Masalah Kulit Kepala : Punca, Cara Mencegah dan Rawatan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Memiliki rambut yang cantik dan kulit kepala yang sihat adalah impian ramai orang tidak kiralah lelaki manhupun wanita.

Namun, salah satu masalah yang sering menghalang impian ini ialah keadaan kulit kepala yang berkuping.

Ia bukan sahaja boleh menjejaskan penampilan, malah boleh menyebabkan rasa tidak selesa dan membuatkan seseorang rasa kurang keyakinan diri.

Masalah ini biasanya berpunca daripada kelemumur, iaitu pengelupasan sel kulit mati yang berlaku secara berlebihan.

Ia sering muncul dalam bentuk kepingan putih yang jelas kelihatan pada rambut atau bahu.

Selain menyebabkan kulit kepala menjadi kering, ia turut menimbulkan rasa gatal dan iritasi yang boleh mengganggu aktiviti harian.

Jadi, apakah punca dan bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah ini? Ayuh kita semak bersama-sama.

Punca Berlakunya Masalah Kulit Kepala

Penyebab utama bagi masalah kulit kepala berkuping atau kelemumur tidak dapat diterangkan dengan jelas.

Walau bagaimanapun, ia boleh terjadi disebabkan oleh beberapa perkara berikut :

  • Pertumbuhan kulat di kulit kepala iaitu Malassezia
  • Jarang bersyampu atau tidak membilas rambut dan kulit kepala dengan sempurna
  • Perubahan hormon
  • Tekanan perasaan
  • Tahap imuniti yang rendah
  • Penggunaan pewarna rambut yang tidak sesuai
  • Kulit terlalu kering atau berminyak
  • Penggunaan produk rambut seperti gel, pomade atau wax yang terlalu kerap
masalah kulit kepala
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

Masalah Kulit Kepala Kronik

Selain masalah kelemumur yang biasa dialami, terdapat juga sesetengah individu yang mengalami masalah kulit kepala yang lebih kronik iaitu seborrhea aatau psoriasis.

Seborrhea atau dermatitis seborrheic ialah sejenis keradangan kronik pada kulit kepala yang menyebabkan penghasilan minyak (sebum) berlebihan.

Keadaan ini sering mengakibatkan pembentukan keruping kulit kepala yang tebal, berminyak dan berwarna kekuningan.

Kupingan ini biasanya melekat pada kulit kepala dan disertai dengan kegatalan, kemerahan dan kadangkala bau yang tidak menyenangkan.

Berbeza dengan kelemumur biasa yang kering dan ringan, keruping akibat seborrhea lebih melekit dan sukar ditanggalkan.

masalah kulit kepala
Sumber : Verywell Health

Psoriasis kulit kepala pula adalah penyakit autoimun yang menyebabkan pertumbuhan sel kulit yang cepat sehingga terhasilnya tompok-tompok kulit yang tebal, merah, dan bersisik.

Skala yang terbentuk biasanya berwarna putih keperakan dan boleh menyebabkan kegatalan serta keradangan.

Psoriasis boleh menjejaskan sebahagian atau keseluruhan kulit kepala dan kadang-kadang merebak ke kawasan lain seperti dahi, belakang leher, dan telinga.

masalah kulit kepala

Cara Mencegah Kelemumur

Terdapat beberapa rutin yang boleh diamalkan bagi mencegah masalah kelemumur iaitu :

  • Menggunakan syampu antikelemumur untuk mengawal penghasilan minyak, keradangan dan kegatalan kulit kepala.
  • Hadkan penggunaan alat pengering rambut
  • Tangani stres dengan baik
  • Amalkan pemakanan sihat dan kaya vitamin B untuk kulit kepala yang sihat

Rawatan Kulit Kepala Berkuping

masalah kulit kepala
Sumber : The Body Shop

Masalah kulit kepala berkuping boleh dikawal dengan penggunaan syampu antikelemumur yang sesuai.

Produk ini biasanya mengandungi bahan aktif tertentu yang bertindak untuk memperlahankan simptom kulit kepala berkuping seperti kegatalan, keradangan dan kulit kepala berminyak.

Ayuh kita semak satu persatu.

1. Selenium Sulfide: Kawalan Pengelupasan dan Kulat

Selenium sulfide membantu memperlahankan pertumbuhan sel kulit kepala dan mengurangkan kelemumur serta kulat.

Ia boleh digunakan 1 hingga 2 kali seminggu pada awal rawatan dan seterusnya hanya apabila perlu atau mengikut nasihat doktor.

Elakkan terkena mata, mulut, hidung atau kulit yang luka.

2. Coal Tar: Melambatkan Pembentukan Sel Kulit Kepala

Syampu dengan ekstrak coal tar bertindak memperlahankan penghasilan sel kulit kepala.

Walau bagaimanapun, ia perlu digunakan dengan berhati-hati kerana ia boleh menyebabkan rambut berubah warna dan meninggalkan kesan pada kulit.

Dalam sesetengah kes, ia juga boleh menyebabkan keradangan kulit kepala.

Oleh itu, syampu ini perlu dibilas dengan bersih setiap kali digunakan dan dipakai mengikut saranan doktor.

3. Ketoconazole: Syampu Antikulat Berkesan

Ketoconazole mengawal pertumbuhan kulat yang menjadi punca kelemumur dan keradangan kulit kepala.

Untuk keberkesanan optimum, sapukan syampu ini secara rata ke rambut dan biarkan selama 3 hingga 5 minit sebelum dibilas bersih.

Lazimnya, ia digunakan dua kali seminggu selama 2 hingga 4 minggu, mengikut nasihat doktor. Pengguna juga disarankan untuk menjarakkan penggunaan sekurang-kurangnya tiga hari antara setiap sesi.

4. Asid Salisilik: Menanggalkan Kelemumur, Elakkan Kekeringan

Asid salisilik membantu menanggalkan kelemumur tetapi boleh menyebabkan kulit kepala menjadi kering.

Oleh itu, penggunaannya perlu dipantau dan diikuti mengikut arahan doktor atau ahli farmasi untuk mengurangkan kesan sampingan.

5. Minyak Tea Tree: Melegakan Kulit Kepala Berkuping

Minyak tea tree mempunyai sifat antimikrob dan anti-radang yang membantu mengurangkan kulit kepala yang berkuping dan iritasi.

Ia boleh digunakan sebagai ramuan tambahan dalam syampu atau dicampurkan dengan minyak pembawa (carrier oil) untuk sapuan langsung.

Cukup sesuai untuk digunakan secara berkala bagi mengekalkan kesihatan kulit kepala.

Kesimpulannya, masalah kelemumur atau kulit kepala berkuping biasanya boleh diatasi dengan penggunaan produk antikelemumur yang terdapat di pasaran.

Pesakit juga digalakkan untuk mendapatkan nasihat ahli farmasi berkaitan cara penggunaan produk dengan betul serta bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan.

Selain rawatan, langkah pencegahan seperti penjagaan kebersihan rambut dan kulit kepala secara konsisten turut memainkan peranan penting dalam menangani masalah ini.

Namun, jika kelemumur berterusan atau semakin teruk, pemeriksaan lanjut oleh doktor amat penting untuk mengenal pasti punca sebenar dan memastikan rawatan yang diberikan bersesuaian.

Sumber : Malaysian Medical Gazette, Kementerian Kesihatan Malaysia, Cleveland Clinic, Derm Net

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut