Apakah maksud insecure dan mengapa ia boleh memberi kesan negatif dalam hidup sekiranya ia tidak ditangani dengan baik?
Memang benar, ada hari yang membuatkan kita tidak bersemangat dan ragu pada diri sendiri.
Namun, rasa insecure yang melampau boleh menjejaskan hubungan dan memberikan impak negatif pada hidup seseorang.
Jadi bagaimana untuk mengenalpastinya dan bagaimana cara untuk atasi rasa insecure?
Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Maksud Insecure
Insecure adalah perasaan yang timbul apabila seseorang rasa kurang yakin atau rasa tidak berpuas hati dengan diri sendiri.
Ia boleh membuatkan seseorang ragu terhadap kemampuan diri, matlamat yang ingin dicapai, hubungan dan kemampuan untuk hadapi situasi tertentu.
Memetik WebMD, rasa insecure boleh timbul pada bila-bila masa dan berpunca daripada pelbagai perkara.
Ia mungkin berpunca daripada trauma, pengalaman buruk, masalah sosial atau persekitaran tertentu seperti sekolah, tempat kerja atau rumah.
Jenis Insecure
Disebabkan ia boleh tercetus daripada pelbagai perkara, maka terdapat pelbagai jenis insecure yang boleh dikenalpasti.
Insecure dalam Hubungan
Bila menyentuh tentang rasa insecure dalam hubungan, ia sering dikaitkan dengan rasa kebergantungan (attachment) kepada ahli keluarga atau pasangan.
Dalam kebanyakan masa, ia sering berakar pada zaman kanak-kanak yang terabai daripada mendapat perhatian ibu bapa atau penjaga.
Ini seterusnya berkembang apabila seseorang menginjak dewasa sehingga boleh membuatkan seseorang sukar untuk percaya atau terlalu bergantung kepada pasangan atau ahli keluarga terdekat.
Insecure di Tempat Kerja
Insecure di tempat kerja pula timbul apabila seseorang berasa resah dengan jaminan kerja atau perkara berkaitan seperti konflik di pejabat, keadaan ekonomi semasa dan sebagainya.
Insecure Tentang Bentuk Tubuh
Ini merupakan antara insecure yang sering dirasakan oleh ramai orang. Kebanyakan orang sering merasakan bahawa tubuh mereka tidak memenuhi standard kecantikan masa kini.
Rasa insecure pada tubuh juga tidak semestinya dirasakan oleh orang berbadan gemuk sahaja, malah ia boleh dialami oleh sesiapa sahaja.
Social Insecurity / Anxiety
Social insecurity atau anxiety juga merupakan satu lagi jenis insecurity yang sering dialami akibat ketidakmampuan berinteraksi dengan baik bersama orang sekeliling.
Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh berkembang sehingga tercetusnya fobia sosial.
Gejala Insecure
Individu yang mempunyai masalah insecure boleh menunjukkan beberapa gejala seperti :
- Sering meragui diri sendiri
- Cenderung untuk mengkritik diri sendiri secara negatif
- Sering membandingkan diri dengan orang lain secara keterlaluan
- Hanya rasa berpuas hati atau lega setelah mendengar pendapat atau pujian daripada orang lain
- Takut untuk ditolak dan sensitif terhadap kritikan
- Mengalami simptom fizikal tertentu seperti ketegangan otot, jantung berdebar, berpeluh dingin atau sakit perut.
Kesan Insecure
Insecurity boleh menjejaskan pelbagai aspek dalam kehidupan termasuk kesihatan mental, hubungan, kerjaya dan perkembangan diri.
Antara kesan yang boleh dikenalpasti adalah :
- Kurang keyakinan diri
- Mengalami imposter syndrome yang membuatkan seseorang rasa gagal walaupun prestasinya bagus
- Mengalami isu kesihatan mental seperti stres, depression atau anxiety.
- Sukar untuk membina hubungan yang sihat dengan orang terdekat
- Susah untuk membuat keputusan sendiri
Tips Untuk Atasi Rasa Insecure
Pakar psikologi telah mencadangkan beberapa tips untuk mengatasi masalah insecurity :
Belajar Untuk Sayangi Diri Sendiri
Tawarkan rasa sayang yang sama pada diri sendiri seperti yang anda lakukan kepada orang lain. Belajar juga untuk memaafkan diri sendiri, fokus pada masa sekarang dan belajar daripada kesilapan.
Belajar Untuk Terima Kelemahan
Berbanding mengejar kesempurnaan, ingatlah bahawa semua orang ada kelemahan dan ia adalah perkara normal dalam hidup.
Keluar dari Zon Selesa
Cabar diri untuk keluar dari zon selesa dan pelajari perkara baharu. Pengalaman baru boleh membina keyakinan diri dan membuat anda lebih berani untuk hadapi pelbagai kemungkinan.
Hadkan Penggunaan Media Sosial
Apa yang anda lihat di media sosial kebanyakannya adalah tidak realisitik dan boleh memberi kesan kepada keyakinan diri. Pertimbangkan untuk berhenti gunakan media sosial buat sementara waktu.
Luangkan Masa Dengan Orang Betul
Pakar juga mencadangkan supaya luangkan lebih masa dengan orang yang menyukai dan menghormati anda.
Jika boleh, elakkan daripada bertemu dengan orang yang sering mencari kesalahan anda, melainkan individu tersebut mahu memberikan komen yang membina.
Dapatkan Bantuan Profesional
Sekiranya rasa insecure yang sangat teruk sehingga menjejaskan kualiti hidup, pertimbangkan untuk berjumpa dengan ahli terapi atau pakar psikologi.
Mereka boleh mencadangkan beberapa strategi untuk menguruskan fikiran negatif dan membimbing anda untuk bina keyakinan diri.
Kini anda sudah faham maksud insecure, iaitu satu masalah yang boleh dialami oleh sesiapa sahaja.
Jika ia tidak dibendung dengan baik, ia boleh menjejaskan kesihatan, karier, hubungan dan pelbagai aspek dalam hidup.
Jadi, adalah penting untuk anda mendapatkan bantuan atau mencuba tips yang telah dikongsikan bagi mengatasi masalah ini.
Sumber : WebMD, verywellmind.com