Kudis Buta : Punca, Simptom dan Kaedah Rawatan

Biasanya kita dengar orang tua-tua kata kalau tapak tangan berasa gatal, itu petanda kita bakal menerima duit daripada seseorang.

Namun, jangan mudah gembira dahulu, kerana gatal di tapak tangan ini boleh menjadi petanda awal kepada penyakit menakutkan iaitu kudis buta.

Penyakit ini mudah merebak di tempat seperti pusat penjagaan kanak-kanak, asrama sekolah dan rumah orang tua.

Walaupun ia boleh dirawat, namun ia perlulah dikenalpasti pada peringkat awal untuk mengelakkan ia semakin merebak.

Apakah simptom dan untuk tangani masalah kudis buta ini? Ayuh ikuti perkongsian daripada kami.

Sumber : health.com

Apa Itu Kudis Buta?

Kudis buta atau skabies merupakan sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit dan dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit seseorang dengan pesakit.

Disebabkan itu, tangan akan menjadi anggota badan pertama dijangkiti kudis ini.

Punca

Penyakit ini berpunca daripada sejenis hama iaitu Sarcoptes scabiei. Makhluk seperti serangga halus ini akan membentuk laluan atau terowong di bawah lapisan luar kulit.

Seterusnya, ia akan bertelur di bawah kulit dan menghisap darah dari mangsanya.  Ini akan menyebabkan rasa kegatalan yang keterlaluan pada permukaan kulit.

Pada masa yang sama, kawasan kulit yang bermasalah juga akan muncul ruam dan kemerah-merahan akibat reaksi alahan badan.

Ramai yang menganggap skabies ini adalah masalah kegatalan kulit biasa.

Sebaliknya, ia perlu dirawat segera kerana ia boleh menganggu kualiti hidup dan membuatkan pesakit tidak selesa dan boleh menjangkiti orang sekeliling.

kudis buta

Simptom

Simptom atau gejala bagi penyakit kudis buta ini boleh mengambil masa lebih kurang dua hingga enam minggu untuk timbul dalam badan seseorang yang telah dijangkiti.

Antara simptom yang boleh diperhatikan adalah :

1. Kegatalan

Kegatalan yang dirasakan sangat ketara sehingga boleh mengganggu aktiviti harian atau tidur pada waktu malam.

Ia juga boleh merebak dari telapak tangan ke bahagian badan lain.

2. Ruam

Ia kelihatan berbintik-bintik dan berketul-ketulan merah. Ia boleh muncul di mana-mana bahagian badan, namun lebih ketara di kawasan lipatan kulit dan celah-celah  seperti bahagian dalam paha, pusat, celah ketiak, dan punggung.

3. Laluan Atau Terowong Hama Kudis

Ia boleh dilihat pada permukaan kulit seperti garisan-garisan nipis, halus dan berwarna gelap.

Garisan ini biasanya muncul pada bahagian kulit yang longgar antara jari, bahagian dalam pergelangan tangan dan telapak tangan.

4. Kesan Calar

Kerosakan kulit ini boleh muncul akibat menggaru secara agresif. Ia juga boleh menjadi parah dan akan terdedah kepada kuman dan bakteria yang lain.

Sumber : informedhealth.org

Kaedah Rawatan

Mengikut saranan doktor, pesakit mungkin akan diberikan krim atau losen seperti Permethrin, Benzyl Benzoate, Crotamiton, Gamma Benzene Hexachloride dan sebagainya.

Doktor juga mungkin akan memberikan ubat tahan gatal sekiranya kegatalan adalah keterlaluan.

Pesakit juga perlu memaklumkan kepada doktor sekiranya hamil, menyusukan anak, terdapat sebarang sejarah penyakit dan sejarah alahan ubat.

Perkara ini penting kerana terdapat sesetengah ubat dalam rawatan skabies tidak sesuai untuk digunakan dalam kalangan wanita mengandung, menyusukan bayi, pesakit sawan, bayi pramatang dan kanak-kanak berumur kurang daripada 2 tahun.

Cara Mencegah

  • Individu yang mempunyai sentuhan fizikal dengan pesakit perlulah mendapatkan pemeriksaan dan menerima rawatan pada waktu yang sama.
  • Basuh baju, cadar dan selimut dalam air panas. Anda juga boleh ‘merebusnya’ bag membunuh hama.
  • Jika tidak boleh dibasuh, boleh disimpan dalam beg plastik yang ditutup sekurang-kurangnya 72 jam sebelum digunakan semula. Lebih lama dibiarkan, lebih bagus.
  • Jika ubat disapu oleh orang yang tidak dijangkiti skabies, mereka perlu memakai sarung tangan.
  • Jemur tilam dan pakaian di bawah sinaran matahari.
kudis buta
Sumber : KKM

Sekiranya anda atau ahli keluarga mengalami tanda-tanda jangkitan skabies, segeralah dapatkan rawatan daripada doktor. Ini penting bagi mengelakkan jangkitan yang tidak diingini.

Pastikan anda mengikut arahan daripada doktor serta patuhi cara penggunaan ubat yang telah disarankan.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia (1), (2)

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!