Sebelum kita dijajah dengan kuasa luar, Tanah Melayu lebih dikenali sebagai Alam Melayu, di mana di sini telah terdapatnya beberapa kerajaan. Antara kerajaan yang berada di Alam Melayu ini ialah Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Kerajaan ini telah ditubuhkan oleh Parameswara pada awal abad ke-15. Dibawah pemerintahan beliau, kerajaan Melayu Melaka ini telah berkembang pesat sebagai sebuah pusat perdagangan utama di Selat Melaka.
Untuk mengetahui sejarah awal kerajaan ini, pastikan anda teruskan pembacaan anda sehingga ke penghujung artikel ini.
Sejarah Awal Kesultanan Melayu Melaka
Sejarah awal pertubuhan Kesultanan Melayu Melaka, bermula apabila Parameswara, yang merupakan putera raja dari Palembang mengundurkan diri setelah beliau kalah dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada abad ke-14.
Pada awalnya beliau dan pengikut-pengikutnya telah melarikan diri ke Muar, kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam yang berdekatan dengan Sungai Melaka. Sewaktu di sungai Melaka ini, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih.
Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan telah membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Nama negeri pula diberikan sempena nama pohon tempat bersandarnya baginda pada waktu itu.
Daripada situlah kewujudan Kerajaan Melayu Melaka ini bermula, dan di bawah pentadbiran Parameswara, Melaka telah terkenal sebagai pusat perdagangan utama di Timur ketika itu. Namun begitu, kehebatan kerajaan ini terhenti setelah mereka di jajah Portugis, pada tahun 1511.
Kronologi Kesultanan Melayu Melaka
Berikut merupakan kronologi pemulaan Kesultanaan Melayu Melaka sehingga pengambil alihan Portugis pada tahun 1511:
KURUN KE-15
- 1400 – Parameswara, putera raja dari Palembang, setelah ditumpaskan oleh Majapahit menuju ke Temasik (nama asal Singapura) dan akhirnya membuka negeri Melaka.
- 1403 – Laksamana Yin Ching dalam misi perdagangannya telah singgah di Melaka dan menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan China – Melaka.
- 1405 – Parameswara menghantar utusannya ke China bagi mengukuhkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin.
- 1409 – Laksamana Cheng Ho (Zheng He), ketua Armada perdagangan China dan para pembesar tiba di Melaka bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
- 1411 – Parameswara diiringi pembesar Melaka dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang serta ditemani oleh Laksamana Cheng Ho belayar untuk melawat Yung Lo, Maharaja Dinasti Ming di Cina.
- 1414 – Parameswara berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda memeluk agama Islam dan memakai gelaran Sultan Iskandar Shah (1414-1424).
- 1424 – Parameswara mangkat dan anakandanya, Sri Maharaja, menaiki takhta dan menukar namanya menjadi Sultan Muhammad Shah (1424-1444). Baginda telah memerintah mengikut ajaran Islam, mengasaskan etika istana dan menyebarkan Islam.
- 1444 – Raja Ibrahim, putera bongsu Sultan Muhammad Shah, menjadi pemerintah selepas kemangkatan ayahandanya.
- 1445 – Raja Ibrahim dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran Sultan Abu Syahid.
- 1446 – Raja Kassim, kekanda Sultan Abu Syahid, menaiki takhta dan memakai gelaran Sultan Muzaffar Shah (1446-1458) dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri.
- 1447 – Serangan Siam yang pertama ke atas Melaka berlaku, tetapi disekat oleh angkatan perang Melaka. Pihak Siam ditewaskan tidak jauh dari Muar.
- 1456 – Tun Perak dilantik menjadi Bendahara atau Perdana Menteri dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Beliau menjadi terkenal kerana pentadbiran yang baik dan bertanggungjawab dalam memajukan Melaka. Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.
- 1458 – Sultan Mansur Shah menaiki takhta. Maharaja China menghantar Laksamana Cheng Ho yang membawa Puteri Hang Li Po dan dikahwinkan dengan Baginda. Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpateh Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri Cina untuk mengiring Hang Li Po.
- 1477 – Sultan Mansur Shah mangkat dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) menaiki takhta pada umur 15 tahun. Baginda merupakan seorang yang tegas dalam melaksanakan tugasnya.
- 1488 – Sultan Alauddin diracun mati di Pagoh. Kemudian Sultan Mahmud Shah (1488-1511) menaiki takhta atas jasa Tun Perak dan juga Hang Tuah.
- 1498 – Tun Perak meninggal dunia.
KURUN KE-16
- 1500 – Tun Mutahir, sepupu Tun Perak, dilantik sebagai Bendahara bergelar Bendahara Seri Maharaja dan menjadi bendahara yang paling berkuasa di kalangan para pembesar Kesultanan Melaka.
- 1509 – Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di rantau Asia Tenggara. Atas sebab perselisihan faham, angkatannya diserang oleh Melaka dan 20 anak kapalnya ditahan oleh orang tempatan.
- 1510 – Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya dibunuh atas titah Sultan Mahmud Shah kerana beliau enggan menyerahkan anaknya Tun Fatimah kepada baginda. Menyedari kesilapannya, Sultan Mahmud Shah turun takhta untuk sementara waktu dan digantikan oleh anaknya, Sultan Ahmad Shah.
- 1511 – Alfonso DeAlbuquerque, wizurai Portugis di Goa, tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina sebuah markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh sultan. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Semenjak itu, Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.
Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka
Kekayaan Ekonomi
Kekayaan ekonomi Melaka dipacu oleh kawalan laluan perdagangan yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan.
Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Cukai yang dikenakan ke atas pedagang asing juga menjadi sumber pendapatan penting bagi kerajaan.
Di pelabuhan ini, pelbagai barang dagangan dari serata dunia telah dijualkan. Antaranya ialah:
- Sutera dan porselin dari Cina
- Kain dan coromandel dari India
- Kapur barus dari Borneo
- Cendana dari Timor
- Buah pala dan bunga cengkih dari Molucas
- Emas dan lada hitam dari Sumatera
- Timah dari Tanah Melayu.
Pentadbiran Sistematik
Pentadbiran raja pada zaman Kesultanan Melayu Melaka adalah sangat sistematik dan tersusun. Perkara ini boleh dilihat melalui pengwujudan “Sistem Pembesar Empat Lipatan”, di mana setiap pembesar tersebut mempunyai fungsi dan tugas mereka yang jelas seperti yang dinyatakan di bawah:
- Bendahara
- Menjadi penasihat diraja dan wakil raja jika baginda tiada ketika itu.
- Penghulu Bendahara
- Mengawal perbendaharaan negara, memungut cukai dan hasil negara dan menyimpan daftar hamba raja dan ketua bagi semua syahbandar
- Temenggung
- Ketua undang-undang peraturan negeri dan keselamatan.
- Laksamana
- Pahlawan yang menjaga keamanan laut
Institusi seperti Majlis Raja-Raja dan Mahkamah Syariah juga ditubuhkan untuk menguruskan urusan pentadbiran, keadilan, dan sosial. Pendekatan ini memastikan kestabilan dan keamanan dalam pemerintahan.
Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka
Pada 24 Ogos 1511, Kesultanan Melayu Melaka telah tumpas dalam peperangan melawan penjajah dari Portugis. Kejatuhan ini menandakan berakhirnya zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan membuka jalan kepada penjajahan asing yang lebih luas di Asia Tenggara.
Berikut merupakan beberapa faktor yang menyebabkan kekalahan ini:
- Serangan Portugis
- Kekayaan bahan mentah dan lokasi yang strategik menyebabkan Melaka mendapat perhatian kuasa asing. Perkara ini menyebabkan terdapat kuasa-kuasa jahat yang ingin menguasai laluan perdagangan di Selat Melaka, dan antara kuasa tersebut ialah Portugis.
- Kelemahan Pertahanan Melaka
- Walaupun mempunyai sistem ketenteraan yang kuat dan terlatih, kerajaan ketika itu tidak mampu menandingi teknologi dan kekuatan tentera laut Portugis yang lebih maju.
- Perpecahan dan Perebutan Kuasa
- Perpecahan dalam kalangan pembesar dan persaingan kuasa di dalam negeri juga melemahkan kestabilan kesultanan. Ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Sultan Mahmud Shah dan konflik dalaman menyebabkan rakyat dan pembesar kurang bersatu dalam mempertahankan kesultanan.
Baca juga: Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 KSSM