Ketagihan Gajet Pelajar – Simptom, Punca, Kesan & Cara Atasi
Dengan kemajuan teknologi yang pesat, pelajar kini semakin terdedah kepada penggunaan gajet untuk pelbagai tujuan – sama ada untuk pembelajaran, hiburan mahupun bersosial.
Walaubagaimanapun, apabila penggunaannya tidak dikawal dengan baik, ia boleh menjejaskan prestasi akademik, kesihatan fizikal dan emosi, serta hubungan sosial mereka.
Fenomena ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar itu sendiri, malah turut membebankan guru dan ibu bapa.
Oleh itu, penting untuk kita memahami punca sebenar ketagihan gajet dalam kalangan pelajar, kesan buruk yang mungkin timbul, serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi ketagihan ini secara berkesan.
BACA JUGA: Punca Rambut Berminyak & Rawatan Berkesan Tanpa Salon
Maksud Ketagihan Gajet
Ketagihan gajet merujuk kepada kebergantungan melampau terhadap peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer riba atau tablet sehingga pengguna sukar mengawal masa penggunaan, berasa gelisah tanpa gajet dan mengabaikan tanggungjawab harian.
Ketagihan ini biasanya dikaitkan dengan penggunaan media sosial, permainan video atau menonton video secara berterusan.
Simptom Ketagihan Gajet dalam Kalangan Pelajar
1. Isolasi Sosial
Lebih gemar berinteraksi secara maya berbanding bersemuka. Kurang bercakap dengan ahli keluarga dan rakan sekelas dalam dunia sebenar.
2. Sukar Berpisah dengan Gajet
Pelajar menunjukkan kegelisahan, keresahan, atau rasa tidak selesa apabila tidak memegang telefon atau tidak dapat akses kepada internet dalam tempoh yang singkat.
3. Penggunaan Gajet Secara Berlebihan
Menghabiskan masa berjam-jam sehari dengan telefon atau tablet, termasuk waktu belajar, makan, atau sebelum tidur — tanpa had masa yang jelas.
4. Prestasi Akademik Menurun
Kurang fokus dalam kelas, suka menangguhkan tugasan dan keputusan peperiksaan yang merosot akibat terlalu asyik dengan gajet dan media sosial.
5. Kurang Minat terhadap Aktiviti Lain
Tidak berminat menyertai aktiviti fizikal, sukan, permainan tradisional atau kegiatan bersama keluarga kerana lebih memilih duduk dengan gajet.
6. Masalah Tidur
Kerap tidur lewat malam kerana menonton video, bermain permainan atau melayari media sosial hingga menyebabkan keletihan keesokan harinya.
7. Perubahan Emosi dan Tingkah Laku
Mudah marah, cepat bosan, dan menjadi agresif apabila diminta untuk berhenti menggunakan gajet. Sesetengah pelajar juga boleh menjadi murung dan pendiam.
8. Mengabaikan Tanggungjawab Harian
Tidak menyiapkan kerja sekolah, lupa solat, enggan membantu ibu bapa di rumah atau tidak menjaga kebersihan diri akibat leka dengan peranti.
Punca Ketagihan Gajet Dalam Kalangan Pelajar
Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada ketagihan gajet, antaranya ialah:
1. Akses Kepada Gajet Sangat Mudah
Hampir setiap pelajar memiliki sekurang-kurangnya satu peranti digital peribadi seperti telefon pintar atau tablet.
Harga gajet yang semakin mampu milik dan keperluan penggunaan dalam pembelajaran menjadikan akses kepada peranti ini sangat mudah.
Tambahan pula, sambungan internet yang pantas dan meluas membolehkan pelajar melayari media sosial, menonton video, atau bermain permainan dalam talian pada bila-bila masa.
Kemudahan ini, walaupun membantu dalam pendidikan, secara tidak langsung membuka ruang kepada penggunaan berlebihan sehingga boleh mengakibatkan ketagihan.
2. Tekanan Sosial
Remaja dan pelajar sering merasakan keperluan untuk “terhubung” secara berterusan dengan rakan-rakan mereka melalui media sosial seperti Instagram, TikTok atau WhatsApp.
Sikap tidak ingin ketinggalan (FOMO – Fear of Missing Out) dalam perbualan kumpulan, trend semasa atau kandungan yang sedang viral juga turut mempengaruhi.
3. Tekanan Akademik & Emosi
Ada pelajar yang menggunakan gajet sebagai “alat pelarian” daripada tekanan belajar dan masalah peribadi.
Tanpa ruang sokongan emosi yang stabil, mereka mencari hiburan segera melalui permainan dalam talian, video, atau media sosial untuk mengurangkan stres.
Lama-kelamaan, tindakan ini menjadi tabiat yang sukar dikawal. Mereka mula bergantung kepada gajet untuk mencari ketenangan dan keselesaan sementara.
4. Kurang Pengawasan
Ketiadaan had penggunaan gajet yang jelas di rumah atau di sekolah juga menjadi penyumbang besar kepada masalah ketagihan.
Apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan kerja dan tidak memantau aktiviti anak-anak secara dekat, pelajar bebas menggunakan gajet yang mereka miliki sesuka hati.
5. Tidak Mempunyai Hobi/Aktiviti Menarik
Ramai pelajar tiada aktiviti luar bilik yang menyeronokkan atau tidak diberi galakan untuk menyertai aktiviti kokurikulum, sukan atau hobi yang sihat.
Kekosongan masa lapang ini menyebabkan mereka lebih cenderung menghabiskan masa dengan gajet.
Kesan Ketagihan Gajet
Ketagihan gajet memberi kesan negatif yang ketara kepada pelajar dalam pelbagai aspek seperti kesihatan, akademik, sosial dan sebagainya. Antaranya:
1. Gangguan Tidur dan Masalah Fizikal
Penggunaan gajet hingga larut malam boleh mengganggu kitaran tidur semula jadi akibat pendedahan kepada cahaya biru daripada skrin.
Ini menyebabkan pelajar sukar tidur, mengalami keletihan keesokan harinya dan kurang fokus di sekolah.
2. Kesan Terhadap Kesihatan Mental
Ketergantungan terhadap gajet boleh menyebabkan remaja mengalami kemurungan, keresahan (anxiety) dan rasa rendah diri.
Ini sering berpunca daripada sikap suka membandingkan diri dengan imej ‘sempurna’ yang dipaparkan di media sosial.
3. Hubungan Sosial Terjejas
Apabila berada di tahap ketagihan, pelajar lebih cenderung menatap skrin berbanding berkomunikasi secara bersemuka bersama rakan-rakan, guru dan sesiapa sahaja.
Keadaan ini melemahkan kemahiran komunikasi, empati dan hubungan sosial dalam jangka panjang.
4. Prestasi Akademik Merosot
Ketagihan kepada gajet juga boleh memberi impak besar kepada pelajaran. Ini menyebabkan pelajar kurang menumpukan perhatian dalam kelas, menangguh kerja sekolah dan akhirnya menjejaskan pencapaian akademik.
5. Masalah Disiplin dan Sikap
Ketagihan gajet juga boleh membawa kepada sikap tidak bertanggungjawab, mudah marah apabila ditegur, dan enggan terlibat dalam aktiviti fizikal atau sosial.
Ini kerana pelajar yang ketagihan gajet terlalu asyik dengan dunia di dalam gajet mereka sahaja. Hal ini boleh menimbulkan masalah disiplin di sekolah dan di rumah.
Cara Hilangkan Ketagihan Gajet
Menangani ketagihan gajet dalam kalangan pelajar bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan usaha berterusan dan strategi yang praktikal.
1. Had Penggunaan Gajet
Ibu bapa perlu menetapkan peraturan jelas mengenai tempoh penggunaan gajet setiap hari, contohnya maksimum dua jam selepas selesai kerja sekolah.
Ibu bapa juga boleh menggunakan aplikasi tertentu untuk mengawal masa penggunaan gajet anak-anak. Contohnya, aplikasi Google Family Link.
2. Galakkan Aktiviti Fizikal
Bagi menggantikan masa bersama gajet, pelajar digalakkan menyertai aktiviti luar seperti sukan, rekreasi, atau program komuniti yang dapat mengisi masa lapang tanpa gajet.
Cari hobi yang boleh dilakukan semasa masa lapang untuk mengelakkan penggunaan gajet berlebihan.
3. “Digital Detox”
Kaedah seperti “digital detox” juga boleh diamalkan, di mana pelajar perlu mengambil masa tertentu setiap minggu untuk tidak menggunakan sebarang peranti elektronik.
Pada masa ini, mereka boleh dilibatkan dalam aktiviti bersama keluarga, membaca buku atau bersukan.
Peranan Ibu Bapa
Peranan ibu bapa sangat penting dalam membantu remaja mengatasi ketagihan ini. Ibu bapa harus menjadi contoh yang baik dengan mengawal penggunaan gajet mereka sendiri di rumah.
Jika anak melihat ibu bapa sering memegang telefon semasa waktu makan atau berbual, mereka akan menganggap ia sebagai tingkah laku yang normal.
Selain itu, ibu bapa perlu meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak. Komunikasi terbuka, tanpa menghukum akan memudahkan anak-anak berkongsi tentang tekanan atau kebimbangan mereka.
Jika masalah ketagihan gajet menjadi terlalu serius, ibu bapa juga boleh mendapatkan bantuan pakar psikologi atau kaunselor.
Tidak kurang pentingnya ialah menyediakan persekitaran rumah yang menyokong gaya hidup sihat. Contohnya seperti memastikan ada waktu ‘tanpa gajet’, menggalakkan makan malam bersama dan menyediakan ruang khas untuk belajar tanpa gangguan gajet.
Contoh Aktiviti Menggantikan Gajet
Sebenarnya, ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang tanpa penggunaan gajet, antaranya ialah:
1.Melakukan aktiviti fizikal dan riadah seperti berbasikal, berjoging, bermain bola sepak, badminton, berenang, berkebun dan sebagainya.
2. Melakukan hobi kreatif contohnya melukis, mewarna, membuat kraf tangan, menulis jurnal, bermain alat muzik, menjahit atau membuat origami.
3. Menghabiskan masa dengan membaca buku ilimiah, komik atau novel.
4. Bermain permainan tradisional dan papan seperti congkak, batu seremban dam ular, catur, Uno atau Monopoly.
5. Menyertai kelab atau kegiatan kokurikulum seperti kelab debat, kelab bahasa, unit uniform atau persatuan seni.
6. Menyertai program sukarelawan, gotong-royong, atau membantu di rumah kebajikan memberi rasa empati, tanggungjawab dan nilai kemanusiaan.
7. Melakukan aktiviti keluarga seperti memasak bersama, berkelah, bermain permainan papan, atau sesi bercerita sebelum tidur.
–
Dengan pendekatan yang seimbang dan kerjasama antara ibu bapa, sekolah dan masyarakat, ketagihan gajet dalam kalangan pelajar pasti dapat dikawal dan dicegah.
Jadikan teknologi sebagai alat bantu, bukan penghalang kepada kehidupan sihat dan bermakna!