Di sebalik kesibukan bandar Melaka, terdapat sebuah masjid yang tersergam indah dan menjadi tumpuan ramai pelancong dari dalam dan luar negara iaitu Masjid Selat Melaka.
Terletak di salah satu selat terpanjang dan paling sibuk di dunia, masjid yang turut dikenali sebagai Masjid Terapung Melaka ini mempunyai seni bina yang unik dan pemandangan laut seluas mata memandang jadi pelengkapnya.
Panorama matahari terbenam yang indah pada waktu senja pula menambah lagi keindahan masjid ini dan sekaligus mencipta pemandangan yang menakjubkan.
Waktu terbaik untuk melawat masjid ini adalah pada waktu fajar atau senja kerana pada waktu inilah anda boleh nikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam.
Selain itu, suasana pada waktu tersebut juga lebih tenang dan nyaman.
Latar Belakang dan Keunikan Masjid Selat Melaka
Masjid ini mula dibina pada Julai 2003 dan mula dibuka kepada orang ramai pada 29 Ogos 2006.
Menggabungkan pengaruh seni bina moden dari Timur Tengah dengan gaya Eklektik Sino Vernakular sambil mengekalkan elemen tradisional, reka bentuk masjid ini juga turut dikagumi pengunjung.
Salah satu keunikan Masjid Selat Melaka adalah pembinaannya pada paras air pasang, menjadikannya kelihatan seperti terapung.
Lokasinya yang strategi di Selat Melaka memberikan identiti khas yang unik buat masjid ini dan sekaligus mencerminkan Melaka sebagai sebuah bandar moden yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Berkeluasan 1.8 hektar, Masjid Selat mempunyai struktur ringkas berbentuk segi empat tepat dengan komposisi simetri yang menampilkan empat menara di setiap sudut serta dilengkapi dengan kubah berwarna kuning keemasan.
Ruang dalamannya pula dikelilingi oleh dek perimeter panjang bagi membolehkan pengunjung berjalan di sekeliling masjid sambil menikmati angin nyaman serta pemandangan laut yang indah.
Salah satu ciri khas pada masjid ini adalah bumbung berbentuk piramid pada empat puncak menaranya. Ini merupakan pengaruh seni bina Cina dan biasa dilihat pada masjid-masjid yang berada di sekitar Melaka seperti Masjid Al-Azim dan Masjid Tengkera.
Fakta Menarik
- Masjid terapung ini menelan kos pembinaan sebanyak RM 10 juta.
- Masjid ini pernah ditutup sementara pada September hingga Disember 2023 bagi proses pemulihan dan pembangunan. Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM 2.8 juta.
- Masjid Selat Melaka telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 24 November 2006.
- Diiktiraf sebagai Masjid Pelancongan Negeri Melaka, pengunjung bukan beragama Islam juga berpeluang untuk melawat masjid ini dan diberikan kemudahan menyewa kain sarung untuk lelaki dan tudung untuk perempuan.
Sekiranya anda berkunjung ke Melaka, jangan lupa untuk singgah ke Masjid Selat yang terletak di Pulau Melaka bagi menikmati sendiri keindahan dan keunikannya.
Sumber : Facebook Masjid Selat Melaka, Portal Masjid Malaysia, Astro Awani, Facebook Melaka Hari Ini
Baca Juga : Masjid Kristal : Keunikan dan Fakta Menarik