Kunyit hitam merupakan sejenis tumbuhan herba yang semakin mendapat perhatian kerana keistimewaannya dalam merawat pelbagai masalah kesihatan.
Walaupun kurang dikenali berbanding kunyit kuning, kunyit jenis ini sebenarnya kaya dengan bahan aktif seperti curcumin dan antioksidan yang tinggi.
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda 11 khasiat terbaik kunyit hitam bagi meningkatkan kesihatan dalam dan luaran seseorang.
Apa itu Kunyit Hitam?
Kunyit hitam, atau nama saintifiknya Curcuma caesia, juga dikenali sebagai black zedoary, ialah sejenis herba yang jarang ditemui namun sangat bernilai dalam dunia perubatan tradisional dan moden.
Tumbuhan ini menghasilkan bunga berwarna kuning pucat dengan sempatan merah, manakala rizomnya berwarna biru gelap hingga kehitaman.
Kunyit jenis ini ditanam menggunakan kaedah yang sama seperti kunyit biasa, dan ia boleh diperoleh dalam bentuk segar mahupun serbuk. Rizom kunyit hitam mempunyai bau manis yang unik hasil daripada kandungan minyak pati yang tinggi.
Bau ini bukan sahaja menjadi ciri khasnya, malah menyumbang kepada manfaat kesihatan tertentu.
Kandungan Nutrisi Kunyit Hitam
Dari segi kandungan nutrisi, kira-kira 100 gram kunyit hitam mengandungi:
- Kalori: 29 kcal
- Protein: 0.91 gram
- Lemak: 0.31 gram
- Karbohidrat: 6.31 gram
- Serat: 2.1 gram
- Gula: 0.3 gram
Khasiat Kunyit Hitam
Kunyit hitam semakin dikenali sebagai herba tradisional yang kaya dengan khasiat. Dalam topik ini, kita akan melihat pelbagai manfaat kunyit hitam untuk kesihatan tubuh secara menyeluruh.
1. Membantu Merawat Penyakit Pernafasan
Salah satu khasiat kunyit hitam yang semakin mendapat perhatian adalah keupayaannya dalam membantu merawat pelbagai jenis penyakit pernafasan seperti asma, bronkitis dan pneumonia.
Ini kerana ia mengandungi bahan aktif utama iaitu curcumin, sebatian semula jadi yang terbukti memiliki sifat anti-radan dan antioksidan yang kuat.
Curcumin bertindak sebagai agen terapeutik yang membantu mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan, sekali gus memudahkan pernafasan bagi pesakit yag mengalami gangguan paru-paru seperti asma atau bronkitis kronik.
Kelebihan curcumin dalam kunyit hitam juga terletas pada sifatnya yang tidak menggangu keberkesan ubat-ubatan konvensional untuk paru-paru, serta tidak merosakkan sel-sel sihat dalam sistem imun kita.
Kandungan bioktif dalam rizom kunyit hitam berfungsi secara sinergistik untuk menenangkan keradangan, memecahkan lendir yang menyekat saluran udara, dan memperkuat daya tahan tubuh terhadap jangkitan seperti pneumonia.
Baca juga: Sakit Dada Sebelah Kiri – Punca, Simptom & Rawatan Yang Sesuai
2. Melegakan Kesakitan
Kunyit hitam turut dikenali sebagai salah satu bahan semula jadi yang berkesan dalam melegakan pelbagai jenis kesakitan. Dalam perubatan tradisional, ia telah lama digunakan sebagai penawar kepada kesakitan luaran dan dalaman.
Kunyit ini dipercayai mampu membantu melegakan pelbagai bentuk kesakitan termasuk ruam kulit, sakit gigi, osteoartritis, dan juga masalah penghadaman.
Sifat anti-radangnya membantu mengurangkan bengkak dan kerengsaan, manakala sifat analgesiknya memberi kelegaan terhadap ketidakselesaan yang berkaitan dengan sendi dan otot.
3. Menghalang Pertumbuhan Sel Kanser
Curcumin bertindak dengan menghalang percambahan sel kanser, mencegah pembentukan saluran darah baru yang memberi nutrien kepada tumor serta mencetuskan kematian sel kanser melalui apoptosis (kematian sel terancang).
Kajian oleh The AAPS Journal juga menunjukkan bahawa, curcumin mampu mengubah perubahan prakanser dalam organ-organ tubuh, sekali gus mencegah perkembangan awal kepada penyakit kanser. Ia memberi perlindungan tambahan kepada sel-sel sihat dalam tubuh, dan membantu mengurangkan risiko mutasi genetik yang boleh mencetuskan kanser.
Lagi menarik lagi, penyelidikan terkini mendapati bahawa gabungan rawatan kemoterapi konvensional bersama kunyit, termasuk kunyit hitam, boleh meningkatkan keberkesanan terapi tersebut dalam melawan sel-sel kanser.
