Masjid Kristal menjadi salah satu mercu tanda ikonik bagi negeri Terengganu. Reka bentuknya yang unik menjadikan ia antara lokasi yang wajib dikunjungi pelancong.
Terletak di tebing Sungai Terengganu, Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, masjid yang dibangunkan menggunakan kaca dan keluli ini mencuri tumpuan ramai melalui seni binanya yang luar biasa.
Selain mempunyai reka bentuk yang indah, masjid ini juga pernah dinobatkan sebagai masjid ketiga tercantik di dunia dan diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di Malaysia.
Reka Bentuk Masjid Kristal
Dengan berdirinya masjid ini, ia turut menjadi contoh bagaimana seni bina Islam dapat diintegrasikan bersama keindahan semula jadi dan keunikan budaya tempatan.
Masjid Kristal mendapat namanya melalui seni binanya yang diperbuat daripada kaca dan keluli. Masjid ini dibina dengan ciri-ciri unsur Moor sambil memadukan elemen-elemen tradisional.
Pengunjung juga turut mengagumi seni bina masjid ini kerana walaupun ia diperbuat daripada kaca dan cahaya matahari boleh memasuki ruang solat, ia tidak menyebabkan jemaah dalam masjid berasa panas.
Pada masa yang sama, masjid ini juga tidak mempuyai tingkap dan hanya dilengkapi dengan 15 pintu masuk termasuk satu pintu utama. Bagi memberi keselesaan kepada pengunjung, masjid ini dilengkapi dengan alat pendingin hawa.
Berlatarkan Taman Tamadun Islam dan menghadap Laut China Selatan, masjid ini juga direka agar serasi dengan alam semula jadi sekitarnya.
Permukaan luar masjid akan berkilau bak kristal apabila disinari cahaya matahari. Ini sekaligus mencipta pemandangan memukau yang sangat indah dan tidak boleh ditemui di masjid lain di Malaysia.
Pada waktu malam, keindahan masjid ini turut diserlahkan dengan sistem pencahayaan menarik menggunakan lampu diod pancaran cahaya (LED) yang berwarna warni.
Perasmian
Masjid kebanggaan rakyat Terengganu ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 8 Februari 2008.
Majlis perasmian bagi masjid ini turut dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, iaitu Tuanku Mizal Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Fungsi dan Fasiliti
Pelancong beragama Islam juga boleh merasai pengalaman berbeza menunaikan solat dengan suasana masjid yang unik di dewan solat berbentuk segi empat.
Tak hanya menjadi pusat ibadah bagi umat Islam setempat, malah masjid yang indah ini juga berperanan sebagai pusat persembahan budaya dan pendidikan.
Masjid ini sering mengadakan pameran seni, persembahan kebudayaan serta program pendidikan bagi warga setempat dan pelancong.
Fakta Menarik
- Masjid ini dibina dengan kos RM 22 juta dan mempunyai 51 kubah dan empat menara.
- Berkeluasan 2,146 meter persegi, masjid ini boleh memuatkan sehingga 700 jemaah pada satu-satu masa.
- Masjid ini turut diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di Malaysia. Dilengkapi dengan prasarana teknologi maklumat dan liputan jalur lebar tanpa wayar (WiFi), pengunjung berpeluang untuk menggunakan kemudahan akses internet bagi membaca al-Quran elektronik.
- Masjid ini pernah ditutup selama 4 tahun bermula 2018 hingga 2022 untuk kerja-kerja baikpulih.
Kesimpulannya, Masjid Kristal bukan sahaja menjadi pusat ibadah yang penting buat masyarakat setempat, malah ia turut menjadi salah satu tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.
Dengan keindahan dan nilai-nilai seni keagamaan yang tersergam indah melalui seni bina unik, Masjid Kristal kekal menjadi salah satu mercu tanda seni bina yang terkemuka di Malaysia.
Sumber : Discovery Terengganu, Facebook Amazing Terengganu, SinarPlus, Remaja, Harian Metro
Baca Juga : Masjid Sri Sendayan : Keindahan & Keunikan Seni Bina Masjid