Panduan Powerbank Dalam Pesawat: Malaysia Airlines & AirAsia

polisi powerbank dalam pesawat
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Memandangkan terdapat beberapa insiden powerbank terbakar dalam pesawat, beberapa syarikat penerbangan telah menetapkan garis panduan penggunaan powerbank dalam pesawat.

Powerbank atau bateri mudah alih merupakan aksesori tambahan yang biasanya dibawa ketika bercuti bagi memastikan bateri telefon mudah alih anda boleh dicas di mana sahaja dengan mudah.

Namun, beberapa kes powerbank yang terbakar atau meletup menyebabkan syarikat-syarikat penerbangan memperkenalkan polisi terbaru bagi memastikan keselamatan setiap penumpang dalam pesawat.

Risiko powerbank dalam pesawat

kebakaran power bank

Bateri lithium-ion yang digunakan dalam powerbank boleh menjadi tidak stabil jika dikendalikan secara tidak selamat.

Risiko seperti kepanasan melampau, kebakaran, dan letupan boleh berlaku dalam situasi tertentu.

Oleh itu, syarikat penerbangan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penumpang, kru penerbangan, dan pesawat

Bagi memastikan pematuhan yang lebih efektif, syarikat-syarikat penerbangan juga sudah memaparkan polisi terbaru mereka mengenai penggunaan powerbank dalam pesawat di pintu masuk balai pelepasan.

Kegagalan mematuhi undang-undan baru ini boleh menyebabkan powerbank anda dirampas sewaktu pemeriksaan kastam.

Dengan pengenalan polisi baru ini oleh syarikat-syarikat penerbangan, penumpang dinasihatkan untuk menyemak spesifikasi power bank mereka sebelum menaiki pesawat bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Mencari power bank? 15 Power Bank Terbaik Paling Nipis & Tahan Lama

Polisi Malaysia Airlines, Firefly, dan MASwings

Bagi pelanggan Malaysia Airlines, Firefly, dan MASwings, berikut adalah polisi dan panduan penggunaan powerbank dalam pesawat yang telah diumumkan:

Berkuat kuasa 1 April 2025, semua penumpang yang melakukan perjalanan dengan Malaysia Airlines, Firefly, dan MASwings mesti mematuhi polisi terkini mengenai pembawaan powerbank di dalam pesawat.

Power bank mesti dibawa bersama anda pada setiap masa dan tidak boleh diletakkan di dalam petak bagasi atas.

Semasa penerbangan, anda boleh menyimpannya di dalam bagasi tangan anda di bawah tempat duduk, atau di dalam poket tempat duduk di hadapan anda.

Power bank pengecas tanpa wayar magnetik mesti disimpan di dalam beg berasingan atau kantung pelindung untuk mengelakkan pengaktifan tidak sengaja.

Mengecas atau menggunakan powerbank adalah dilarang sama sekali sepanjang penerbangan.

Pembawaan powerbank dan bateri litium-ion ganti dalam bagasi daftar masuk adalah dilarang sama sekali.

Sumber: Malaysia Airlines

Polisi AirAsia

panduan powerbank dalam pesawat

Bagi pelanggan AirAsia, Air Asia telah mengeluarkan polisi dan panduan penggunaan powerbank dalam pesawat seperti berikut:

Penumpang hanya dibenarkan membawa bateri mudah alih (powerbank) yang tidak melebihi 100 watt-jam (Wh) ke dalam pesawat.

Bateri mudah alih antara 100Wh dan 160Wh memerlukan kelulusan syarikat penerbangan di kaunter daftar masuk.

Bagi tujuan keselamatan:

  • Bateri mudah alih dilarang dimasukkan ke dalam bagasi daftar masuk dan mesti dibawa ke dalam kabin.
  • Bateri mudah alih mesti disimpan di dalam poket tempat duduk di hadapan atau di bawah tempat duduk.
  • Bateri mudah alih dilarang disimpan di dalam ruang penyimpanan atas.
  • Bateri mudah alih dilarang digunakan sepanjang penerbangan.
  • Bateri mudah alih dilarang digunakan untuk mengecas peranti elektronik mudah alih lain sepanjang penerbangan.

Sumber: Air Asia

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut