Tidak habis dengan trend Challo Run, kali ini trend “Old Money” pula menjadi viral di negara kita khususnya dalam golongan muda.
Namun apakah yang dimaksudkan dengan Old Money? Dan mengapa ia menjadi ikutan ramai pempengaruh khususnya mereka yang mempunyai perniagaan dan bisnes sendiri?
Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci, jom baca artikel ini sehingga habis!
Maksud Trend Old Money
Trend “Old Money” merujuk kepada gaya hidup dan penampilan yang mengimitasi gaya elagan serta tradisi golongan elit lama yang mewarisi kekayaan dari generasi ke generasi.
Ia lebih kepada cara berfesyen, pembawaan diri, dan falsafah hidup yang menonjolkan ketenangan, kesederhanaan, dan kemewahan yang tidak berlebihan.
Dalam era moden, ramai yang mula mengidolakan gaya hidup ini kerana ia memancarkan aura kelas dan kekayaan yang tidak memerlukan paparan yang terang-terangan atau berlebihan. Dalam trend Old Money, penampilan adalah elemen penting.
Secara ringkas, trend Old Money melambangkan sebuah gaya hidup yang mementingkan nilai tradisi, budaya yang sopan, dan kesederhanaan dalam kemewahan. Ia tida hanya tentang pemilihan pakaian dan aksesori tetapi juga tentang mengamalkan gaya hidup yang dihormati, penuh etika, dan mengutamakan kualiti serta nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Ciri-Ciri Keluarga Old Money
Ciri-ciri keluarga Old Money boleh dilihat melalui pendekatan mereka terhadap kehidupan dan bagaimana mereka membawa diri. Kebanyakkan keluarga ini mengamalkan nilai kesopanan, ketenangan, dan kematangan dalam setiap tindakan mereka.
Mereka menngutamakan pendidikan yang berkualiti tinggi, seringkali memilih institusi terkemuka dunia seperti Harvard, Yale, dan Oxford.
Penekanan terhadap pendidikan ini bukan sekadar untuk kecemerlangan akademik tetapi juga untuk membentuk nilai budaya dan etika yang tinggi. Keluarga Old Money tidak tertarik pada kekayaan yang terpapar secara mencolok; mereka lebih cenderung pada gaya hidup yang ringkas tetapi penuh elegan, berbeza dengan golongan New Money yang kerap menunjukkan kekayaan mereka secara terang-terangan.
Malah, mereka juga memilih untuk terlibat dalam acara amal dan aktiviti komuniti sebagai cara untuk menunjukkan rasa tanggungjawab sosial mereka.
Contoh Keluarga Old Money
Contoh keluarga Old Money termasuk keluarga Rockefeller di Amerika Syarikat, keluarga Rothschild di Eropah, dan keluarga Agnelli di Itali. Keluarga-keluarga ini telah lama terkenal dengan kekayaan mereka, namun mereka tidak terlalu menonjolkan kekayaan tersebut.
Sebaliknya, mereka terlibat dalam pelaburan strategik dan usaha amal yang besar, memberikan impak yang signifikan dalam komuniti setempat dan dunia secara amnya. Keluarga seperti ini jarang terlibat dalam kontroversi dan lebih memilih untuk mengekalkan kehidupan yang peribadi dan sederhana di mata masyarakat umum.
Cara Berpakaian atau Dress Code
Dari segi dress code, golongan Old Money mempunyai gaya yang sangat klasik dan berkualiti tinggi. Mereka mengutamakan pakaian dari jenama-jenama terkemuka yang mengekalkan mutu kraf, seperti Ralph Lauren, Brooks Brothers, dan Hermès, namun mereka tidak mengejar trend fesyen semasa.
Sebaliknya, pakaian yang dipilih adalah abadi, tidak mudah ketinggalan zaman, dan bersesuaian dengan acara sosial yang mereka hadiri.
Golongan Old Money terkenal dengan gaya “preppy” yang kemas dan bersahaja, tetapi tetap kelihatan mahal. Warna-warna pakaian mereka cenderung kepada yang neutral seperti biru navy, putih, dan kelabu, yang menunjukkan rasa keanggunan tanpa perlu tampak menonjol.
Artikel Berkaitan: Andika Putera : Biodata Usahawan Kacak Geng “Old Money”
Perbezaan Old Money dan New Money
Jadual ini menunjukkan perbezaan utama antara Old Money dan New Money dari segi cara hidup, penampilan, dan falsafah kewangan.
Aspek | Old Money | New Money |
---|---|---|
Asal Kekayaan | Warisan kekayaan turun-temurun | Kekayaan baru yang diperoleh sendiri |
Gaya Hidup | Elegan, sederhana, tidak menonjol | Glamor, mencolok, cenderung menonjolkan kekayaan |
Falsafah Berbelanja | Membeli untuk kualiti dan ketahanan jangka panjang | Membeli untuk mempamerkan kekayaan dan status |
Pilihan Pakaian | Klasik, warna neutral, jenama abadi | Mengikut trend terkini, warna terang, jenama terkenal |
Acara Sosial | Acara eksklusif dan amal, sering tertutup | Terbuka kepada umum, lebih berorientasi kepada hiburan |
Pendidikan | Mengutamakan pendidikan di institusi terkenal seperti Ivy League atau Oxbridge | Tidak semestinya dari institusi terkenal, lebih fleksibel dalam pilihan |
Pendekatan Kekayaan | Tidak menonjolkan kekayaan secara terang-terangan | Cenderung mempamerkan kemewahan secara terbuka |
Etika dan Nilai | Sopan, merendah diri, mengutamakan integriti | Lebih bebas, kadang kala mencerminkan gaya hidup mewah |
Aset dan Pelaburan | Fokus pada aset kekal seperti hartanah dan seni | Lebih terbuka kepada pelaburan berisiko tinggi seperti saham dan kripto |
Penampilan | Terjaga tetapi tidak mencolok, “understated luxury” | Lebih memukau, sering mengikuti trend terkini |
Komuniti “Old Money” Andika Putera
Pempengaruh media sosial, Andika Putera sekali mendapat perhatian ramai apabila beliau menubuhkan komuniti “Old Money”.
Menariknya lagi walaupun belum sampai seminggu usia penubuhannya, komuniti ini dikatakan telah menarik lebih 300 orang yang kini sudah mendaftar sebagai ahli.
Tagline yang dibawa oleh komuniti @oldmoneyclub.my ini adalah #bergayasampaikaya. Menurutnya lagi, mereka yang menyertai komuniti ini akan mendapatkan beberapa manfaat menarik seperti percuma baju, membina networking, dan banyak lagi.
Komuniti Old Money yang ditubuhkan Andika ini juga memberi peluang kepada anak muda di luar sana untuk berkongsi passion yang sama, fesyen yang sama, membina networking bersama, dan membina “personal content”.
Pengaruh Old Money Style
Pengaruh Old Money style dalam kehidupan usahawan berjaya adalah besar, terutama dari segi kesederhanaan, etika, dan profesionalisme yang mereka bawa.
Banyak usahawan hari ini yang berjaya melihat gaya hidup dan falsafah hidup Old Money sebagai sumber inspirasi untuk membina jenama mereka dengan imej yang dihormati, tidak semata-mata mengejar populariti tetapi lebih kepada kredibiliti.
Pengaruh gaya hidup ini menggalakkan usahawan untuk fokus kepada membina aset jangka panjang dan mementingkan pendidikan dan sumbangan kepada msyarakat sama ada melalui yayasan atau tanggungjawab sosial.
Malah, falsafah Old Money sering kali dikaitkan dengan etika kerja dan integriti, nilai yang amat dihormati dalam dunia perniagaan.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, Old Money bukan sahaja merujuk kepada kekayaan material tetapi juga kepada warisan nilai, budaya, dan gaya hidup yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Golongan ini hidup dalam keharmonian antara kekayaan dan tanggungjawab, mencerminkan kestabilan dan kecemerlangan hidup yang sebenar. Sementara New Money mungkin lebih menonjolkan kekayaan dalam cara yang lebih terang-terangan, Old Money tetap relevan sebagai simbol ketenangan, kematangan, dan ketenangan yang sebenar.
Sumber:
- New Money vs Old Money. Wealthtender
- TikTok @oldmoneyclub.my