Minyak bawang putih adalah merupakan salah satu bahan masakan yang mempunyai rasa tersendiri.
Ia seringkali digunakan sebagai pelengkap masakan untuk menambah rasa dan aroma. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai banyak khasiat dan kegunaan untuk pelbagai masalah kesihatan.
Mari kita teroka lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Minyak Batu: Ubat Tradisional Cina dengan Pelbagai Khasiat
Minyak Bawang Putih
Bawang putih atau nama saintifiknya Allium sativum adalah merupakan sejenis rempah yang wajib dalam kebanyakan masakan. Selain menambah kelazatan, ia juga terkenal dengan pelbagai khasiat kesihatan yang telah diiktiraf sejak zaman purba.
Selain itu, bawang putih yang dicincang halus kemudian digoreng bersama minyak masak atau minyak sayuran boleh menghasilkan minyak bawang putih yang kaya dengan aroma dan sifat-sifatnya yang unik.
Proses ini tidak hanya meningkatkan keharuman bawang putih tetapi juga mempertahankan komponen aktif di dalamnya yang memberikan minyak bawang putih sifat antibakteria, antivirus, anti-radang dan sebagainya.
Kandungan Nutrisi Minyak Bawang Putih
Minyak bawang putih adalah sumber yang kaya dengan vitamin, mineral, dan antioksidan. Komponen yang paling terkenal adalah Allicin sebatian semulajadi yang mengandungi sulfur dan Diallyl disulfide yang dipercayai mempunyai sifat antimikrob, anti-radang, kardiovaskular, neuroprotektif, antioksidan, dan antikanser.
Semasa pencernaan, bawang putih melepaskan sebatian sulfur yang beredar (circulate) ke seluruh badan, memberikan kesan biologi yang berkesan.
Khasiat Minyak Bawang Putih
1. Berkesan Menyembuhkan Luka & Penyakit Kulit
Minyak dan ekstrak bawang putih mempunyai sifat anti-radang, antibakteria, fibrinolitik dan sifat-sifat yang membantu penyembuhan luka.
Selain itu, ia uga berguna untuk merawat pelbagai masalah kulit seperti dermatitis atopik, jerawat, psoriasis, jangkitan kulat, parut, kedut, dan tanda-tanda penuaan lain.
2. Mengurangkan Risiko Penyakit Kardiovaskular
Minyak bawang putih juga mampu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Hal ini kerana, kandungan aktifnya, diallyl disulfide, yang mempunyai kesan anti-aterosklerotik (anti-atherosclerotic).
Kesan tersebut membantu meningkatkan aktiviti fibrinolitik yang boleh mengelakkan darah tergumpal, punca penyakit kardiovaskular seprti sakit jantung dan strok berlaku.
Minyak ini juga meningkatkan elastisiti saluran darah dan melancarkan peredaran darah. Dengan ciri tersebut, ia membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
3. Menyuburkan Rambut
Keguguran rambut berlaku disebabkan oleh pelbagai punca, salah satunya ialah kekurangan nutrisi. Mineral dan vitamin diperlukan untuk membina keratan rambut yang kuat serta akar rambut yang sihat.
Anda boleh dapatkan nutrisi yang diperlukan oleh rambut melalui pengambilan makanan yang sesuai, salah satunya ialah bawang putih. Pengambilan bawang putih atau minyaknya membantu untuk mengurangkan rambut gugur.
Selain memakannya, anda juga boleh sapukan ke kulit kepala atau campurkan dengan yogurt untuk dijadikan masker rambut (hair mask).
4. Meningkatkan Imuniti Dan Mempunyai Sifat Anti-Inflamasi
Minyak ini juga mempunyai potensi untuk meningkatkan imuniti dan sifat anti-radang. Ia dapat meningkatkan fungsi imun dan mengurangkan keradangan.
Minyak bawang putih dan derivatifnya menunjukkan kesan yang menekan penghasilan molekul radang seperti nitrik oksida, prostaglandin, dan interleukin. Komponen sulfur dalam minyak bawang putih berinteraksi dengan sel-sel sistem imun untuk mengawal penghasilan molekul-molekul tersebut.
5. Mengurangkan Sakit Gigi
Bawang putih mempunyai sifat antibakteria, antivirus, dan antikulat. Oleh itu, penggunaan bawang putih atau minyaknya secara langsung pada gigi yang terjejas dapat melegakan gingivitis.
Ia juga boleh mencegah pembentukan plak gigi dengan menghalang bakteria oral seperti Streptococcus mutans, S. sanguis, S. Salivarius, Pseudomonas aeruginosa, dan Lactobacillus spp.
6. Menurunkan Tekanan Darah Tinggi
Minyak ini juga sangat bermanfaat untuk membantu menurunkan tekanan darah tinggi (hipertensi). Ia bertindak dengan cara mengendalikan pengeluaran hormon yang menyempitkan saluran darah.
7. Memperbaiki Fungsi Pencernaan
Bawang putih membantu merangsang produksi enzim pencernaan yang penting untuk pencernaan makanan dengan lebih efisien. Ini boleh mengurangkan masalah pencernaan seperti sakit perut dan gangguan usus.
8. Menyokong Kesihatan Respiratori
Minyak bawang putih juga boleh membantu dalam merawat masalah pernafasan seperti batuk dan selesema, kerana sifat anti-bakteria dan anti-radangnya.
BACA JUGA: Minyak Cengkih: Sejarah, Khasiat, & Kegunaannya
Kesan Sampingan
Pengambilan minyak ini boleh menyebabkan anda mengalami bau nafas dan badan, masalah perut kembung, atau pedih ulu hati. Sekiranya mana-mana kesan ini berterusan atau bertambah teruk, dapatkan rawatan dengan segera.
Beritahu doktor anda segera jika anda mengalami kesan sampingan serius, termasuk mudah lebam atau berdarah yang tidak biasa.
Walaupun jarang berlaku, dapatkan bantuan perubatan segera jika anda mengesan sebarang gejala reaksi alergi serius seperti ruam kulit, gatal/bengkak (terutamanya di wajah/lidah/tekak), pening yang teruk, atau kesukaran bernafas.
Jika anda mengalami kesan lain yang tidak disenaraikan di atas, sila berjumpa dengan doktor segera.
Kesimpulan
Minyak bawang putih adalah sumber semulajadi yang kaya dengan pelbagai khasiat kesihatan. Dengan penggunaan yang betul dan berhemah, ia dapat menjadi tambahan yang berharga dalam rutin kesihatan harian anda.
Sebelum memulakan penggunaan secara berterusan, berbincang dengan profesional kesihatan untuk memastikan kesesuaian dan keselamatan pengambilannya.
Rujukan: