Mata Kanan Berkedip? Mungkin Ini Puncanya

sakit dada sebelah kanan
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Orang tua-tua ada berkata kalau mata kanan berkedip atau bergerak dengan sendiri, itu bermakna kita akan dapat berita baik atau orang jauh akan datang bertemu kita.

Kalau mata kanan pula yang bergerak, itu maksudnya akan mendapat berita buruk dan akan menangis.

Walau bagaimana pun, kenyataan ini adalah karut semata-mata. Sebagai umat Islam, kita ditegah untuk mempercayainya kerana dikhuatiri boleh membawa diri kepada jalan syirik.

Lagipun, adalah berdosa dan haram untuk kita percayai ramalan sebegini.

Jadi, apakah punca mata kanan berkedip atau mata bergerak dari sudut kesihatan?

Mata berkedip atau mata bergerak ini dipanggil sebagai eye twitching atau ‘myokymia’.

Ia melibatkan bahagian otot muka dan otot mata dan boleh berlaku di bahagian kelopak mata atas dan bawah.

Walaupun ia tidak memedihkan, namun pergerakan ini mungkin sedikit mengganggu kerana ia terjadi berulang kali.

Sebenarnya, ia merupakan tindak balas pergerakan otot yang tidak dapat dikawal dan ia bukanlah disebabkan oleh penyakit mata yang serius.

Jom ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai mata berkedip.

Pengenalan

Ada penerangan yang saintifik mengenai gejala mata berkerdip iaitu berkait rapat dengan fisiologi normal mata. Mata berkerdip disebabkan gerakan otot dalam kelopak mata secara berulangan dalam tempoh singkat dan tidak boleh dikawal.

Namun, ada juga keadaan mata yang berkelip boleh berlarutan andai ada rangsangan berlebihan.

Sumber : Public Health Malaysia

Mata Kanan Berkedip Atau Otot Mata Kiri Bergerak? Mungkin Ini Puncanya

1. Stres

Ketika tubuh berada dalam keadaan tertekan, ia mungkin boleh memberikan reaksi berbeza mengikut individu.

Antara tindak balas yang mungkin dirasakan seseorang adalah ketegangan pada bahagian mata. Jadi, untuk mengelakkan eye twitching ini, anda perlulah kurangkan punca stres.

2. Badan Terlalu Penat

Selain stres, kekejangan kelopak mata juga boleh berlaku disebabkan kekurangan rehat atau tidak cukup tidur.

mata kanan berkedip

3. Ketegangan Mata

Mata akan bekerja dengan lebih keras dalam keadaan tertekan. Ini mungkin disebabkan oleh kuasa kacamata yang sudah berubah atau tabiat seperti penggunaan komputer pada jangka masa yang lama.

Sekiranya anda bekerja di komputer pada jangka masa lama, anda digalakkan untuk memakai kacamata khusus bagi pengguna komputer.

Jika anda menggunakan cermin mata dan sering alami masalah seperti mata kanan berkedip, anda juga disyorkan untuk membuat pemeriksaan mata.

4. Pengambilan Kafein dan Alkohol

Kebanyakan pakar percaya bahawa mengambil kafein atau alkohol yang berlebihan boleh menyumbang kepada masalah eye twitching.

5. Mata Kering

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa lebih daripada separuh golongan warga emas mempunyai masalah mata kering.

Di samping itu, masalah mata kering juga boleh terjadi kepada pengguna komputer, pemakai kanta sentuh serta individu yang mengambil ubat tertentu seperti antihistamin dan antidepressant.

6. Alahan

Individu yang mempunyai masalah alahan atau alergi akan cenderung untuk alami simptom seperti mata berair, bengkak atau gatal.

Jika mata tersebut digosok, ia boleh menyebabkan pembebasan histamin pada air mata dan tisu. Histamin ini juga boleh mengakibatkan eye twitching.

mata kanan berkedip

Cara Mengatasi Masalah Mata Berkedip

Meskipun masalah mata berkelip tidak berbahaya, terdapat beberapa langkah pencegahan bagi memelihara mata. Ini termasuk:

1. Elak pengambilan minuman kafein seperti kopi, teh dan coklat.

2. Tidur secukupnya. Ini termasuk hadkan penggunaan gajet atau aktiviti menonton televisyen dan video berlarutan sehingga awal pagi.

3. Hentikan pengambilan alkohol kerana akibatnya sama dengan kafein yang boleh memberi kesan kepada saraf mata.

4. Pengambilan air kosong mencukupi kerana masalah mata seperti mata kering, kerengsaan atau radang mata boleh berlaku akibat kekurangan air.

5. Pengambilan nutrisi baik untuk mata seperti sumber makanan yang mengandungi vitamin A, B12, D dan asid lemak omega 3.

6. Rawat mata dengan kaedah tuam menggunakan tuala suam apabila mata berkedip lebih kerap berbanding biasa.

7. Disarankan buat urutan lembut bawah kelopak bagi membantu peredaran darah dan menguatkan otot mata. Namun diingatkan, jari atau tangan harus dalam keadaan bersih.

8. Anda juga boleh amalkan titisan air mata(artificial tears) untuk menyegarkan mata.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Pada kebanyakan masa, masalah mata kanan berkedip atau otot mata bergerak sendiri ini akan hilang dengan sendiri.

Namun, sekiranya ia berulang, berlarutan selama beberapa hari dan anda turut alami simptom lain, anda perlulah mendapatkan nasihat daripada doktor.

Anda juga perlu rujuk pada doktor segera sekiranya tidak boleh mengawal pergerakan kelopak mata atau tidak mampu menutup mata sepenuhnya.

Ini juga penting bagi mengelakkan masalah kesihatan yang serius seperti Bell’s palsy, cervical dystonia, multiple sclerosis dan penyakit Parkinson.

Sumber : Dr Zubaidi, healthline.com

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut