Kesan Buang Hempedu Yang Perlu Anda Tahu

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Pundi hempedu adalah sejenis organ yang berada di bawah. Ia berfungsi untuk menyimpan cecair hempedu dan sebatian yang dihasilkan oleh hati untuk mencerna lemak.

Pada masa yang sama, ia turut membantu tubuh menyerap vitamin dan nutrien larut lemak.

Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Namun, batu hempedu boleh terhasil daripada unsur-unsur cecair hempedu yang terdiri daripada garam hempedu, pigmen hempedu, kalsium, kolesterol dan sebagainya.

Ia bukan sahaja boleh ditemui di pundi hempedu, malah ia juga boleh dijumpai di salur hempedu.

Ini boleh menyebabkan penyakit batu karang hempedu. Bagi kes yang serius, doktor akan mengesyorkan untuk membuang pundi hempedu.

Namun, pesakit tidak perlu risau kerana pembedahan tersebut adalah kecil. Pesakit juga boleh teruskan hidup seperti normal selepas pembedahan.

Berikut dikongsikan simptom dan kesan buang hempedu yang perlu anda tahu.

Sumber : Berita Harian

Simptom Penyakit Batu Hempedu

Kira-kira 80 peratus pesakit tidak mempunyai sebarang simptom. Hanya satu hingga empat peratus sahaja yang berisiko mendapat serangan biliari dalam tempoh setahun.

Kehadiran batu hempedu boleh mengakibatkan keradangan teruk secara berulang kali di bahagian atas abdomen di sebelah kanan atau tengah antara 15 ke 30 minit.

Sakit ini juga dikatakan sangat kuat berbanding sakit gastrik.

Ada kalanya, pesakit juga boleh berasa mual atau muntah. Ini terjadi akibat pundi hempedu mengembang sehinga berlakunya sumbatan di duktus sistik oleh batu hempedu, enapcemar atau kelodak (sludge).

kesan buang hempedu

Sekiranya simptom yang dialami pesakit sangat teruk, doktor akan mencadangkan untuk pembedahan buang pundi hempedu (cholecystectomy).

Dalam sesetengah kes, pembedahan ke atas saluran hempedu juga mungkin diperlukan mengikut keadaan pesakit.  

Tanpa pundi hempedu, hempedu akan bergerak daripada hati dan terus ke usus bagi membantu penghadaman.

Walau bagaimanapun, pesakit mungkin boleh alami beberapa kesan buang hempedu.

Ayuh kita semak beberapa kesannya.

Kesan Buang Hempedu Yang Anda Perlu Tahu

1. Kesukaran Menghadam Lemak

Disebabkan ketiadaan pundi hempedu, badan anda akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri untuk mencernakan lemak melalui kaedah baru.

Ini boleh menyebabkan ketidakhadaman pada tempoh awal selepas pembedahan.

2. Cirit-Birit dan Angin

Masalah ketidakhadaman seterusnya boleh menyebabkan masalah angin dan cirit birit. Keadaan juga boleh menjadi lebih teruk sekiranya pesakit kurang mengambil serat dalam diet.

3. Sembelit

Pembedahan dan ubat bius boleh menyebabkan sembelit.

Walau bagaimanapun, selepas pembedahan, pesakit juga boleh alami kekurangan hempedu pada usus. Ini menyebabkan usus kekurangan lemak bagi membantu memproses najis menjadi lebih lembut.

Oleh itu, pesakit perlulah banyakkan minum air dan pengambilan makanan tinggi serat.

kesan buang hempedu

4. Kecederaan Usus

Walaupun jarang berlaku, namun usus yang tercedera akibat pembedahan boleh menjadi salah satu kesan buang hempedu. Ini boleh menyebabkan kekejangan dan rasa sakit pada kawasan yang terlibat.

Rasa sakit mungkin normal sebaik sahaja selepas pembedahan selesai. Namun, sekiranya ia masih berlarutan dan teruk, dapatkan nasihat daripada doktor.

5. Demam Kuning (Jaundice) atau Demam Biasa

Batu karang hempedu yang tertinggal selepas pembedahan boleh menyebabkan keradangan atau demam kuning iaitu kondisi yang menyebabkan kulit menjadi kekuningan.

Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan jangkitan yang lebih serius.   

Selain kesan buang hempedu yang disenaraikan, sesetengah pesakit juga boleh alami komplikasi pembedahan seperti luka, keradangan atau jangkitan.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Walaupun normal untuk pesakit alami beberapa kesan buang hempedu selepas pembedahan, namun anda perlulah segera berjumpa doktor sekiranya :

  • Sakit pada bahagian abdomen, rasa sakit yang tidak hilang atau semakin teruk
  • Muntah atau loya yang teruk
  • Kekuningan pada mata dan kulit
  • Tidak mengeluarkan angin atau membuang air besar lebih daripada tiga hari selepas pembedahan
  • Cirit-birit yang berlaku selama tiga hari atau lebih selepas pembedahan

Dapatkan nasihat atau rawatan daripada doktor sekiranya anda alami sebarang masalah kesihatan selepas pembedahan.

Berdasarkan perkongsian daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya, pesakit yang telah menjalani pembedahan hempedu tidak perlu berpantang ke atas makanan.

Walau bagaimanapun, pesakit digalakkan untuk makan makanan seimbang dan kurang lemak demi kesihatan yang lebih terjamin.

Meskipun pundi hempedu sudah dibuang, salur hempedu yang masih ada juga boleh menjadi tempat terbentuknya batu karang hempedu sekiranya pesakit tidak mengubah cara pemakanan seperti mengambil makanan berkolesterol tinggi.

Tambahan pula, pengambilan makanan berlemak yang berlebihan juga boleh menyebabkan pesakit alami cirit-birit.

Sumber : Berita Harian, healthline.com, Pembedahan Pundi Hempedu (Cholecystectomy) – UM Medical Centre

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut