Al-Quran merupakan kitab suci yang menjadi rujukan utama umat Islam. Al-Quran ini dikatakan mempunyai banyak nama lain. Kepelbagaian nama ini menggambarkan keistimewaan dan kemuliaan Al-Quran itu sendiri.
Sebagai umat Islam, kita sangat digalakkan untuk mempelajari dan mengetahui tentang sumber rujukan utama kita ini. Oleh itu, pastikan anda bersama dengan artikel ini, sehingga ke penghujung artikel ini.
Apa itu Al-Quran?
Al-Quran adalah wahyu atau kitab suci yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W. sebagai pedoman hidup bagi umat manusia. Kitab suci ini mengandungi 114 surah iaitu 86 surah Makiyyah dan 28 surah Madaniyyah.
Al-Quran ini berfungsi sebagai pedoman hidup bagi semua umat Islam. Ia mencakupi semua ajaran-ajaran dalam Islam seperti akidah, ibadah, akhlak, hukum, dan juga pelbagai aspek kehidupan lainnya. Oleh itu, hubungan dengan Al-Quran ini sangat perlu dijaga oleh setiap umat Islam.
Sebagai umat Islam, adalah wajib buat kita untuk beriman dengan Al-Quran. Hal ini demikian kerana, beriman dengan kitab-kitab Allah S.W.T merupakan salah satu rukun iman dan jika seseorang itu tidak percaya kepada salah satu dari enam rukun iman ini, keimanannya dianggap tidak sah.
Nama Lain bagi Al-Quran
Untuk pengetahuan anda, Al-Quran ini mempunyai banyak nama. Perkara ini turut menjadi perbincangan para ulama. Sebagai contoh, Imam Fakhruddin berpendapat al-Quran mempunyai sebanyak tiga puluh dua nama. Manakala, Al-Fairuz al-Abadi menyatakan Allah S.W.T menyebut nama bagi al-Quran berjumlah lebih daripada seratus nama.
Pencanggahan pendapat berkenaan jumlah nama ini, tidak membawa sebarang masalah, kerana yang pastinya kesemua nama ini merujuk kepada kesucian kitab Al-Quran ini.
Berikut merupakan antara nama-nama lain bagi Al-Quran yang utama untuk pengetahuan anda:
- Al-Kitab (Himpunan)
- Nama lain bagi Al-Quran yang pertama ialah Al-Kitab. Nama ini membawa maksud “himpunan” kerana, di dalam Al-Quran ini telah dihimpunkan pelbagai ilmu, kisah dan pengkhabaran yang boleh dijadikan pengajaran kepada umat Islam pada hari ini dan akan datang.
- Al-Furqan (Pembeza)
- Al-Furqan pula membawa maksud “pembeza”. Nama ini deberikan sempena tugas Al-Quran yang berfungsi sebagai pemisah antara yang hak dan batil, benar dan salah. Ia membantu manusia membezakan antara jalan yang lurus dan jalan yang sesat.
- Adz-Dzikr (Peringatan)
- Al-Quran juga dikenali sebagai Adz-Dzikr, yang bermaksud “peringatan”. Ia sentiasa mengingatkan manusia tentang tanggungjawab mereka terhadap Pencipta dan mengajak mereka kembali kepada jalan yang benar.
- An-Nur (Cahaya)
- Nama An-Nur juga diberikan kepada Al-Quran kerana, Al-Quran ini merupakan cahaya dalam kehidupan yang mampu mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kesesatan duniawi ini.
- Ar-Rahmah (Rahmat)
- Al-Quran adalah Ar-Rahmah, iaitu “rahmat”. Ia merupakan tanda kasih sayang dan belas kasihan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W dan juga hamba-Nya.
- Al-Huda (Petunjuk)
- Nama Al-Huda bermaksud “petunjuk”. Al-Quran adalah panduan hidup yang menunjukkan jalan lurus menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.
- Asy-Syifa’ (Penyembuh)
- Al-Quran juga dikenali sebagai Asy-Syifa‘, yang bermaksud “penyembuh”. Ia menyembuhkan penyakit hati dan jiwa, memberikan ketenangan dan kedamaian kepada mereka yang membacanya dengan penuh keikhlasan.
- Al-Mau’izah (Pengajaran)
- Nama Al-Mau’izah diberikan kerana fungsi Al-Quran yang membantu dalam memberikan pengajaran dan nasihat berguna kepada umat Islam. Al-Kitab ini mengingatkankita tentang kisah-kisah umat terdahulu dan mengambil iktibar daripadanya.
- Al-Hakim (Bijaksana)
- Nama Al-Hakim diberikan kerana sifat Al-Quran yang mengandungi kebijaksanaan dan hikmah didalamnya yang sesuai untuk semua zaman dan keadaan.
- Al-Mubarak (Yang Diberkati)
- Nama Al-Quran terakhir yang akan kami terangkan buat anda ialah Al-Mubarak. Nama ini diberikan kerana kitab ini merupakan kitab yang penuh dengan keberkatan sama ada kepada pembaca atau pun orang yang mendengar ayat-ayat didalamnya.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Kelebihan Membacanya
Membaca Al-Quran memiliki banyak kelebihan yang signifikan, baik dari segi spiritual, mental, maupun sosial. Berikut adalah beberapa kelebihan utama:
- Memperoleh Pahala
- Membaca Al-Quran adalah salah satu amal ibadah yang sangat dianjurkan dalam Islam. Setiap huruf yang dibaca akan mendatangkan pahala, malah bagi orang yang hanya mendengarkan ayat Al-Quran juga akan memperoleh pahala.
- Meningkatkan Keimanan
- Al-Quran merupakan sumber utama ajaran Islam. Membacanya dapat meningkatkan pemahaman dan keimanan seseorang terhadap ajaran agama ini.
- Memperoleh Ketenangan Jiwa
- Dengan membaca ayat Al-Quran, Insya-Allah kita akan memperoleh ketenangan dan kedamaian dalam kehidupan seharian kita.
- Memperoleh Petunjuk Hidup
- Al-Quran berisi panduan untuk menjalani kehidupan sehari-hari. Dengan membaca dan menghayati kitab ini, kita akan memperoleh banyak petunjuk dan panduan dalam menyelesaikan masalah kita.
- Memperoleh Syafaat
- Bagi umat Islam yang rajin membaca Al-Quran, Allah S.W.T menjanjikan syafaat buat mereka sewaktu berlakunya perhintungan di Padang Mashyar nanti. Perkara ini telah dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W sendiri:
Dari Abu Umamah r.a. katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Bacalah olehmu semua akan al-Quran itu, sebab al-Quran itu akan datang pada Hari Kiamat sebagai sesuatu yang dapat memberikan syafaat (pertolongan) kepada orang-orang yangmemilikinya (membaca, menghayati dan mengamalkannya).”HR Muslim
Baca juga: Tarikh Cuti Nuzul Al-Quran 2025 Di Malaysia