Warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi perlu khuatir dengan kes buli apabila KKM telah memperkenalkan satu sistem bagi aduan kes-kes buli iaitu MyHelp KKM.
Pengenalan sistem ini dapat membantu KKM mengatasi amalan buli dalam kalangan warga kerjanya yang berlaku di tempat kerja.
Mengenai MyHelp KKM
MyHelp adalah satu sistem pelaporan aduan berkenaan buli di tempat kerja khusus untuk warga kerja KKM yang mula diperkenalkan pada 1 Oktober 2022.
Menerusi sistem ini, mana-mana warga kerja KKM yang dibuli boleh mengemukakan aduan secara atas talian.
Pengenalan sistem ini adalah salah satu langkah KKM bagi membendung warga kerjanya daripada amalan buli terus menular.
Takrifan Buli
Takrifan buli menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia adalah suatu bentuk gangguan psikologi terdiri daripada kelakuan menindas secara kejam, jahat atau berdendam untuk mengaibkan atau merosakkan imej/kedudukan/martabat seorang pekerja atau sekumpulan pekerja, termasuk teguran atau kritikan negatif yang berterusan dan tidak wajar, memencilkan seseorang daripada hubungan sosial dan mengumpat atau menyebar maklumat palsu.
Ini bermakna, apa-apa perbuatan yang merujuk kepada takrifan tersebut adalah buli dan mereka boleh dibuli melaporkan perkara terbabit menerusi portal atau sistem tersebut.
Tempoh Siasatan
Tempoh masa siasatan dan penyelesaian kes tertakluk kepada kategori aduan sama ada kes biasa adalah 15 hari bekerja atau kes kompleks (lebih daripada tempoh 15 hari bekerja).
Cara Aduan Diproses
Setiap aduan akan diproses seperti berikut:
- KKM akan mengeluarkan nombor kes / rujukan setelah didaftar dalam sistem.
- KKM menghantar e-mel Akuan Terima kepada pengadu.
- Siasatan dijalankan.
- KKM maklumkan keputusan penyelesaian kes kepada pengadu.
- KKM menyerahkan borang penilaian pengadu terhadap perkhidmatan pengurusan aduan yang diberikan.
Pengecualian Pelaporan
KKM berhak menolak aduan yang dikemukakan melalui sistem ini sekiranya ia melibatkan perkara berikut:
- Perkhidmatan seperti pelantikan, penempatan, pengambilan, pemangkuan, kenaikan pangkat, pengurusan prestasi, pengiktirafan, kemajuan kerjaya, pergerakan gaji;
- Kes buli dan gangguan melibatkan perihal peribadi dan keluarga seperti pergaduhan antara suami, isteri atau anak, ancaman akibat tidak membayar hutang dan sebagainya;
- Kes buli dan gangguan yang melibatkan prosiding mahkamah;
- Kes gangguan seksual. Kes ini akan diuruskan sebagaimana Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018; Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual Di Tempat Kerja.
Cara Membuat Aduan
Untuk membuat aduan, sila ikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web https://myhelp.spab.gov.my/eApps/system/index.do.
- Klik bahagian “Aduan/Maklum Balas Baharu.”
- Isi maklumat dan aduan yang dikehendaki.
- Klik butang “Hantar.”
Soalan Lazim
Boleh, dengan izin pengadu.
Maklumat lengkap perlu dilaporkan sebagaimana yang ditetapkan dalam borang atas talian.
15 hari bekerja atau kes kompleks lebih daripada tempoh 15 hari bekerja.
Status aduan boleh diketahui melalui menu “Semak Aduan/Maklum Balas” menggunakan nombor rujukan / kes yang telah didaftar dalam sistem.
Info Lanjut
Info lanjut mengenai MyHelp KKM, sila layari laman web https://myhelp.spab.gov.my.
Baca juga: Piramid Makanan KKM : Pembaharuan dan Saranan Terbaru