4. Membantu Menurunkan Berat Badan
Pengambilan kunyit secara berkala dapat meningkatkan kecekapan metabolisme lemak dalam badan, sekali gus mengurangkan pengumpulan lemak berlebihan yang mejadi punca pertambahan berat badan.
Dengan hanya menambah sedikit kunyit hitam ke dalam masakan harian seperti kari atau sup, anda boleh memanfaatkan khasiatnya dalam menyokong diet sihat. Ini adalah langkah mudah tetapi berkesan bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan secara semula jadi tanpa bergantung sepenuhnya kepada produk pelangsing yang mahal atau tidak selamat.
Selain itu, kunyit hitam turut mengurangkan risiko rintangan insulin, iaitu satu keadaan di mana tubuh tidak memberi tindak balas yang baik terhadap insulin.
Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kadar gula dalam darah dan menyumbang kepada obesiti serta penyakit diabetes jenis 2.
5. Membantu Merawat Iritasi Kulit
Sifat anti-radang dalam kunyit ini membantu memulihkan bahagian kulit yang terjejas, mengurangkan bengkak dan ketidakselesaan yang dialami.
Ia bukan sahaja melegakan kegatalan, malah mencegah keradangan lanjut pada permukaan kulit, menjadikan ia sesuai digunakan dalam bantuk pes atau krim herba.
Dalam perubatan tradisional, pes daripada rizom kunyit hitam sering disapu pada kulit yang terkena ruam atau iritasi ringan sebagai rawatan topikal.
6. Membantu Meningkatkan Stamina
Seperti ahli keluarga halia yang lain, kunyit hitam turut terkenal sebagai suplemen pemakanan semula jadi yang mampu meningkatkan tenaga dan daya tahan tubuh.
Apabila diambil dalam jumlah kecil, kunyit hitam membantu merangsang sistem metabolik dan menyokong penghasilan tenaga, menjadikan tubuh lebih bertenaga dan cergas sepanjang hari.
Khasiat ini menjadikannya sesuai diamalkan oleh individu yang mudah letih, sering berasa lesu, atau mereka yang menjalani rutin harian yang padat dan mencabar.
7. Meningkatkan Kesihatan Otak
Curcumin berperanan penting dalam meningkatkan daya ingatan, memperbaiki fungsi kognitif, serta melindungi sel-sel otak daripada kerosakan akibat tekanan oksidatif dan keradangan.
Ia membantu meningkatkan aliran darah ke otak, menyokong komunikasi antara sel saraf, dan merangsang penghasilan hormon yang penting untuk pertumbuhan sel otak baru. Ini menjadikan kunyit hitam sebagai sokongan semula jadi dalam memperbaiki fokus, daya tumpuan, dan prestasi mental.
Lebih menarik, curcumin dalam kunyit hitam juga telah dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer dan Parkinson, dua keadaan yang sering berlaku akibat kerosakan jangka panjang pada sel-sel otak.
8. Membantu Mencegah Pembekuan Darah
Menurut American Blood Clot Association, ekstrak daripada kunyit hitam mempunyai aktiviti trombolitik, iaitu keupayaan untuk melarutkan bekuan darah yang terbentuk di dalam saluran darah.
Ciri ini menjadikannya berpotensi sebagai sokongan semula jadi dalam mencegah risiko penyumbatan arteri, serangan jantung, dan strok.
Dengan membantu mengekalkan kelancaran aliran darah, kunyit hitam bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan jantung, tetapi juga menyokong kesejahteraan tubuh secara keseluruhan.
Kandungan bioaktifnya bertindak dalam menjaga salur darah agar kekal bersih daripada plak dan pembekuan yang boleh menggugat fungsi sistem peredaran darah.
Kunyit Hitam #9. Melegakan Senggugut
Senggugut atau kekejangan haid adalah satu pengalaman yang menyakitkan dan sering mengganggu rutin harian wanita. Ramai yang mengangggap ia sebagai sesuatu yang semula jadi dan tidak dapat dielakkan.
Namun begitu, kunyit hitam mengandungi ciri antispasmodik (mengurangkan kekejangan otot) dan anti-radang, yang berfungsi secara langsung pada punca kesakitan haid iaitu keradangan dan ketegangan otot rahim.
Lebih daripada itu, kunyit hitam juga bertindak sebagai pelonggar otot semula jadi, yang membantu menenangkan otot rahim yang menegang ketika haid.
Baca juga: Ubat Senggugut Melegakan Period Cramp, Ini 9 Pilihan Terbaik!
10. Melegakan Sakit Gigi
Selain terkenal dengan manfaat dalaman, kunyit ini turut memberi kesan positif kepada kesihatan mulut, khususnya dalam merawat sakit gigi secara semula jadi.
Dalam perubatan tradisional seperti Ayurveda, bukan sahaja rizom kunyit hitam digunakan, bahkan daunnya juga dimanfaatkan sebagai ubat penenang kesakitan gigi dan mulut.
Apabila disapu atau digunakan pada kawasan yang sakit, sebatian aktif seperti curcumin bertindak mengurangkan keradangan di sekitar gusi dan akar gigi yang terjejas. Ini sekaligus membantu mengurangkan bengkak, tekanan, dan ketidakselesaan yang sering menyertai sakit gigi.
Baca juga: Ubat Sakit Gigi Yang Berkesan & Petua Hilangkan Sakit
11. Membantu Sistem Pencernaan
Salah satu cara utama kunyit hitam menyokong pencernaan adalah dengan merangsang pengeluaran hempedu oleh hati, yang penting dalam proses penghadaman lemak dan penyerapan nutrien.
Dengan pengeluaran hempedu yang lebih efisien, makanan yang dimakan lebih mudah diuraikan dan diserap oleh tubuh, mengurangkan beban pada usus dan memperbaiki keseimbangan sistem pencernaan secara keseluruhan.
Selain itu, kajian oleh World Journal of Gastroenterology juga mendapati bahawa, kunyit hitam juga melegakan gejala gangguan pencernaan seperti kembung perut, rasa tidak selesa selepas makan, dan pedih ulu hati. Sifat anti-radangnya membantu mengurangkan keradangan pada lapisan usus dan mencegah pembentukan ulser atau luka kecil dalam sistem pencernaan.
Baca juga: 13 Cara Hilangkan Sembelit dengan Bahan Semulajadi
Cara Pengambilan Kunyit Hitam yang Betul
Disebabkan kandungan curcumin dalam kunyit hitam adalah hampir dua kali ganda berbanding kunyit biasa, cara penggunaannya perlu dikawal untuk memastikan manfaat kesihatan yang optimum tanpa risiko kesan sampingan.
Menurut pakar, dos harian yang disarankan ialah antara 500 mg hingga 1 gram (0.5g – 1g) sahaja. Berikut adalah cara pengambilan kunyit hitam yang betul mengikut jenis kegunaan dan keperluan:
1. Sebagai Rempah dalam Masakan
- Serbuk Kunyit Hitam Kering: Boleh digunakan seperti kunyit biasa dalam masakan seperti dalam kari, sup, atau perapan daging. Gunakan dalam jumlah kecil untuk mengelakkan rasa pahit yang berlebihan.
- Rizom Segar: Parut dan masukkan ke dalam lauk seperti rebusan atau tumisan untuk rasa serta manfaat kesihatan tambahan.
2. Sebagai Minuman Kesihatan
- Teh Kunyit Hitam: Campurkan secubit serbuk kunyit hitam ke dalam air suam. Tambahkan madu jika perlu. Teh ini sesuai untuk mengurangkan kembung, menyokong pencernaan dan membantu pengurusan berat badan.
- Susu Kunyit Hitam (Black Turmeric Milk): Campurkan 1 gram kunyit hitam serbuk ke dalam segelas susu suam (susu lembu atau tumbuhan). Minuman ini membantu meningkatkan imuniti, kesihatan tulang, dan melegakan batuk serta selsema.
3. Dalam Bentuk Minyak Infusi
- Parut kunyit hitam segar dan rendam dalam minyak pembawa seperti minyak kelapa atau minyak zaitun selama beberapa hari. Gunakan minyak ini untuk urut sendi, rawatan kulit atau sakit otot secara tradisional.
4. Dalam Smoothie atau Jus
- Campurkan sedikit kunyit hitam segar atau serbuk ke dalam smoothie buah atau sayuran. Ini memberi suntikan nutrisi dan antioksidan yang membantu tenaga dan kesihatan usus.
5. Penggunaan Luaran
- Topeng Wajah atau Salap Kulit: Campurkan serbuk kunyit hitam dengan minyak kelapa untuk sapuan pada kulit gatal, bengkak, atau gigitan serangga. Hanya untuk kegunaan luaran dan disarankan di bawah nasihat pakar.
- Pes Luka dan Radang: Hancurkan rizom segar dan sapukan pada bahagian badan yang sakit (contoh: sendi bagi pesakit artritis) sebagai rawatan tradisional sementara.
6. Sebagai Ubat Tradisional
- Air Rebusan (Decoction): Didihkan rizom kunyit hitam segar dalam air, kemudian tapis dan minum seperti teh. Kaedah ini sesuai untuk melegakan sakit badan, ketidakhadaman, dan masalah pencernaan ringan.
- Ubat Luka atau Bintik Kulit: Jika disyorkan oleh pengamal perubatan, kunyit hitam boleh dihancurkan dan digunakan terus pada luka kecil untuk membantu penyembuhan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, memandangkan khasiatnya yang pelbagai, tidak hairanlah semakin ramai yang mengesyorkan supaya kunyit hitam dijadikan sebahagian daripada pemakanan harian, terutamanya dalam bentuk suplemen, serbuk herba, atau ekstrak.
Namun begitu, anda perlulah memastikan pengambilannya diambil dengan sukatan yang betul. Minta nasihat doktor terlebih dahulu sekiranya anda menghidap penyakit yang kronik atau perlu makan ubat-ubatan rutin setiap hari.