Niat Wudhu & Doa Selepas Wuduk – Panduan Lengkap JAKIM
Sebelum beribadah khususnya menunaikan solat, kita diwajibkan untuk mengambil wudhu dengan sempurna untuk memastikan ibadah kita sah.
Oleh itu, mempelajari cara menunaikan wudhu dengan sempurna adalah sangat penting.
BACA JUGA: Niat Qada Solat – Panduan Ganti Solat Fardhu
Pengertian Wudhu
Wudhu bermaksud kebaikan dan kebersihan daripada sudut bahasa.
Dari segi istilah, ia bermaksud penggunaan air yang suci pada anggota tertentu (iaitu membasuh muka, dua belah tangan hingga ke siku, menyapu kepada dan membasuh kedua-dua belah kaki) dengan dimulai dengan niat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali … ” – (Surah Al-Maai’dah, ayat 6)
Rukun Wuduk
Rukun wuduk mempunyai 6 perkara :
- Niat (Niat di dalam hati ketika mula membasuh muka)
- Membasuh muka (Basuh seluruh muka dari tempat tumbuh rambut sehingga bawah dagu dan dari anak telinga kanan ke kiri)
- Membasuh kedua belah tangan hingga ke siku
- Menyapu sebahagian kepala
- Membasuh kedua belah kaki hingga buku lali
- Tertib (Membasuh anggota-anggota tadi mengikut urutan rukun yang dinyatakan)
Tidak SAH wuduk jika sekiranya tertinggal salah satu rukun atau anggota wajib wuduk.
Niat Wudhu
Niat wuduk merupakan salah satu rukun yang menjadikan keabsahan wudhu. Adapun melafazkan niat wuduk adalah sunat bagi membantu hati menghadirkan niat.
Namun sekiranya berada di tandas mahupun bilik air, memadai hanya berniat wudhu di dalam hati sahaja tanpa perlu melafazkan nama Allah seperti niat : “sahaja aku mengangkat hadas kecil”.
Hal ini kerana lafaz “اللَّهِ تَعَالَى” tidak menjadi syarat keabsahan wuduk dan hukum menyebut kalimah “Allah” di dalam tandas adalah makruh.
Rujukan: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5539-al-kafi-1923
Lafaz Niat
نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ الْأَصْغَرِ لِلَّهِ تَعَالَى
Lafaz niat: Nawaitu Rafaal Hadasi As-Ghori Lillahi Taala
Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala”
Niat yang wajib ialah lintasan dalam hati yang dihadirkan ketika mula membasuh sebahagian muka.
Sebaik-baiknya, dilafazkan niat sebelum mula mengambil wuduk untuk memudahkan berniat dalam hati.
Anggota Wajib Wudhu
- Seluruh muka beserta niat.
- Membasuh tangan hingga ke siku.
- Membasuh sebahagian daripada kepada sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut
- Membasuh kaki sehingga ke buku lali.
Doa Selepas Berwudhu
Selepas selesai mengambil wudhu, disunatkan untuk membaca doa berikut:
أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِيْنَ وَاجْعَلْنِيْ مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ. سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ.
Asy-hadu An Laa ilaha illallahu Wahdahu Laa Syarikalah Wa-asy-hadu Anna Muhammadan ‘Abduhu Warasuluh.Allahummaj-‘alni Minat Tauwabin, Waj-‘alni Minal Mutatahhirin Waj-‘alni Min ‘ibadikas-solihin.
Maksudnya:
“Aku bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tidak ada sekutu untuk Nya. Aku bersaksi juga bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusan Nya. Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat kepada Mu. Dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersih. Dan jadikan aku daripada golongan hamba Mu yang soleh.”
Baca juga : Doa Selepas Wuduk, Makna & Kelebihannya – JAKIM
Syarat Sah Wudhu
Berikut adalah syarat sah wudhu yang mesti dipatuhi untuk memastikan wudhu tersebut sah dan sempurna.
- Islam.
- Mumaiyiz (kanak-kanak yang sudah pandai membezakan antara perkara yang baik dan buruk).
- Suci daripada haid dan nifas.
- Menggunakan air mutlak.
- Tidak ada benda yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk (contohnya seperti cat, getah, pengilat kuku, lilin, kapur, minyak atau daki tebal yang melekat di celah jari, di bawah kuku atau di celah rekahan pada tumit).
- Tidak berubah sifat air wudhu akibat benda asing yang melekat pada anggota wudhu. (Contohnya sabun, bedak atau apa-apa sahaja yang melekat pada anggota wudhu. Sekiranya ada, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwudhu).
Perkara Membatalkan Wudhu
- Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur.
- Tidur tidak tetap kedudukan dua papan punggung.
- Hilang akal kerana mabuk, pengsan, gila, tidur, pitam dan lain-lain.
- Bersentuh kulit antara lelaki dan wanita yang halal nikah (ajnabi / bukan mahram) tanpa berlapik.
- Menyentuh kemaluan hadapan atau belakang dengan perut tapak tangan atau perut anak jari dengan tidak belapik. Kemaluan itu sama ada kepunyaan sendiri atau kepunyaan orang lain, lelaki atau perempuan, yang hidup atau yang telah mati.
BACA JUGA: Niat Mandi Wajib Ketika Haid, Keluar Air Mani, Bersetubuh – Untuk Lelaki & Perempuan
Penutup
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk membantu anda mengerjakan wudhu dengan sempurna.