Kelebihan Bulan Ramadan & Keistimewaan Puasa – Hadis Sahih

Kelebihan Puasa Bulan Ramadan Menurut Hadis Sahih & Kesihatan

Bulan Ramadan adalah merupakan bulan suci yang dinantikan oleh umat Islam.

Pada bulan ini, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa setiap hari, bermula daripada terbit matahari sehinggalah terbenamnya matahari, selama sebulan. 

Tidak dapat disangkal lagi, bulan penuh keberkatan ini mempunyai pelbagai kelebihan terutamanya dari segi kesihatan dan spiritual. 

Berikut dikongsikan lebih lanjut mengenainya. 

BACA JUGA: Niat Puasa Ramadan – Lafaz Niat Harian / Sebulan (JAKIM)

Pengenalan : Bulan Ramadan & Ibadah Puasa

Ibadah puasa adalah merupakan rukun Islam yang ketiga. Umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” 

Kelebihan Bulan Ramadan Dari Segi Spiritual & Kesihatan

Gelaran Istimewa & Nama Lain Bulan Ramadan

Terdapat beberapa nama lain bulan Ramadan yang menggambarkan kelebihannya, antaranya ialah;

1. Syahrul Quran (Bulan Quran)

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185, yang bermaksud:

“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil”.

2. Saiyidus Syuhur (Penghulu sekalian bulan)

Bulan Ramadan Ramadan mendapat gelaran sebagai Penghulu sekalian bulan kerana kelebihan dan keistimewaanya. 

Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan” -Hadis Riwayat al-Thabrani, Ibnu Khuzaimah & al-Baihaqi.

3. Syahrul Sabr (Bulan Kesabaran) 

Ibadah puasa adalah ibadah yang perlu dilakukan dengan kesabaran. Allah menjanjikan ganjaran pahala yang tidak terbatas kepada orang-orang yang bersabar. FirmanNya dalam Surah Al-Zumar ayat 10, yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas”.

4. Syahrul Magfirah (Bulan Keampunan)

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu”. – Hadis Riwayat al-Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Habban dan al-Baihaqi.

5. Syahrul Rahmah (Bulan Rahmat)

Daripada Abu Hurairah, yang bermaksud:

“Suatu ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda bersabda: Amin, Amin, Amin. Baginda  SAW  ditanya:

Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin. Maka Rasulullah  SAW  bersabda: Sesungguhnya Jibril a.s. telah datang kepadaku, lalu Jibril berkata:

Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT Katakanlah Amin (wahai Muhammad). Maka aku katakan: Amin.” – (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

6. Syahrul Barakah (Bulan Berkat)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan (dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, Allah memfardhukan puasa atas kamu, dibuka pintu-pintu Syurga, dikunci pintu-pintu neraka, dibelenggu Syaitan (supaya tidak mengganggu umat Muhammad SAW daripada melakukan pelbagai ibadat), di dalamnya ada Malam Qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tiada diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya” – (Hadis Riwayat al- Nasai’e)

7. Syahrul Najah (Bulan Kemenangan)

Dalam sejarah Islam, terdapat beberapa peperangan dan perjuangan jihad menentang musuh-musuh Islam yang dimenangi dalam bulan Ramadan seperti perang Badar al-Kubra, perang Ahzab, perang Hittin dan perang Ain Jalut. 

8. Syahrul Jud (Bulan Murah Hati)

Nabi Muhammad SAW telah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud:

“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapat pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” – Hadis Riwayat al-Tirmidzi.

Keistimewaan & Kelebihan Puasa Bulan Ramadan – Koleksi Hadis Sahih JAKIM

HADIS 1 – RAMADAN BULAN KETAATAN

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satupun pintunya yang terbuka. Pintu-pintu syurga dibuka, tidak ada satupun pintunya yang tertutup. Lalu seorang penyeru menyeru: “Wahai yang mengharapkan kebaikan, bersegeralah (kepada ketaatan). Wahai yang mengharapkan keburukan, berhentilah (daripada melakukan keburukan). Allah SWT akan membebaskan hambahamba-Nya daripada api neraka dan perkara tersebut berlaku pada setiap malam(di bulan Ramadan).”

(Riwayat Ibnu Majah, Kitab ash-Shiyam, Bab Ma Jaá Fi Fadhli Syahru Ramadhana, no. 1642, berkata al-Arnaút: Hadith sahih dan sanadnya hasan)

HADIS 2 – RAMADAN BULAN KEAMPUNAN

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi ﷺ bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkankeredhaan Allah) akandiampunkandosanya yang terdahulu.”

(Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab Shawmu Ramadhan Ihtisaban Minaal-Iman, no.38)

HADIS 3 – MENDAPAT SYAFAAT DARIPADA PUASA & AL-QURAN

Daripada Abdullah bin Amru RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Puasa dan alQuran akan memberikan syafaat kepada hamba (orang yang berpuasa dan yang sentiasa membaca al-Quran) di hari kiamat nanti. Puasa akan berkata: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku telah menahan hamba-Mu ini daripada makan, minum dan perkara syahwat pada waktu siang, maka terimalah syafaatku kepadanya.” Manakala al-Quran pula akan berkata: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku telah menahan hamba-Mu ini daripada tidur di malam hari, maka terimalah syafaatku kepadanya.” Baginda ﷺ bersabda: “Maka Allah pun menerima kedua-dua syafaat tersebut.”

(Riwayat Ahmad, Musnad al-Mukaththirin Mina ashShohabah, Musnad ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-’Ash RA, no. 6337, berkata Ahmad Syakir: Isnadnya Sahih, dinaqalkan Ibn Kathir dalam Fadhail al-Quran (m/s: 93) berkenaan status ini dalam Jam’u al-Zawa’id (3/181), no. 18543, dengan mengatakan: “Diriwayatkan Ahmad, at-Tabrani dalam al-Kabir, perawi at-Tabrani adalah sahih, diriwayatkan alHakim dalam al-Mustadrak (1/554), no. 2080, daripada jalan Ibn Wahab daripada Yahya bin ‘Abdullah dengan sanad ini, dengan katanya: Sahih mengikut syarat Muslim dan tidak dikeluarkan oleh as-Syaikhain dan dipersetujui oleh az-Zahabi)

HADIS 4 – PUASA RAMADAN MENGHAPUSKAN DOSA

Daripada Abu Hurairah RA,bahawa Rasulullahﷺbersabda: “Solat lima waktu, hari Jumaat ke Jumaat (berikutnya) dan Ramadan ke Ramadan (berikutnya) akan menghapuskan (dosa-dosa) di antara tempoh tersebut sekiranya (seseorang itu) menjauhi dosa-dosa besar.”

(Riwayat Muslim, Kitabat-Toharah,BabashSholawat al-Khamsi wa al-Jum’ati Ila alJuma’ati wa Ramadhana Ila Ramadhana Mukaffiratun Lima Bainahunna Ma Ijtinabati al-Kabair,no.233)

HADIS 4 – GANJARAN ORANG YANG BERPUASA DARI ALLAH

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah SWT berfirman (hadith qudsi): Setiap amalan anakAdam adalah untuk dirinya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik-Ku (Allah) dan Akulah yang akan membalasnya.”

(Muttafaqun ‘Alayhi, riwayat al-Bukhari, Kitab ash-Shaum, Bab Hal Yaqulu Inni ShaimunIzaSutima,no.1904,Muslim,Kitab ash-Shiyam, Bab Fadhlu ash-Shiyam, no. 1151)

HADIS 5 – DUA KEGEMBIRAAN BAGI ORANG BERPUASA

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan yang dia akan bergembira dengan kedua-duanya; (pertama) apabila berbuka dia bergembira dan(kedua) apabila berjumpa dengan Tuhannya, dia bergembira disebabkan (ganjaran) ibadah puasanya itu.”

(Muttafaqun ‘Alayhi, riwayat al-Bukhari, Kitab ash-Shaum, BabHal Yaqulu Inni Shaimun Iza Sutima, no. 1904, Muslim, Kitab ash-Shiyam, BabFadhluash-Shiyam,no.1151)

HADIS 6 – DOA MAKBUL DENGAN BERPUASA

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullahﷺ bersabda: “Tiga orang yang tidakakan ditolak doa-doa mereka.(Pertama) Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, (kedua)seorang imam (pemerintah) yang adil dan (ketiga) doa seorang yang dizalimi. Allah SWT akan mengangkat doanya ke atas awan dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit dan Allah SWT akan berfirman: “Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, pasti Aku (Allah) akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika.”

(Riwayat At-Tirmidzi, Kitabad-Da’awat,Bab Fial-’Afwiwa al-’Afiyah,no.3598,dengan katanya: Hadith ini hasan)

HADIS 7 – PINTU AR-RAYYAN UNTUK ORANG BERPUASA

Daripada Sahl RA, beliau berkata, daripada Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang yang akan memasukinya pada hari kiamat nanti hanyalah mereka yang berpuasa, tiada sesiapapun yang layak memasukinya selain daripada mereka. Lantas akan diseru (oleh penjaganya): “Di manakah orang yang berpuasa?” Maka mereka yang berpuasa pun bangun memasukinya; tiada sesiapapun yang layak memasukinya selain daripada mereka. Apabila mereka sudah memasukinya, pintu itu akan ditutup, dan tiada sesiapapun lagi yang akan dapat memasukinya.”

(Muttafaqun ‘Alayhi, riwayat al-Bukhari, Kitab alShaum, Bab al-Rayyan Li al-Shaaimina, no. 1896, Muslim, Kitab ash-Shiyam, Bab Fadhlu ash-Shiyam, no. 1152)

HADIS 8 – RAMADAN BULAN PEMURAH

Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata: “Rasulullah ﷺ merupakan seorang yang sangat pemurah. Baginda ﷺ sangat pemurah khususnya dalam bulan Ramadan terutama ketika Malaikat Jibril AS datang menemui Baginda ﷺ. Malaikat Jibril AS akan menemui Baginda ﷺ pada setiap malam dalam bulan Ramadan, kemudian beliau bertadarus al-Quran dengan Baginda ﷺ. Sesungguhnya Baginda ﷺ bersifat sangat pemurah pada ketika itu umpama angin yang bertiup kencang.”

(Riwayat al-Bukhari, Kitab Bad’i al-Wahyu, Bab Kaifa Bad’u al-Wahyu Ila Rasulillah SAW?, no. 6)

HADIS 9 – ANCAMAN KEPADA YANG MENSIA-SIAKAN RAMADAN

Daripada Jabir bin ‘Abdullah RA, bahawa Nabi ﷺmenaiki mimbar, ketika Baginda melangkah anak tangga yang pertama, Baginda menyebut: “Amin”, kemudian apabila melangkah anak tangga yang kedua, Baginda menyebut: “Amin”, kemudian apabila melangkah anak tangga ketiga, Baginda menyebut: “Amin”. Para sahabat bertanya: “Ya Rasullullah, kami mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali”. Baginda menjawab: “Ketika aku melangkah anak tangga yang pertama, Jibril datang kepadaku dan berkata: “Celakalah seseorang hamba yang bertemu dengan Ramadan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut: “Amin.” Kemudian Jibril berkata: “Celakalah seseorang hamba yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkannya ke dalam syurga (kerana tidak berbakti kepada ibu bapanya). Aku pun menyebut: “Amin.” Kemudian Jibril berkata: “Celakalah seseorang hamba yang nama engkau (iaitu nama Rasullullah ﷺ ) disebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau. Aku pun menyebut: “Amin.”

(Riwayat al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, Bab Man Zukira ‘Indahu an-Nabiyyu SAW Falam Yusolli ‘Alayhi, no. 644, berkata al-Shakhawi dalam al-Qawlu al-Badi’: Hadith hasan dan berkata Muhammad Fuád Ábdul Baqi: Tidak terdapat dalam Kutub Sittah)

HADIS 10 – PEMBEBASAN PADA SETIAP MALAM RAMADAN

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satupun pintunya yang terbuka dan pintu-pintu syurga dibuka, tidak ada satupun pintunya yang tertutup. Lalu seorang penyeru menyeru: “Wahai yang mengharapkan kebaikan bersegeralah (kepada ketaatan). Wahai yang mengharapkan keburukan, berhentilah (daripada melakukan keburukan). Allah SWT akan membebaskan hambahamba-Nya daripada api neraka dan perkara tersebut berlaku pada setiap malam (di bulan Ramadan).”

(Riwayat Ibn Majah, Kitab ash-Shiyam, Bab Ma Jaá Fi Fadhli Syahri Ramadan, no. 1642, berkata alBushiri: Perawi sanad hadith ini thiqah, alArna’ut pula mengatakan: Hadith sahih tetapi sanadnya hasan)

HADIS 11 – PEMBEBASAN PADA SETIAP WAKTU BERBUKA

Daripada Jabir RA, beliauberkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka pada setiap waktu berbuka puasa dan ia berlaku pada setiap malam (Ramadan).”

(Riwayat Ibn Majah,Kitabash-Shiyam,BabMa Ja’a Fi Fadhli Syahri Ramadan, no. 1643, berkataal-Arna’ut: Hadith sahih dan sanad ini hasan)

HADIS 12 – PAHALA BERGANDA BAGI ORANG BERPUASA

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya daripada 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Melainkan puasa, sesungguhnya ia milik-Ku (Allah) dan Aku-lah yang akan membalasnya. Dia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwatnya daN makanannya kerana-Ku.”

(Riwayat Muslim, Kitab ash-Shiyam, Bab Fadhluash-Shiyam,no.1151)

HADIS 13 – FADILAT PUASA DI JALAN ALLAH

Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, beliau berkata, aku mendengar Nabi ﷺbersabda: “Sesiapa yang berpuasa sehari di jalanAllahSWT, maka Allah SWT akan menjauhkannya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun jarak perjalanan.”

(Muttafaqun‘ Alayhi,riwayat al-Bukhari,Kitab, al-Jihadwaas-Siyari,Bab Fadhliash-Shaum iFi Sabilillahi, no. 2840, Muslim, Kitab ash Shiyam,Bab Fadhliash-Shaumi Fi Sabilillahi Li Man Yutiquhu,no.1153)

Sumber: HIMPUNAN HADITH-HADITH SAHIH SIRI 1 KEUTAMAAN PUASA & RAMADAN – JAKIM

Peristiwa Penting Yang Berlaku Dalam Bulan Ramadan

Tahukah anda, terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Ramadan:

  1. Bulan diturunkan al-Quran
  2. Berlakunya Perang Badar Kubra
  3. Pembukaan Kota Mekah
  4. Persiapan Perang Khandak
  5. Penaklukan Kota Andalus
  6. Wafatnya insan-insan Nabi SAW yang tersayang
  7. Peperangan Ain Jalut
  8. Tertawannya garis Bar Lev, Israel
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Melaka

Kelebihan Bulan Ramadan Dari Sudut Spiritual & Kesihatan

Berikut antara kelebihan Puasa Bulan Ramadan dari sudut spiritual:

Kelebihan Ramadan Dari Sudut Spiritual

1. Meningkatkan Ketakwaan Kepada Allah

Ibadah puasa pada bulan Ramadan dapat membantu meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Hal ini ada disebutkan dalam Surah al-Baqarah, ayat 183;

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” 

Takwa adalah konsep dalam Islam yang mempunyai maksud takut melanggar perintah Allah dan melakukan apa yang diperintahkanNya.

Sesiapa yang memiliki takwa akan berusaha mengendalikan hawa nafsu dan menghindari perbuatan dosa, serta berupaya untuk melakukan kebaikan serta amal soleh. 

2. Melatih Kesabaran

Ibadah puasa melatih kita untuk sentiasa bersabar dalam menjalani kehidupan seperti mana kita bersabar menahan lapar dan dahaga semasa berpuasa dan sabar dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. 

3. Melatih Diri Agar Bersifat Pemurah

Bulan Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk melatih diri agar bersifat pemurah dan tidak kedekut.

Dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga seharian, ia memberi kesedaran dan empati terhadap orang lain yang sering berada dalam kelaparan kerana kesukaran hidup. 

Kelebihan Bulan Ramadan Dari Segi Spiritual & Kesihatan

4. Doa Mudah Dikabulkan 

Bulan Ramadan adalah waktu yang istimewa di mana doa-doa memiliki peluang lebih besar untuk dikabulkan.

Kita dianjurkan untuk banyakkan berdoa sebelum berbuka, serta memanfaatkan bulan ini untuk bangun tengah malam (tahajud) untuk solat dan berdoa kepada Allah apa yang dihajatkan. 

Selain itu, pada bulan ini juga terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Malam Lailatul Qadr.

Pada malam ini, segala doa akan dikabulkan dan amal ibadah yang dilakukan dianggap lebih baik daripada seribu bulan. 

5. Diampunkan Dosa

Pada bulan Ramadan, segala dosa-dosa yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah sekiranya individu tersebut berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan. 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (HR Bukhari)

Kelebihan Ramadan Dari Segi Kesihatan

Berikut antara kelebihan Puasa Bulan Ramadan dari sudut kesihatan:

kelebihan bulan ramadan

1. Membantu Mengawal Paras Gula Dalam Darah.

Apabila berpuasa, tubuh akan mengalami perubahan metabolisme yang dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah. 

2. Mengurangkan Faktor Risiko Penyakit Kardiovaskular

Puasa dapat membantu mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular melalui beberapa mekanisme yang berkaitan dengan perubahan pola makan dan gaya hidup selama bulan puasa.

3. Menurunkan Berat Badan

Kelebihan bulan Ramadan adalah salah satu cara menurunkan berat badan dengan  sihat. Jika sebelum ini anda makan 4 kali sehari, namun apabila berpuasa anda akan makan hanya dua kali sahaja.

Perubahan pola makan ini sangat membantu dalam menurunkan berat badan. Selain itu, pastikan anda memilih makanan yang sihat dan seimbang semasa berbuka dan sahur bagi memastikan tubuh anda kekal bertenaga walaupun berpuasa. 

4. Meningkatkan Daya Tumpuan

Perut yang kosong dapat membantu otak kita memberikan tumpuan yang lebih baik berbanding apabila perut penuh kekenyangan. 

5. Mengatasi Ketagihan

Selama bulan Ramadan, umat Islam menahan diri dari makanan, minuman, dan perilaku tertentu yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari.

Rutin ini dapat membantu memberi kesempatan kepada mereka yang mengalami ketagihan untuk menghadkan atau menghentikan ketagihan seperti merokok dan sebagainya.

Semoga dengan kemuliaan dan kelebihan bulan Ramadan ini kita dapat lebih bersemangat dan berusaha sebaik mungkin untuk beribadah kepada Allah SWT dan mengamalkan amal kebaikan yang dituntut.

Sumber:

  1. Pawana Ramadan: Ramadan, Bulan Penuh Keistimewaan. Majlis Keselamatan Negara
  2. Bayan Linnas Siri Ke-62: Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!