Masjid Sri Sendayan yang terletak di Negeri Sembilan merupakan sebuah pusat Ibadah yang terkenal di Malaysia. Ia merupakan salah satu tarikan pelancong di negeri tersebut, terutama dalam kalangan pelancong beragama Islam.
Masjid yang telah siap dibina pada tahun 2019 ini, telah dibina dengan seni bina yang begitu indah. Elemen moden dan tradisional digabungkan bagi menghasilkan masjid ini. Untuk anda yang berminat untuk mengetahui tentang masjid ini, teruskan pembacaan anda sehingga ke penghujung artikel.
Masjid Sri Sendayan
Perkataan masjid itu sendiri jika diterjemah dari bahasa Arab merujuk kepada tempat sujud. Oleh itu, masjid ini merupakan tempat orang muslim melakukan ibadah khusus seperti solat dan i’tikaf.
Setiap masjid yang dibina mempunyai seni reka bentuk yang tersendiri. Kebanyakkan seni reka bentuk ini dipilih mengikut norma masyarakat setempat, begitu jugalah yang terjadi di Masjid Seri Sendayan, yang terletak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Masjid ini merupakan salah sebuah masjid tercantik di Malaysia dan telah menjadi salah satu tarikan utama buat pelancong luar. Mula dibina pada tahun 2015 dan dirasmikan pada 20 September 2019 oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Masjid yang ini menampung sehingga 5000 (3000 jemaah dewan solat utama, 800 jemaah dewan solat kedua, 800 jemaah dewan solat wanita) jemaah pada satu-satu masa, ini telah diwakafkan oleh tokoh perbankan, Tan Sri Abdul Rashid bin Hussain, buat penduduk setempat kawasan tersebut menjalankan ibadah dengan selesa, serta boleh dijadikan juga sebagai sebuah pusat komuniti.
Seni Bina Masjid
Masjid Sri Sendayan ini sangat terkenal dengan seni binanya yang mengagumkan. Seni bina rumah ibadah ini, yang menggabungkan unsur-unsur tradisional Islam dengan elemen moden menjadikan ia salah satu tarikan pelancong di Negeri Sembilan.
Binaan Masjid Sri Sendayan yang terletak di kawasan berkeluasan 4.5 hektar ini diinspirasikan daripada warisan seni bina Abbasiyah dan Mamluk, dengan pengaruh daripada seni bina Umayyah dan Uthmaniyah.
Setiap elemen dalam pembinaan masjid ini melalui pemilihan dan proses yang teliti untuk meraikan kepelbagaian warisan dan kesenian dalam tradisi Islam, kesemuanya bergabung dengan harmoni untuk menghasilkan suasana indah dan ketenangan.
Kebanyakan seni bina dalaman masjid ini ditempah khas termasuk ukiran kayu pada dinding di dewan solat, penggunaan saduran berwarna emas, tulisan khat serta penggunaan bongkah jubin sebagai dinding berhampiran mimbar. Bahagian dalaman kubah utama dihiasi dengan cat emas 24k.
Dari sudut pandangan luaran, masjid ini mempunyai sebuah kubah utama dan tiga kubah kecil di bahagian laluan hadapan. Selain itu terdapat juga 2 menara di bahagian hadapan masjid.
Gambar Masjid Sri Sendayan
Berikut merupakan beberapa gambar yang telah dikongsikan oleh laman rasmi rumah ibadah tersebut:
Baca juga: Khalid Al-Walid : Kehebatan “Saifullah” di Medan Perang
Kemudahan Masjid
Berikut merupakan beberapa kemudahan yang ditawarkan oleh pihak Masjid Sri Sendayan buat penggunjung dan penduduk setempat:
- bilik kuliah
- perpustakaan
- dewan serba guna
- bilik pengurusan jenazah
- bangunan pentadbiran
- dewan makan
- enam unit rumah untuk petugas masjid.
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Masjid Sri Sendayan ini anda boleh ke laman rasmi mereka di pautan INI
Facebook rasmi : Masjid_Sri_Sendayan