Kepentingan Industri Pelancongan: Isi Penting & Contoh

Bagi karangan mengenai kepentingan industri pelancongan, berikut adalah isi penting dan contoh karangan.

Murid boleh merujuk isi penting dan contoh karangan di bawah.

Isi Penting Karangan Kepentingan Industri Pelancongan

1. Meningkatkan Ekonomi Negara

  • Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia.
  • Pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi.
  • Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam, membeli cenderamata, makanan, minuman dan sebagainya.
  • Wang yang diperoleh oleh kerajaan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi, kemudahan-kemudahan pelancongan dan pembangunan fizikal negara.

2. Dapat Memajukan Bidang Perniagaan

  • Pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, jurupandu pelancong dan perkhidmatan lain.
  • Pelancong asing menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti inap desa yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung.
  • Selain itu, peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan medan selera.

3. Membuka Peluang Pekerjaan Lebih Banyak

  • Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan.
  • Menggalakkan di negara kita ini meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman serta golongan pekerja mahir dan separa mahir.
  • Perkembangan industri ini menjadikan nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, kraf tangan, pertanian dan penternakan.

4. Memperkenalkan Malaysia ke Seantero Dunia

  • Contohnya, penganjuran Sukan Komanwel atau Sukan SEA, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia.
  • Membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai prasarana.
  • Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia.

Contoh Karangan Kepentingan Industri Pelancongan

i) PENDAHULUAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri dan mempunyai banyak tempat-tempat menarik untuk melancong. Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Antara usaha untuk menarik pelancong ke negara kita adalah dengan mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia. Usaha yang dikakukan ini telah menyebabkan setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?

ii) ISI 1: MENINGKATKAN EKONOMI NEGARA

Dari segi ekonomi, sektor pelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia. Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam, membeli cenderamata, makanan, minuman dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini dapat menambahkan pendapatan negara. Seterusnya, wang yang diperoleh oleh kerajaan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi, kemudahan-kemudahan pelancongan dan pembangunan fizikal negara.

iii) ISI 2: DAPAT MEMAJUKAN BIDANG PERNIAGAAN

Di samping itu, sektor pelancongan juga dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini kerana pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, jurupandu pelancong dan perkhidmatan lain. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti inap desa yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung. Selain itu, permintaan yang tinggi terhadap makanan juga telah mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan medan selera mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Pelancong juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di atas air.

iv) ISI 3: MEMBUKA PELUANG PEKERJAAN YANG LEBIH BANYAK

Selain itu, pelancongan juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas dalam sektor tersebut. Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman serta golongan pekerja mahir dan separa mahir. Perkembangan industri ini menjadikan nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, kraf tangan, pertanian dan penternakan. Kesannya kualiti hidup rakyat juga akan meningkat.

v) ISI 4: MEMPERKENALKAN MALAYSIA KE SEANTERO DUNIA

Dari segi politik, sektor pelancongan dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia. Misalnya, melalui penganjuran Sukan Komanwel atau Sukan SEA, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai prasarana. Melalui penganjuran sukan juga, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Keadaan ini telah membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang minima.

vi) PENUTUP

Kesimpulannya, sektor pelancongan mempunyai banyak kepentingan kepada negara. Oleh itu, usaha memajukan industri pelancongan bukanlah terletak atas pihak berkuasa semata-mata tetapi juga semua pihak. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan semangat yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat. Kerjasama dan kesungguhan daripada semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara.

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!