhi Sifat Tamak: Tamak kepada harta menyebabkan kekalahan umat Islam dalam peperangan Uhud ini.
    • Kehebatan Wanita: Peranan wanita seperti Nasibah Ummu ‘Amarah menunjukkan wanita boleh menyumbang dalam mempertahankan Islam dan dakwah.
    • Kesabaran dalam Ujian: Kekalahan ini menguatkan lagi iman dan kesabaran umat Islam. Ia juga menjadi ujian yang membersihkan jiwa mereka dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
    • Strategi dan Kepimpinan: Rasulullah SAW menunjukkan kepantasan dan kebijaksanaan dalam strategi peperangan, menekankan peranan ulama sebagai pewaris nabi dalam dakwah dan pentadbiran.
    • Kesatuan Umat: Perpecahan kecil seperti yang berlaku di kalangan pasukan pemanah di Uhud membawa kesan buruk. Kesepakatan amat penting untuk kekuatan umat.
    • Keberanian Pemimpin: Keberanian Rasulullah SAW di barisan hadapan memberi semangat kepada tentera Islam, menunjukkan pemimpin perlu berani dan teguh pendirian.
    • Kepatuhan kepada Pemimpin: Kekalahan ini menjadi pengajaran betapa pentingnya mematuhi arahan pemimpin, terutama dalam situasi genting. Kealpaan beberapa pemanah menjadi punca utama kekalahan pasukan Islam.
    • Menghormati Pemimpin: Keselamatan pemimpin adalah penting untuk kesinambungan perjuangan dan kejayaan dakwah Islam.

    Pengajaran dan iktibar yang dibawa dari kisah Perang Uhud ini perlu kita ambil serius. Hal ini kerana, dengan mengambil iktibar daripada peperangan inilah dapat kita elakkan daripada ia berlaku sekali lagi.

    Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan KL

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut