Lahad Datu : Pengorbanan Pahlawan Menentang Penceroboh Negara

Lahad Datu
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Lahad Datu, merupakan sebuah daerah yang terletak di sebelah timur negeri Sabah, Malaysia. Daerah ini terkenal dengan keindahan alam semula jadinya. Namun begitu, terdapat juga detik hitam yang pernah berlaku di kawasan ini. 

Detik hitam yang berlaku ini telah menghentam benteng pertahanan negara kita dan turut mengorbankan beberapa nyawa. Perkara ini telah menjadi satu sejarah dan pengajaran buat negara kita.  

Untuk mengetahui lebih lagi berkenaan detik hitam yang berlaku di daerah keempat terbesar di Sabah ini, pastikan anda teruskan pembacaan anda sehingga ke penghujung artikel ini.

Lahad Datu, Sabah

Bandar Lahad Datu, merupakan sebuah daerah yang terletak di negeri Sabah. Bandar ini merupakan bandar keempat terbesar di negeri tersebut selepas daerah  Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Bandar ini terkenal dengan keindahan alam semulajadinya, sebagai contoh, bandar ini mempunyai kawasan hutan hujan tropika yang agak luas, berbanding di negeri-negeri lain. Selain itu, bandar ini juga memiliki potensi besar dalam sektor perikanan, pertanian, dan perhutanan.

Berikut merupakan gambaran kedudukan bandar ini dalam peta negeri Sabah:

Lahad datu

Pencerobohan Lahad Datu

Pada tahun 2013, keamanan negara tergugat apabila bandar Lahad Datu diserang oleh sekumpulan penceroboh dari Kesultanan Sulu. Ancaman ini dikenali sebagai “Krisis Lahad Datu”. Konflik yang berlangsung daripada 11 Februari hingga 24 Mac 2013 telah bermula di sebuah kampung di daerah tersebut, yang bernama Kampung Tanduo.

Konflik ini bermula apabila seramai 235 militan telah dihantar oleh Jamalul Kiram III, untuk menuntut kembali wilayah timur Sabah yang dianggap sebaga sebagai tanah pusaka kerajaan Kesultanan Sulu (Filipina). Untuk pengetahuan anda, pertelingkahan tuntutan kawasan nasional ini berlaku apabila pewaris Kesultanan Sulu tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Antarabangsa yang menyerahkan Sabah dan semua kawasan kepulauannya kepada Malaysia.

Ketidakpuasan ini menyebabkan Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai pewaris sah takhta Sulu, telah menetapkan bahawa tentera mereka harus menuntut hak-hak wilayah di Borneo Utara, dan serangan secara rasminya dilakukan pada 11 Februari 2013. Kehadiran kumpulan pengganas ini telah dikesan oleh sekumpulan nelayan tempatan dan laporan polis mengenai kewujudan kumpulan bersenjata api yang berkampung di Kampung Tandou, Lahad Datu, ini telah dilakukan oleh mereka.

Pencerobohan ini mencetuskan ketegangan antara Malaysia dan Filipina, serta menjadi tumpuan dunia antarabangsa. Hal ini demikian kerana, pencerobahan ini telah menyebabkan gugurnya 13 anggota pasukan keselamatan negara Malaysia dan kematian 56 pengganas dan enam orang awam.

Konflik itu telah diisytiharkan tamat pada 10 April 2013. Penangkapan 104 warga Filipina yang disyaki mempunyai kaitan dengan konflik ini telah dilakukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan 2012. 111 pengganas Sulu juga berjaya ditangkap, manakala lapan orang lagi didakwa di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun insiden ini telah berakhir, negara kita masih mengambil langkah berjaga-jaga. Kerajaan pada waktu itu telah mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi memperkuatkan keselamatan maritim terutamanya di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZONE) yang melibatkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Adaptasi Filem

Mengambil inspirasi daripada peristiwa bersejarah tersebut, industri perfileman Malaysia telah menghasilkan sebuah filem yang bertajuk “Takluk: Lahad Datu”. Filem ini dihasilkan bagi menunjukkan tanda penghormatan dan ingatan terhadap para pahlawan yang telah gugur dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Filem aksi perang kepolisian yang telah ditayangkan pada tahun 2024 ini merupakan kerjasama antara empat buah syarikat penerbitan iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan SixFun Media. Zulkarnain Azhar yang juga merupakan penulis skrip bersama dengan Peter Toyat, telah dilantik menjadi pengarah filem ini.

Filem yang ditayangkan secara rasminya pada 22 Ogos 2024 di seluruh Malaysia, telah berjaya memukau penonton dengan adegan aksi yang mendebarkan, serta penggambaran yang cukup realistik tentang situasi yang berlaku pada masa itu. Filem ini berjaya mengetengahkan semangat patriotisme dan keberanian para anggota pasukan keselamatan dalam menghadapi cabaran tersebut.

lahad datu

Sumber: Astro Awani

Sinopsis dan Plot

Seperti yang dinyatakan di bahagian sebelum ini, filem “Takluk : Lahad Datu” ini merupakan sebuah filem yang diambil dari kisah benar, berkenaan serangan pengganas yang berlaku di Lahad Datu, Sabah. Di dalam filem ini, kisahnya dimulakan dengan pegerakan kumpulan pengganas iaitu Gerakan Militan Nusantara (GMN) yang diketuai oleh Raja Iskandar bersama orang kanannya Raja Imran yang telah menceroboh Batu Jugar dan Kampung Air.

Pasukan VAT 69 yang diketuai oleh SAC Azizi telah menggerakkan tim Alpha, Bravo, Charlie dan Delta (terdapat lima sektor iaitu Alpha, Bravo, Charlie, Delta dan Echo semasa krisis) ke Batu Jugar untuk mengiringi Dato’ Mizan Timbalan Pengarah KDNKA (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman ke sana bagi sesi rundingan damai bersama SAC Kamal dari Cawangan Khas.Namun begitu, rundingan damai tidak dipersetujui oleh pihak pengganas. Perkara ini menyebabkan serangan dilakukan ke atas pasukan VAT 69 yang hadir.

Melalui filem ini, pengorbanan pasukan VAT 69 yang berjuang tanpa henti dalam mempertahankan dan melindungi rakyat Malaysia telah ditonjolkan. Pegawai yang terlibat dalam konflik ini, kesemuanya mempunyai keluarga, saudara dan rakan-rakan yang menunggu mereka di rumah. Namun demi mempertahankan negara semua itu telah mereka kebelakangkan.

lahad datu

Senarai Pelakon

Berikut merupakan senarai beberapa pelakon yang memainkan watak penting dalam filem “Takluk: Lahad Datu” ini:

Pelakon dan Watak dalam Filem Takluk: Lahad Datu

  • Syafiq Kyle sebagai DSP Zamri, Ketua Tim Alpha
  • Kamal Adli sebagai DSP Jailani “Jai”, Ketua Tim Bravo
  • Fikry Ibrahim sebagai Inspektor Saiful Zaini, Pegawai Perisikan IPD Batu Jugar
  • Anding Indrawani sebagai DSP Maznan
  • Eman Manan sebagai Raja Iskandar
  • Riezman Khuzaimi sebagai SAC Datuk Mizan, Timbalan Pengarah KDNKA Bukit Aman
  • Yuna Rahim sebagai Sofia (Isteri DSP Zamri)
  • Azizah Mahzan sebagai ibu kepada Inspektor Saiful
lahad datu

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut