Di zaman moden ini, ramai wanita sudah bekerja dan tidak lagi mengharapkan wang dari suami. Namun begitu, penting untuk kita faham bahawa dalam sesebuah rumahtangga, nafkah adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh suami kepada isteri.
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentangnya.
Apakah Itu Nafkah?
Nafkah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib ke atas seseorang sama ada isteri, anak dan orang- orang yang di bawah tanggungannya. Ia termasuk keperluan tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, keagamaan dan perubatan.
Sebab-sebab yang mewajibkan nafkah atas seseorang adalah seperti yang berikut:
- perkahwinan;
- keturunan;
- kanak-kanak yang diterima sebagai ahli keluarga (contoh: anak angkat).
Nafkah Wajib Suami Kepada Isteri / Tanggungan / Anak-anak
Menurut JAKIM, para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri, anak-anak, atau sesiapa yang berada di bawah tanggungannya itu ialah seperti:
- Makanan
- Barang-barang dapur
- Pakaian
- Tempat tinggal
- Alat-alat untuk membersihkan diri
- Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaan isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).(Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/542)
Dari segi guaman pula, jenis-jenis nafkah adalah seperti yang berikut:
- nafkah isteri – semasa perkahwinan;
- nafkah idah;
- nafkah anak
Nafkah Isteri Selepas Penceraian
Islam menekankan tanggungjawab suami dalam memberi nafkah terhadap isteri bukan sahaja sepanjang tempoh perkahwinan, bahkan pensyariatan ini berjalan dan dilaksanakan selepas terjadinya perceraian.
Justeru, hak nafkah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan idah dalam sesuatu talak itu sendiri, iaitu sama ada idah talak raj’i, idah talak ba’in atau idah kematian suami.
Pemberian nafkah kepada isteri yang diceraikan tertakhluk kepada keadaan isteri yang diceraikan sama ada talak rajie atau bain atau perceraian sebelum persetubuhan.
i) Sekiranya seseorang isteri diceraikan oleh suaminya dengan talaq rajie maka menjadi tanggungjawab ke atas suami menyediakan nafkah berikut kepada isterinya selama ia di dalam iddah:
- Menyediakan makanan yang sepatutnya.
- Menyediakan pakaian yang sepatutnya.
- Menyediakan tempat tinggal untuk isteri yang diceraikan itu.
- Menyediakan apa-apa yang patut kepada seorang isteri seperti belanja perubatan dan sebagainya.
ii) Sekiranya ia diceraikan oleh suaminya dengan talaq bain, maka isteri tersebut hanya layak mendapat kemudahan tempat tinggal daripada suaminya selama ia di dalam iddah. Tetapi sekiranya ketika diceraikan ia sedang hamil maka dia juga layak mendapat keempat-empat kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talaq rajie.
iii) Sekiranya isteri yang diceraikan belum lagi disetubuhi maka dia tidak layak mendapat apa-apa nafkah daripada suaminya.
Pemberian nafkah akan gugur dengan sendirinya apabila suami meninggal dunia ketika isterinya di dalam iddah. Perempuan yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah daripada suaminya semasa di dalam iddah.
Perkara Yang Boleh Dituntut Oleh Isteri Selepas Bercerai
Menurut sumber, berikut adalah Perkara-perkara Yang Boleh Dituntut Di Mahkamah Syariah Selepas Perceraian Adalah Seperti Berikut :
1. Nafkah Edah
Nafkah edah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam tempoh Edah Raj’ie disebabkan sesuatu perceraian iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syarak.
2. Mut’ah
iaitu satu bayaran yang wajib ke atas suami yang diberi kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut Hukum Syarak. Kadar mut’ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut’ah tersebut.
3. Harta Sepencarian
Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah yang berbidangkuasa. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
4. Tunggakan Nafkah
Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut dimana-mana Mahkamah Syariah.
5. Tunggakan Nafkah Anak
Tunggakan nafkah anak boleh dipohon kepada Mahkamah apabila suami atau bekas suami telah gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak tersebut.
6. Hak Jagaan Anak Hadhanah
Bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri. Mengikut Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa, ibu adalah yang paling berhak bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan).
Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, Mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.
7. Nafkah anak
Ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya.
8. Hak Tempat Tinggal
Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dalam pekahwinan selama tempoh edah.
Bilakah Mahkamah Boleh Mengeluarkan Perintah Nafkah Bagi Isteri & Anak?
Mahkamah boleh, pada bila-bila masa, memerintahkan seseorang bapa untuk membayar nafkah anaknya
- jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan nafkah dengan munasabah bagi anak dan/atau isterinya;
- jika dia telah meninggalkan langsung isterinya, dan anaknya itu adalah dalam penjagaan isterinya;
- dalam masa menanti keputusan sesuatu perbicaraan hal ehwal suami isteri di mahkamah; atau
- apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain.
Jumlah Nafkah Yang Ditetapkan
Jumlah nafkah yang perlu diberikan oleh suami kepada isteri atau bapa kepada anak adalah bergantung kepada faktor berikut:
- pendapatan dan tanggungan Pihak Yang Kena Tuntut;
- keperluan isteri dan anak-anak;
- umur anak-anak.
Pada umumnya, perintah nafkah anak berkuat kuasa sehingga usia anak 18 tahun atau sehingga dibenarkan oleh Mahkamah. Bagi anak perempuan, perintah nafkah tersebut berkuat kuasa selagi belum berkahwin.
Bilakah Kegagalan Menunaikan Nafkah Dikira Sebagai Hutang?
Nafkah isteri dikira sebagai hutang apabila tidak dibayar bermula dari kewajipan membayar nafkah.
Nafkah anak dikira hutang selepas adanya perintah Mahkamah.
Dokumen Tuntutan Nafkah
Apakah dokumen yang diperlukan apabila membuat tuntutan nafkah di Jabatan Bantuan Guaman?
Setiap permohonan untuk mendapatkan khidmat Jabatan Bantuan Guaman perlu mengemukakan dokumen yang berikut:
- kad pengenalan;
- surat rujuk;
- sijil perakuan nikah;
- sijil kelahiran;
- surat perakuan cerai;
- surat perakuan anak angkat (jika berkaitan);
- dokumen lain yang berkaitan (jika ada);
- penyata gaji atau bukti pendapatan;
- nama/alamat/pekerjaan suami/isteri;
- nama/alamat majikan suami/isteri;
- penyata gaji, penyata cukai, akaun bank dan sebagainya.
Baca juga: e-Syariah: Semak Status Perkahwinan dan Perceraian Secara Online
Penutup
Terdapat dua saluran bantuan guaman di Malaysia:
1) Dikelolakan oleh Kerajaan melalui Jabatan Bantuan Guaman Malaysia sebagaimana berikut:
https://jbg.gov.my/…/info-jbg/senarai-pengarah-cawangan
2) Dikelolakan oleh Majlis Peguam Malaysia melalui Pusat Bantuan Guaman sebagaimana berikut:
https://www.malaysianbar.org.my/…/find-legal-aid-centres
Jangan sesekali meninggalkan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Pimpinlah keluarga kita dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Sila rujuk laman sesawang berikut untuk maklumat lanjut: