Puasa 6 Syawal – Tarikh, Niat Gabung Puasa Ganti, Kelebihan

niat puasa 6
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Setelah selesai melaksanakan puasa Ramadan, umat Islam berpeluang untuk menunaikan Puasa 6 Syawal.

Tahukah anda apakah kelebihan puasa ini?

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang Puasa Enam Syawal.

Apakah Kelebihan Puasa Enam Syawal?

Dalam kemeriahan kita meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini selepas 2 tahun PKP, jangan lupa melaksanakan Puasa 6 tau!

Nak tahu kenapa? Ganjaran Puasa Sunat Enam di bulan Syawal ini amat besar!

Menurut sebuah hadis:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian di ikuti dengan 6 hari puasa di bulan Syawal pula, samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun”.

(Riwayat Muslim Ahmad Abu Daud Al Tarmizi Ibnu Majah)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM puasa 6 syawal

Kelebihan Puasa 6 Hari Dalam Bulan Syawal

  1. Pahala sama dengan berpuasa setahun
  2. Puasa pada bulan Syaaban dan Syawal menyempurnakan puasa Ramadan.
  3. Dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  4. Bukti syukur kita kepada Allah SWT.
  5. Bukti keikhlasan amal soleh sepanjang bulan Ramadan.

Oleh itu, sementara kita masih mempunyai masa janganlah kita melepaskan peluang untuk meraih pahala puasa enam yang hanya datang setahun sekali ini!

Cara Pelaksanaan

Puasa enam hari dalam bulan Syawal boleh dilakukan secara berselang-seli, berturut-turut atau mana-mana hari dalam bulan tersebut selain hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Tetapi cara yang paling afdhal adalah berturut-turut selepas hari pertama bulan Syawal (iaitu mulai 2 Syawal).

Ini kerana, melewatkannya akan menimbulkan rasa malas sedangkan bersegera melakukan ibadah adalah afdhal.

Rujuk infografik JAKIM di bawah:

Lafaz Niat Puasa 6 Syawal

LAFAZ NIAT PUASA 6 SYAWAL

نَوَيتُ صَوْمَ غَدٍ عَن سِنَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تعَالى

Bacaan Rumi : Nawaitu souma ghodin ‘an sittatin min syawwalin sunnatan lillahi taala

Maksudnya: “Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari Syawal kerana Allah Ta’ala”

ANTARA TARIKH CADANGAN PUASA ENAM YANG BOLEH DIPILIH UNTUK TAHUN INI

  1. 15 April 2024 bersamaan 6 Syawal (Isnin)
  2. 18 April 2024 bersamaan 9 Syawal (Khamis)
  3. 22 April 2024 bersamaan 13 Syawal (Hari Putih+ Isnin)
  4. 23 April 2024 bersamaan 14 Syawal (Hari Putih)
  5. 24 April 2024 bersamaan 15 Syawal (Hari Putih)
  6. 25 April 2024 bersamaan 16 Syawal (Khamis)
  7. 29 April 2024 bersamaan 20 Syawal (Isnin)
  8. 02 Mei 2024 bersamaan 23 Syawal (Khamis)
  9. 06 Mei 2024 bersamaan 27 Syawal (Isnin)
  10. 09 Mei 2024 bersamaan 30 Syawal (Khamis)

Pada tarikh-tarikh ini berhimpunnya fadilat-fadilat berikut, iaitu:

  1. Puasa 6 Syawal
  2. Puasa Isnin dan Khamis
  3. Puasa Hari Putih

*Walau bagaimanapun, puasa enam boleh dilaksanakan pada bila-bila masa di bulan Syawal melainkan 1 Syawal, dan tarikh-tarikh ini hanya sekadar cadangan sahaja.
Mudah-mudahan kita berjaya memperoleh ganjaran kebaikan daripada amalan ini.

puasa hari putih syawal 1445 2024

NIAT PUASA ENAM

* Niat Puasa Enam Sahaja

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ شَوَّالْ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa sunat Syawal pada esok hari, kerana Allah Taala.”

* Niat Puasa Qada (Ganti) dan Puasa Enam Syawal

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءٍ فَرْضَ رَمَضَانً وَصَوْمَ شَوَّالْ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa ganti Ramadan yang wajib ke atas diriku beserta puasa sunat Syawal pada esok hari, kerana Allah Taala.”

Baca juga: JAKIM : Doa Berbuka Puasa & Ketika Hampir Berbuka

Hukum Gabung Puasa 6 Dengan Puasa Ganti

Saban tahun, persoalan menggabungkan puasa enam dengan puasa ganti kerap ditanya.

Bagi wanita khususnya, ramai yang inginkan kepastian sama ada ganti puasa boleh disekalikan dengan puasa enam.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menggabungkan antara puasa wajib dengan puasa sunat hukumnya HARUS.

Meskipun diharuskan, menutut mazhab Syafie, tetapi ganjaran atau pahala puasa diperolehi kurang sempurna. Ini kerana ia lebih afdal dilakukan pada hari berlainan.

Rujuk: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3458-al-kafi-1275-bolehkah-niat-puasa-enam-dan-puasa-ganti-secara-serentak

Qadha Puasa vs Puasa Syawal – Oleh Ustazah Asma’ Harun

PUASA QADHA VS PUASA ENAM DI BULAN SYAWAL: MANA SATU YANG PERLU DIDAHULUKAN ATAU BOLEH DISEKALIKAN 

Pandangan Ulama Mengenai Hal Ini

• Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu MENGGABUNGKAN NIAT puasa enam di bulan Syawal dan puasa qadha.

PANDANGAN PERTAMA: HANYA SAH PADA SATU NIAT SAHAJA

Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari (ulama di dalam mazhab Syafie) berpandangan, sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir;

“Jika seseorang berpuasa pada bulan Syawal untuk puasa qadha atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Pahala yang sempurna tidak akan diperoleh melainkan dengan hanya berniat puasa khusus untuk enam hari di bulan Syawal sahaja.”

PANDANGAN KEDUA: SAH NIAT KEDUA-DUANYA

Pandangan Imam Ramli, Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam Sulaiman al-Bujairimi, Imam as-Suyuthi dan ulama-ulama lain di dalam mazhab Syafie.

Imam Ramli (ulama mazhab Syafie) menukilkan dalam kitab Fatawa Imam Ramli iaitu:

“Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhan walaupun menggabungkan niat puasa qadha dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa enam hari di bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).”

Imam Ibnu Hajar al-Haitami (ulama mazhab Syafie) pula membincangkannya dalam kitab al-Fatwa al-Kubra:

“Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau jika diniatkan salah satu, maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.”

Dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi karya Imam Sulaiman al-Bujairimi (ulama mazhab Syafie) pula mengqiyaskan (menyamakan hukum) menggabungkan niat puasa enam di bulan Syawal dan puasa qadha dengan pahala solat sunat Tahiyatul Masjid walaupun seseorang itu tidak melakukannya. Beliau menyebutkan:

“Terhasil pahala solat sunat Tahiyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lain, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyatul Masjid tersebut.”

Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

“Apabila masuk salah seorang daripada kamu ke dalam masjid, hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga, maksud ayat bagi ‘solat sebelum duduk’ yang disebutkan dalam hadis tersebut adalah termasuk dengan melakukan solat fardu atau solat sunat yang lain.

Imam as-Suyuti (ulama mazhab Syafie) menjelaskan dalam kitab Asybah Wan Nadzoir:

“Sekiranya seseorang berpuasa sunat, qadha atau nazar atau kafarah dan menggabungkan niat puasa sunat dengan wajib, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (niat secara umum) maka keadaan tersebut mengikut seperti hukum solat Tahiyatul Masjid.”

KHILAF ITU RAHMAT DAN PILIHAN, BUKAN BALA BAGI UMAT UNTUK MELAGAKAN

niat puasa 6 syawal gabung ganti ramadan

PANDANGAN PERTAMA: PUASA QADHA TERLEBIH DAHULU

Yusuf al-Qaradawi cenderung untuk bersegera menggantikan puasa qadha terlebih dahulu:

“Saya memilih wanita itu mesti menggantikan puasa qadha terlebih dahulu, kemudian barulah berpuasa sunat. Ini kerana, manusia tidak terjamin usianya. Orang sihat boleh jatuh sakit, orang muda akan menjadi orang tua dan orang yang kuat boleh menjadi orang yang lemah.”

PANDANGAN KEDUA: BOLEH MEMILIH SAMA ADA PUASA QADHA ATAU PUASA ENAM TERLEBIH DAHULU

Jumhur ulama menyatakan hujah berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam safar (bermusafir) maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 185)
Ayat tersebut tidak menyatakan bahawa wajib menggantikan puasa dengan kadar segera. Justeru, dibolehkan sekiranya ingin melakukan puasa enam di bulan Syawal terlebih dahulu berbanding puasa qadha.

KESIMPULAN:

Mengikut pendapat yang muktamad, afdhal (lebih baik) mengasingkan niat puasa enam di bulan Syawal dengan puasa qadha.
Walau bagaimanapun, sah jika menggabungkan niat puasa enam di bulan Syawal dengan puasa qadha serta mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif (lemah).
Dibolehkan puasa enam terlebih dahulu jika:

1. Dibimbangi tidak sempat untuk puasa enam jika didahului puasa qada.
2. Sihat walafiat untuk puasa qada selepas itu.

Namun begitu, menyegerakan untuk menggantikan puasa terlebih dahulu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak.

Wallahu A’lam.

RUJUKAN: Sumber asal oleh FB Ustazah Asma Harun

1. Al-Quran
2. Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir karya Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari
3. Kitab Fatawa Imam Ramli karya Imam Ramli
4. Kitab al-Fatwa al-Kubra karya Imam Ibnu Hajar al-Haitami
5. Kitab Hasyiah al-Bujairimi karya Imam Sulaiman al-Bujairimi
6. Kitab Asybah Wan Nadzoir karya Imam Suyuthi

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut