Makanan Halal di Hatyai Floating Market (Khlong Hae)- Wajib Cuba!
Hatyai Floating Market atau Khlong Hae Floating Market adalah merupakan salah satu destinasi pelancongan yang sentiasa meriah dengan kunjungan pelancong tempatan dan juga dari serata dunia.
Bagi mereka yang ingin mencuba makanan tempatan Thailand dan merasai budaya tempatan yang menarik, inilah tempatnya.
Jom baca perkongsian di bawah untuk mengetahui pilihan makanan di Hatyai Floating Market yang halal, sedap dan murah-murah!
BACA JUGA: Hatyai Van – Harga & Cara Sewa Van di Hatyai 2024
Khlong Hae Floating Market – Pasar Terapung Hatyai
Pasar terapung ini dibuka pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad bermula pukul 3 petang hingga 9 malam.
Keunikannya terletak pada cara makanan dijual; daripada bot-bot kecil yang bersandar di tepi sungai. Ia mencipta suasana autentik ala zaman dahulu di Thailand.
Terdapat pelbagai makanan yang dijual di sini adalah hidangan tradisional Thailand yang sukar ditemui di tempat lain. Selain daripada bot-bot kecil yang menjual makanan di atas sungai, gerai-gerai yang beroperasi di daratan juga menambah lebih banyak pilihan makanan di Hatyai Floating Market.
Gerai-gerai ini menjual pelbagai jenis makanan dan snek tradisional Thailand, termasuk juga produk kraftangan dan cenderamata tempatan. Pengunjung boleh berjalan di sepanjang tepi sungai sambil membeli makanan atau minuman dari bot, kemudian meneruskan pembelian di gerai-gerai darat.
Senarai Makanan Halal di Hatyai Floating Market (Khlong Hae)
Salah satu kelebihan utama Khlong Hae Floating Market ialah kepelbagaian makanan halal yang ditawarkan.
Kebanyakan penjual di sini adalah Muslim, jadi pelancong Muslim boleh menikmati makanan dengan selesa tanpa perlu risau tentang status halal. Dari hidangan tempatan yang autentik hingga makanan ringan yang lazat, terdapat pilihan untuk semua citarasa.
Antara makanan dan minuman yang wajib anda cuba ialah:
1. Telur Puyuh
Telur puyuh adalah antara makanan utama di Hatyai Floating Market yang anda memang wajib cuba. Di pasar terapung ini, telur puyuh biasanya di goreng menggunakan pan Takoyaki. Nampak comel je.
Telur puyuh yang digoreng sehingga garing, lazimnya dihidangkan dengan sos cili yang sedikit manis dan pedas. Hidangan ini sering disajikan dalam mangkuk daun pisang buatan tangan, menambah elemen tradisional dan estetik kepada pengalaman makan.
Rasa gurih dan sedikit masin dari telur puyuh ini menjadikannya snek yang sempurna untuk dinikmati sambil berjalan-jalan di sekitar pasar. Snek ini memang sangat digemari oleh orang dewasa mahupun kanak-kanak.
2. Ais Krim Kelapa
Ais krim kelapa adalah pencuci mulut yang sangat popular di pasar terapung Khlong Kae ini. Rasanya yang manis berlemak, memang sesuai sangat untuk melegakan kehausan tekak selepas penat berjalan.
Salah satu daya tarikan utama ais krim kelapa di Khlong Hae Floating Market ialah cara penyajiannya. Ais
krim ini disajikan dalam tempurung kelapa, memberikannya rasa autentik dan penampilan yang menarik.
Anda juga boleh menambah topping seperti kacang tanah rangup, pulut, atau jagung manis untuk menambah tekstur dan rasa dalam setiap suapan.
3. Pancake Kelapa
Pancake kelapa juga salah satu makanan yang anda wajin cuba di sini. Pancake kelapa ini bersaiz kecil dan diperbuat daripada adunan yang dicampur dengan kelapa parut.
Rasanya manis dan bau aroma kelapanya memang sangat menyelerakan. Bahagian luar pancake biasanya sedikit rangup, manakala bahagian dalamnya lembut.
Pancake kelapa ini sesuai dimakan begitu sahaja atau ditambahkan topping manis seperti sos coklat atau krim kelapa untuk rasa yang lebih kaya.
Kombinasi tekstur rangup dan lembut bersama rasa kelapa asli menjadikan hidangan ini sangat popular di kalangan pengunjung, terutama mereka yang menggemari pencuci mulut tradisional dengan sentuhan moden.
4. Kentang Goreng Putar (Twist Potato)
Kentang Goreng Putar atau Twist Potato adalah snek popular yang sering ditemui di Hatyai Floating Market. Kentang ini dipotong secara spiral menjadi bentuk putaran panjang, kemudian digoreng hingga rangup.
Apa yang menjadikannya lebih menarik adalah pelbagai pilihan perasa yang boleh dipilih, seperti keju, lada hitam, BBQ, atau perisa pedas.
Snek ini sangat sesuai untuk dimakan semasa berjalan-jalan di pasar terapung kerana ia dihidangkan dalam bentuk mudah dipegang, dicucuk pada batang lidi.
5. Kuih Ubi
Kuih Ubi berbentuk bebola bulat merupakan salah satu snek tradisional yang popular di Hatyai Floating Market. Ia dibuat daripada ubi kayu yang dikisar dan dicampur dengan gula serta santan.
Kemudian, kuih ini digoreng hingga rangup di luar, tetapi kekal lembut dan kenyal di dalam. Rasanya lemak manis, dengan rasa ubi. Sedap sangat!
Bebola ubi ini biasanya dimakan panas-panas, menjadikannya pilihan snek yang sangat sesuai untuk pengunjung yang ingin merasai pencuci mulut tradisional Thailand.
6. Pad Thai
Pad Thai adalah mi goreng tradisional yang dicampur dengan bahan-bahan seperti taugeh, udang, tahu, telur, dan kacang tanah yang dihancurkan. Mi ini digoreng dengan sos khas yang memberikan keseimbangan rasa masam, manis, masin, dan pedas, biasanya diperoleh dari bahan-bahan seperti tamarind, gula palma, dan sos ikan.
Sumber: @_imiahazmah
Pad Thai sering disajikan dengan hirisan limau dan cili kering sebagai pilihan untuk menambah rasa pedas atau masam mengikut selera.
Hidangan ini popular bukan hanya kerana kelezatannya, tetapi juga kerana ia adalah makanan yang ringan namun mengenyangkan, sesuai untuk makan tengah hari atau snek semasa berjalan-jalan di pasar terapung.
7. Pulut Mangga
Pulut mangga adalah salah satu makanan yang popular di Hatyai Floating Market. Hidangan ini menggabungkan pulut yang lemak berkrim dengan mangga segar yang manis dan berair, menghasilkan gabungan rasa yang sempurna.
Pulut Mangga bukan sahaja menjadi kegemaran pelancong tetapi juga merupakan salah satu simbol kuliner Thailand yang tidak boleh dilepaskan apabila berkunjung ke pasar terapung ini.
8. Kerabu Maggi
Kerabu Maggi merupakan hidangan yang terdiri daripada mi Maggi yang dimasak dan dicampurkan dengan pelbagai bahan seperti sayur-sayuran segar, udang, dan sos pedas. Gabungan rasa antara manis, masam, dan pedas memang mantap sekali!
BACA JUGA: 10 Makanan Thailand Yang Sedap dan Wajib Dicuba
9. Otak-Otak
Otak-Otak yang dijual di pasar terapung Khlong Hae ini lain sedikit versinya. Berbeza dengan otak-otak biasa yang dibungkus dengan daun pisang, versi ini dibakar di dalam batang buluh, memberikan aroma yang lebih ‘smokey’ dan rasa yang lebih padu. Sedap!!
Hidangan ini merupakan pilihan ideal bagi pengunjung yang ingin mencuba sesuatu yang tradisional dengan sentuhan tempatan.
10. Minuman dalam Buluh
Minuman dalam buluh adalah salah satu tarikan unik di Hatyai Floating Market. Minuman ini disajikan dalam batang buluh, memberikan aroma dan rasa yang semula jadi.
Terdapat beberapa jenis minuman segar yang anda boleh pilih seperti air kelapa, air mata kucing dan sebagainya.
11. Som Tam
Seterusnya, makanan Hatyai di floating market yang anda tidak boleh lepaskan peluang untuk mencubanya adalah Som Tam. Som Tam adalah pilihan wajib bagi pencinta makanan pedas.
Som Tam adalah salad betik hijau yang terkenal dengan rasa pedas, masam, dan manis yang seimbang. Hidangan ini terdiri daripada betik muda yang diparut, kemudian dicampur dengan bahan-bahan seperti cili, bawang putih, kacang tanah, dan udang kering. Lalu, digaul bersama jus limau, sos ikan, dan gula palma.
12. Teh Thai
The Thai adalah teh susu manis beraroma teh yang pekat rasa berkrim. Ia biasanya disajikan sejuk-sejuk dengan ais untuk menghilangkan dahaga. Teh ini adalah antara minuman tradisional Thailand yang paling popular.
Teh Thai sangat sesuai dinikmati bersama snek manis atau hidangan pedas sambil meneroka keunikan di pasar terapung.
13. Nasi Goreng Udang Kelapa
Nasi Goreng Udang di Hatyai biasanya dimasak dengan bumbu khas Thailand dengan tambahan sayuran segar dan sambal untuk meningkatkan rasanya. Anda juga dapat menemukan variasi dengan kelapa parut sebagai pelengkap. Memang sedap!
14. Mango Sticky Rice Smoothie
Gabungan pulut mangga dalam bentuk smoothie, fuh memang terbaik. Ia adalah pilihan yang sempurna, terutama pada hari yang panas.
Minuman ini menawarkan rasa manis dari mangga yang segar dan tekstur kenyal dari pulut, disatukan dengan kelembutan santan. Setiap tegukan memberikan pengalaman yang menyegarkan dan memuaskan, menjadikannya pilihan ideal untuk menghilangkan dahaga sambil menikmati suasana pasar yang meriah.
Jangan lepaskan peluang untuk mencuba hidangan ini semasa melawat Hatyai okay!
15. Thai Crepe (Kanom Buang)
Kanom Buang merupakan sejenis crepe nipis yang diisi dengan pelbagai bahan. Ia sering dijadikan pilihan untuk sarapan atau makanan ringan.
Crepe ini mempunyai tekstur yang lembut dan rangup, dengan rasa yang manis dan savoury bergantung kepada isian yang digunakan.
Cara Pergi ke Hatyai Floating Market
Untuk pergi ke Khlong Hae Floating Market di Hatyai, anda mempunyai beberapa pilihan pengangkutan yang mudah.
Pasar ini terletak sekitar 6 km dari pusat bandar Hatyai, dan anda boleh menggunakan teksi atau tuk-tuk untuk sampai ke sini. Pilihan lain adalah menggunakan perkhidmatan Grab Bike, lebih cepat dan murah.
Berapa Kos & Bajet?
Kos menikmati makanan di Pasar Terapung Hatyai berbeza-beza bergantung kepada jenis makanan dan minuman yang anda pilih.
Namun, usah risau. Kebanyakan makanan di sini berharga antara 30 hingga 100 Baht sahaja, memang mesra poket. Dengan bajet sekitar 200-300 Baht, anda boleh mencuba pelbagai jenis makanan tanpa risau kos yang terlalu tinggi.
Kesimpulan
Jika anda berkunjung ke Hatyai, pastikan untuk tidak melepaskan peluang mencuba makanan-makanan menarik di pasar terapung ini. Pastikan anda merancang perjalanan anda dan siapkan selera untuk menikmati hidangan-hidangan istimewa di pasar terapung ini!