Senarai Etnik & Kaum Di Malaysia

kaum di malaysia
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Terdapat pelbagai kaum di Malaysia yang menjadi sebagai salah satu keunikan negara ini berbanding negara-negara yang lain.

Kepelbagaian kaum ini secara tidak langsung membantu masyarakat untuk menghargai dan memahami keunikan serta warisan setiap kumpulan serta mempromosikan kesepadanan sosial dan keharmonian antara kumpulan-kumpulan ini dalam sebuah masyarakat yang majmuk.

Maksud Kaum

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, kaum bermaksud golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa atau suku bangsa.

Selain itu, dalam erti kata yang lain, kaum merujuk kepada kumpulan sosial manusia yang berkongsi ciri-ciri yang sama atau hampir sama dalam konteks asal usul, budaya, agama, dan adat resam tertentu.

Selain itu, kaum juga sering dikaitkan dengan faktor geografi, sejarah, politik, dan kebudayaan yang bersama.

Setiap etnik atau kaum mempunyai kepelbagaian dalam budaya, kepercayaan, dan cara hidup mereka.

Demografi Penduduk Di Malaysia

Penduduk Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan keturunan. Kumpulan terbesar rakyat Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

Selain itu, terdapat juga penduduk peribumi di Semenanjung Malaysia yang merupakan Orang Asli dan secara umumnya terbahagi kepada tiga kaum terbesar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto.

Negeri Sabah mempunyai kumpulan etnik yang mempunyai pelbagai dialek dan budaya terbesar iaitu sebanyak 32 kumpulan etnik komuniti majoritinya ialah etnik Kadazandusun.

Kumpulan lain termasuk Rungus, Bajau, Bajau Laut, Murut, Lundayeh, Orang Sungai dan Iranun manakala penduduk Sarawak terdiri daripada 27 kumpulan etnik dan etnik Iban adalah etnik majoriti selain Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu. 

Senarai Kaum Di Malaysia

Senarai kaum yang ada di negara ini adalah seperti berikut:

  • Melayu
  • Cina
  • India
  • Orang Asli
  • Bumiputera Sabah
  • Bumiputera Sarawak

1. Melayu

Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar di Malaysia.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk Melayu adalah 57.9 peratus atau 17.7 juta penduduk di seluruh Malaysia.

Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu.

Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera.

Dari segi etimologi, perkataan “Melayu” itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit “Malaya” yang bermaksud “bukit” ataupun tanah tinggi.

Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan “Melayu” berasal dari “Sungai Melayu” di Jambi.

Dari segi bahasa, mereka betutur menggunakan bahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan tradisi dan adat istiadat Melayu. 

Dari aspek pakaian, pakaian masyarakat Melayu adalah Baju Melayu bagi lelaki dan Baju Kurung untuk perempuan.

2. Cina

Kaum Cina merupakan kumpulan etnik kedua terbesar di Malaysia selepas kaum Melayu iaitu sebanyak 22.6 peratus.

Masyarakat Malaysia yang berketurunan Cina terdiri daripada beberapa sub-etnik, seperti Cina Min, Cina Yue, Cina Hakka, Cina Wu dan Cina Utara.

Penempatan pertama yang dibuka di Malaysia ditubuhkan pada abad ke-15 apabila Puteri China, Hang Li Po telah dikahwinkan dengan Sultan Melaka.

Semenjak itu, kaum Cina telah berkembang menjadi populasi kedua terbesar di Malaysia.

Kaum ini terdiri dari beberapa kumpulan sub-etnik dan setiap satu dengan dialeknya tersendiri seperti Hokkien, Kantonis, Hakka dan Teochew.

Dari segi agama, hampir 86 peratus kaum ini menganut agama Budha manakala 11 peratus lagi menganut agama Kristian.

Bakinya adalah mereka daripada beragama Islam, Hindu ataupun menganuti agama-agama lain.

3. India

Masyarakat India meruapakan etnik ketiga terbesar di Malaysia yang membentuk 6.6 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Dari segi pakaian, pakaian kaum ini adalah Dhoti bagi lelaki dan Sari bagi wanita.

Dhoti merupakan pakaian ini diperbuat daripada kain yang bewarna putih dan dapat dilihat di hari perkahwinan.

Sari pula merupakan pakaian untuk kaum perempuan dan ia adalah pakaian seharian dan turut dipakai pada musim perayaan.

Sari terdiri daripada lembaran kain yang berukuran semeter hingga dua meter lebar dan panjangnya pula antara lima hingga lima belas meter mengikut saiz pemakai.

4. Orang Asli

Orang Asli bermaksud penduduk asal sesuatu Negara.

Bagi Semenanjung Tanah Melayu (kini Semenanjung Malaysia) Orang Asli telah wujud semenjak lebih 5000 tahun yang lalu.

Mereka berasal daripada keturunan Austranesia, yang boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Kumpulan-kumpulan tersebut terdiri daripada Melayu Asli atau Melayu Asli atau Melayu Proto, Ngrito dan Senoi.

Setiap suku bangsa ini pula dipecah kepada enam etnik dan mereka bertutur dalam pelbagai bahasa selain dialek Melayu tempatan iaitu suku Jakun, Temuan, Semelai, Orang Kuala, Orang Kanaq dan Orang Seletar.

Kumpulan Melayu Asli ini kebanyakan tinggal di Pahang (Maran dan Pekan), Negeri Sembilan (Kuala Pilah dan Panau) dan Johor.

5. Bumiputera Sabah

Penduduk Sabah terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik.

Antara kaum utama yang ada di Sabah adalah seperti berikut:

i) Kadazan-Dusun

Kadazan-Dusun adalah istilah yang diberikan kepada penyatuan klasifikasi dua puak asli di Sabah yang kebanyakannya tinggal di pantai barat sabah dan kawasan pendalaman sekitarnya. 

Mereka juga merupakan kumpulan etnik terbesar yang terdiri daripada kira-kira 1/3 daripada penduduk – Kadazan dan Dusun.

Kaum ini mempunyai 27 suku kaum, antaranya Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Dusun Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo dan sebagainya.

Secara tradisinya, kebanyakan daripada mereka adalah petani tradisional yang menanam padi beras dan padi huma, serta memancing dan memburu.

Tarian Sumazau merupakan tarian tradisional masyarakat Kadazan-Dusun.

ii) Murut

Murut adalah sebuah kumpulan etnik peribumi, yang terdiri daripada 29 kumpulan sub-etnik yang menduduki kawasan pedalaman di kawasan utara Borneo.

Murut jika diterjemahkan secara literal adalah “orang bukit.”

Kaum ini juga adalah etnik Sabah yang terakhir untuk membuang amalan memburu kepala.

Kaum Murut terbahagi kepada suku kaum Murut Tahol atau Tagal, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan,dan Murut Serundung.

Ini adalah kerana mengumpul kepala musuh merupakan peranan tradisinya yang penting dalam kepercayaan kerohanian orang Murut.

Secara tradisinya, mereka adalah penanam padi huma dan ubi kayu. Selain itu juga, mereka juga melakukan aktiviti-aktiviti seperti memburu dan menangkap ikan.

Orang Murut juga tinggal di rumah panjang berhampiran sungai, dan juga menggunakan sungai untuk bergerak ke mana-mana.

iii) Bajau

Orang-orang Bajau adalah sebuah kumpulan etnik peribumi yang tinggal di kawasan Pantai Barat (Putatan, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Papar) dan Pantai Timur Sabah (Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau).

Mereka kebanyakannnya bekerja sebagai petani dan nelayan serta menganut agama islam.

Kaum bajau terpecah kepada dua etnik bajau yang tidak jauh beza iaitu Bajau di pantai Timur dan Bajau di pantai Barat.

Selain menjadi pakar penyelam, mereka juga popular dengan menunggang kuda.

Oleh sebab itu, kaum Bajau di Pantai Barat juga dikenali sebagai ‘koboi timur’, manakala kaum mereka di kawasan Pantai Timur kadang-kadang dirujuk sebagai ‘Sea Gypsies’ oleh sebab cara pelayaran mereka.

iv) Iranun

Iranun ialah nama satu suku kaum yang dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah yang berasal dari Pulau Mindanao di bahagian selatan.

Iranun bermaksud berkasih-kasihan, iaitu wujud jalinan sistem hubungan sosial yang erat, yang terikat oleh tali persaudaraan amat intim yang berlandaskan kepada sistem kerjasama dan gotong-royong.

Masyarakat Iranun mempunyai dialek atau bahasa yang tersendiri dikenali sebagai basa Iranun. Bahasa Iranun ini digolongkan dalam kumpulan bahasa Hesperonesia, iaitu salah satu kumpulan keluarga bahasa Austronesia.

6. Bumiputera Sarawak

Masyarakat bumiputera Sarawak mempunyai ciri-ciri unik berdasarkan lokasi penempatan mereka seperti kawasan pedalaman, lembah sungai, dan pesisir pantai.

Antara kaum utama Bumiputera Sarawak adalah seperti berikut:

i) Iban

Orang Iban merupakan kumpulan etnik pribumi yang terbesar di Sarawak.

Kebanyakan Orang Iban yang juga dikenali sebagai Dayak Laut mendiami Bahagian Miri, Sibu, Bintulu, Kapit, Sarikei, Sri Aman, Kuching, Mukah dan Betong.

Mereka kebiasaannya hidup bermasyarakat dan mendiami rumah-rumah panjang yang diketuai oleh ketua kampung yang dipanggil Tuai Rumah.

Tradisi orang Iban adalah menyimpan pasu, gong, dan tempayan yang dipanggil tajau dan ianya diwarisi secara turun-temurun, bernilai, dianggap suci, dan dihomati.

Perayaan utama bagi suku kaum Iban ialah Hari Gawai yang dijalankan antara hari pertama dan kedua pada bulan Jun adalah terpenting.

Tarian Ngajat ditarikan dalam sambutan Hari Gawai sebagai tanda kesyukuran dalam kehasilan menuai padi sepanjang tahun ini. 

ii) Bidayuh

Masyarakat kaum Bidayuh merupakan salah satu suku kaum bumiputera Sarawak.

Dalam bahasa Bidayuh, ‘Bi’ bermaksud ‘orang’ dan ‘Dayuh’ bermaksud ‘Darat’ dan Bidayuh bermaksud ‘Orang Darat’.

Bidayuh dikenali sebagai Dayak Darat oleh orang Eropah pada masa dahulu untuk membezakan mereka daripada masyarakat Iban (Dayak Laut).

Secara umumnya, masyarakat Bidayuh mempunyai penempatan di sekitar kawasan barat daya Sarawak iaitu di bahagian Serian, Kuching dan barat Kalimantan.

Kaum ini terdiri daripada 4 subetnik iaitu Selakau/Lara (Daerah Lundu), Jagoi/Singai (Daerah Bau), Biatah (Daerah Kecil Padawan), dan Bukar/Bukar Sadong (Daerah Serian).

Lazimnya penempatan rumah panjang suku kaum Bidayuh terletak jauh di kawasan pendalaman dan tanah tinggi bagi tujuan keselamatan iaitu sukar untuk dikesan oleh musuh.

iii) Melanau

Melanau adalah salah satu kaum utama di negeri Sarawak. Orang Melanau tergolong dalam ras Austronesia.

Menurut sejarah, nama Melano telah digunakan untuk menjurus kepada kawasan tradisi masyarakat Melanau di bahagian tengah negeri Sarawak yang kita kenal hari ini sebagai Mukah, Dalat, Oya, Igan, Matu, Daro, Bintulu, Rajang, Tatau dan lain-lain.

Sebelum abad ke-19 pedagang dari luar merujuk kawasan ini sebagai negara Malano dalam sumber-sumber bertulis dan peta-peta lama.

Orang- orang Melanau suatu ketika dahulu mengelar diri mereka sebagai a-likou.

A-likou digelar orang Melanau oleh Sultan Brunei terdahulu ketika ia melihat penempatan orang-orang melanau yang mendiami persisiran pantai suatu ketika dahulu.

Hari ini nama A- likou jarang digunakan kerana mereka lebih menggunakan melanau sebagai identiti mereka.

Kaum Melanau merupakan suku yang beragama Islam dan Kristian namun terdapat juga yang mempercayai makhluk ghaib yang dipanggil Ipok.

Suku etnik Melanau berkumpul di persisiran pantai seperti kawasan lembah utara Sungai Rajang, Igan, Mukah, Dalat, Oya, dan Bintulu.

Kegiatan ekonomi utama mereka adalah menangkap hasil laut dan menjadi petani padi sawah bagi sebahagian kecil daripada mereka yang tinggl di kawasan pendalaman selain perusahaan sagu.

iv) Orang Ulu

Kaum Orang Ulu merupakan etnik minoriti di Sarawak yang terdiri daripada lebih kurang 27 suku kaum kecil yang dijadikan satu.

Antara Etnik Orang Ulu terdiri daripada suku kaum Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Kelabit, Bisaya, Kiput, Tagal, Sa’ban, Penan, Berawan, Sekapan, Lahanan, Kejaman, Punan, Sihan, Beketan, Tanjung, Tabun- Tring, Punan Busang, Tatu dan Bemali.

Majoriti etnik Orang Ulu berada di Belaga, Tubau, Baram, Lawas dan Limbang.

Sebilangan besar daripada mereka tinggal di rumah panjang yang dihiasi dengan mural dan ukiran kayu dan juga terkenal dengan budaya tatu terperinci serta manik-manik mereka yang rumit.

Salah satu ciri-ciri yang juga dikenali adalah muzik mereka yang unik, iaitu penggunaan alat muzik Sape’  sebuah alat muzik yang berbentuk perahu dan mempunyai tali – dan tarian tradisional mereka.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai kaum di Malaysia, sila tonton video di pautan https://www.youtube.com/watch?v=z2iy24nrjzc.

Baca juga: Pakaian Tradisional Malaysia Mengikut Negeri / Suku Kaum

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut