Masjid Putrajaya : Latar Belakang dan Keindahan Seni Bina

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Keindahan Masjid Putrajaya tidak perlu disangkal lagi. Seni bina masjid serba merah jambu dengan konsep reka bentuk Parsi ini mampu memukau setiap pengunjung yang datang.

Lokasi masjid yang terletak di pinggir tasik Putrajaya seakan menambah lagi seri panorama masjid yang sudah berdiri selama hampir 25 tahun ini.

Ia sekaligus menjadi salah satu mercu tanda terkenal dan lokasi wajib buat pelancong yang datang ke Putrajaya.

masjid putrajaya
Sumber : IIUM Conference

Latar Belakang

Diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, masjid ini dinamakan Masjid Putra bagi mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Alhmarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Ia dibina pada 15 Mac 1996 iaitu ketika bermulanya pembangunan fasa pertama pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Masjid Putra Putrajaya dirasmikan dan dibuka kepada orang ramai pada 30 Ogos 2000.

Tidak hanya berlatar belakangkan panorama taman dan tasik yang indah, malah lokasinya yang terletak di tengah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan menjadikan ia sebagai mercu kegemilangan sebuah bangsa Merdeka dan sebuah negara berdaulat yang mengangkat Islam sebagai pencetus kejayaan ummah.

Masjid yang terletak bersebelahan Kompleks Perdana Menteri ini juga kelihatan terapung di permukaan tasik kerana kedudukannya yang unik di pinggir tasik Putrajaya.  

masjid putrajaya

Seni Bina dan Struktur Masjid Putrajaya

Diperbuat daripada batu granit berwarna merah jambu, keseluruhan pembinaan masjid ini berkonsepkan reka bentuk seni bina Parsi zaman Kerajaan Safawi yang digabungkan dengan ciri-ciri moden dan kontemporari.

Sementara itu, unsur seni bina tradisional turut dikekalkan sebagai penghubung reka bentuk segi empat dewan solat kepada bentuk bulat yang terdapat di kubah utama dengan memperkenalkan segi lapan sebagai bentuk perantaraannya.

Pengunjung yang baru tiba di masjid akan disambut dengan pintu gerbang indah yang bercirikan seni bina Isvahan.

Di bahagian hadapan pula terdapat halaman yang terbuka luas atas Sahn yang memusahkan pintu masuk dengan ruang solat utama Masjid Putrajaya.

Pengunjung pasti akan terkesima dengan keindahan halaman yang dihiasi dengan pohon palma dan kolam yang airnya mengalir sepanjang masa.

Di sebelah kiri pintu gerbang, terdapat sebuah menara setinggi 116 meter yang berbentuk Bintang lapan penjuru.

Menara ini mempunyai lima tingkat pembahagi yang melambangkan lima rukun Islam dan solat lima waktu.

Kubah utama mempunyai reka bentuk berasaskan Arabes iaitu ukiran bermotifkan tumbuh-tumbuhan seperti yang didapati pada kebanyakan kubah masjid di Mesir.

Terdapat juga lapan buah kubah kecil dengan reka bentuk yang sama di empat penjuru masjid.

masjid putrajaya

Masjid ini terbahagi kepada empat  aras iaitu Aras Satu, Aras Bawah, Aras Bawah Satu dan Aras Bawah Dua.

Aras Satu menempatkan dewan solat utama bagi jemaah wanita. Aras Bawah pula merupakan kawasan terpenting Masjid Putra sebagai lokasi dewan solat utama.

Selain ukiran mimbar dan kubah yang menggabungkan seni khat dan bentuk gemoteri, salah satu keunikan ruang solat di bahagian utama ini adalah sistem aliran udara yang bersumberkan air dari tasik.

Ia disalurkan ke dewan utama melalui ruang udara di sudut bawah tiang utama masjid sehingga mampu mendinginkan suasana di dalam dewan masjid.

Sumber : Anwar Ibrahim (X)

Pada masa yang sama, Masjid Putra turut menggunakan konsep terbuka bagi membolehkan udara segar dari tasik masuk ke kawasan masjid secara semulajadi.

Aras Bawah Satu pula menempatkan kemudahan seperti  tempat berwuduk, auditorium serbaguna yang lengkap dengan alat audiovisual terkini dan dewan makan.

Selain itu, ia turut menempatkan tiga buah bilik kuliah yang sederhana besarnya.

Sementara itu, Aras Bawah Dua menjadi penghubung utama kepada pejalan kaki untuk menikmati keindahan sekitar tasik berhampiran Masjid Putrajaya.

Keempat-empat aras ini dihubungkan oleh rangkaian tangga yang bermula dari tempat wuduk utama serta dua buah lif di kiri dan kanan pintu dewan solat utama.

Fakta Menarik

Setiap hari, masjid ini menerima kira-kira 2,000 pengunjung termasuk pelancong dari luar negara.

Dewan solat utama boleh menampung 8,00 jemaah dan Aras Satu pula boleh menampung 2,000 jemaah.  

Bahagian Sahn atau halaman masjid boleh menempatkan seramai 5,000 orang jemaah.

Auditorium Masjid Putrajaya boleh memuatkan sehingga 400 orang dan dewan makan pula boleh menampung lebih 700 orang.

masjid putrajaya

Kedudukan Masjid Putra yang berada di tengah-tengah pusat pentadbiran menjadikan ia lokasi yang wajib disinggahi semua pelancong yang berada di Putrajaya.

Selain berfungsi sebagai pusat ibadah, ia turut menawarkan pelbagai kemudahan dan terbuka kepada semua termasuk yang bukan Islam untuk mempelajari serba sedikit tentang agama Islam.

Halamannya yang luas dan indah juga boleh dikunjungi sebagai tempat untuk berehat dan bersiar-siar bersama keluarga dan rakan.

Sumber : Facebook Masjid Putra Putrajaya, masjidputra.gov.my, Tourism Malaysia

Baca Juga : Masjid Selat Melaka : Latar Belakang dan Fakta Menarik

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut