Pada 1 Mei 2025 yang lepas, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif penandaan harga ubat, di mana di bawah inisiatif ini, semua kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti di Malaysia perlu mempamerkan harga ubat-ubatan di premis mereka.
Inisiatif ini dilakukan agar ketelusan harga ubat dapat dijamin dan pengguna dapat mengetahui harga sebenar yang perlu dibayar sebelum membuat sebarang pembelian. Berikut kami kongsikan semua maklumat berkenaan inisiatif ini, untuk pengetahuan kita bersama.
Apa Itu Inisiatif Penandaan Harga Ubat?
Seperti yang dinyatakan di bahagian awal tadi, inisiatif penandaan harga ubat ini merupakan satu usaha ketelusan harga ubat yang dilakukan bagi membantu pengguna membuat pilihan bijak ketika melakukan pembelian ubat-ubatan. Berikut merupakan maklumat yang perlu dipaparkan dalam senarai harga ubat ini:
- nama generik/bahan aktif ubat dan kekuatan (strength)
- nama dagangan ubat
- harga per unit; dan
- harga jualan per unit (pek jualan) dalam Ringgit Malaysia (RM)
- maklumat ubat tidak boleh menyatakan indikasi atau kegunaan ubat
- senarai harga jualan ubat perlu dalam bahasa kebangsaan atau bahasa
Inggeris
Inisiatif ini telah mula dilaksanakan bermula 1 Mei 2025 yang lepas, dan merupakan satu usaha yang diwajibkan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Oleh itu, semua kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti di Malaysia wajib mempamerkan harga ubat secara jelas dan telus di premis mereka. Jika mereka tidak melakukannya, mereka boleh dikenakan hukuman.
Objektif Inisiatif Penandaan Harga Ubat
Objektif utama inisiatif Penandaan Harga Ubat ini adalah untuk:
- Membolehkan rakyat mengetahui harga ubat yang perlu dibayar.
- Memudahkan perbandingan harga bagi membuat pilihan terbaik.
- Menjamin harga ubat yang munasabah dan mampu milik.
- Melindungi hak pengguna daripada caj tersembunyi atau tidak munasabah
Kelebihan & Manfaat Penandaan Harga Ubat
Penandaan Harga Ubat ini mempunyai manfaat dan kelebihan yang dapat membantu semua pihak terutama pihak pengguna. Berikut adalah kelebihan dan manfaatnya:
- Meningkatkan ketelusan harga
- Pesakit berhak membayar harga seperti yang dipaparkan dan boleh memilih ubat berdasarkan kemampuan.
- Melindungi hak pengguna/pesakit
- Pengguna/pesakit dapat membuat pilihan dengan lebih bijak dan berhak mendapatkan harga yang tidak melebihi harga yang dipaparkan. Ini mengurangkan risiko caj tersembunyi atau caj yang tidak munasabah.
- Pengguna/pesakit boleh memilih ubat yang sama dengan jenama ubat berbeza berdasarkan kemampuan masing-masing. Pengguna/pesakit boleh berbincang dengan doktor atau ahli farmasi berdaftar untuk pilihan berdasarkan kemampuan masing-masing.
- Meningkatkan kualiti perkhidmatan fasiliti kesihatan
- Ketelusan harga jualan ubat melalui inisiatif ini dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dengan persaingan sihat antara fasiliti yang menawarkan harga yang berpatutan.
- Menggalakkan persaingan sihat dalam industri
- Apabila harga jualan ubat dipaparkan secara terbuka, fasiliti akan berusaha menambah baik perkhidmatan dan menetapkan harga yang kompetitif setara dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Ini mendorong persaingan sihat dan dapat menurunkan harga jualan ubat untuk pengguna/pesakit.
- Menyokong keputusan pengguna/pesakit berdasarkan maklumat
- Klinik dan farmasi yang telus harga dapat meningkatkan kepercayaan pesakit.
Pihak Terlibat
Semua kemudahan jagaan kesihatan swasta mengikut tafsiran Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] yang menjual, membekalkan atau memberikan (administer) ubat seperti yang disenaraikan di bawah perlu melakukan penandaan harga ubat:
- Hospital swasta
- Hospis swasta
- Klinik perubatan swasta
- Klinik pergigian swasta
- Hospital psikiatri swasta
- Rumahjagaan psikiatri swasta
- Pusat kesihatan mental masyarakat swasta
- Pusat hemodialisis swasta
- Pusat jagaan ambulatori swasta
- Rumah bersalin swasta
- Rumah jagaan kejururawatan swasta
- Farmasi komuniti yang menjual atau membekal ubat-ubatan kepada pengguna/pesakit juga perlu memaparkan harga jualan ubat
Aduan & Maklumat Lanjut
Aduan berkaitan ketidakpatuhan pemaparan harga jualan ubat iaitu tiada paparan atau paparan tidak dikemaskini boleh dikemukakan melalui saluran berikut:
- Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM
- Talian am (8.00 pagi- 5 petang): KKM: 03-8883 3707 / 3684
- Alamat Surat Menyurat : Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia Aras 4, Blok E7, Kompleks E Pusat Pentadbiran Persekutuan 62590 Putrajaya Kerajaan
- E-mel : [email protected]
Manakala jika anda mendapati harga yang dipaparkan tidak sama dengan harga yang anda perlu bayar, anda boleh melakukan aduan kepada pihak KPDN melalui:
- Talian Hotline KPDN : 1-800-886-800
- Whatsapp: 019-848 8000
- Portal e-aduan KPDN
Pengguna adalah digalakkan untuk mengemukakan resit/ bil terperinci, maklumat ubat seperti nama, kuantiti dan harga ubat, tarikh pembelian/ transaksi, nama dan alamat premis serta bukti bergambar tiada paparan harga bagi membantu siasatan.