Murid yang ingin menulis mengenai karangan rasuah, berikut disertakan contoh karangan berkaitan tajuk ini.
Isi penting mengenai karangan ini juga turut disertakan.
Isi Penting Karangan Rasuah
1. Masalah Ketelusan Sistem Pentadbiran
- Masyarakat menganggap kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutama dalam aspek pemberian tender dan projek lain.
- Menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengambil wang secara haram.
- Ketiadaan sistem pemantauan yang berkesan.
2. Persepsi Masyarakat Tidak Peka dengan Amalan Rasuah
- Ada kalangan masyarakat yang menganggap masalah ini merupakan asam garam kehidupan yang harus dan telah dialami oleh semua negara.
- Menyebabkan mereka menganggap tindakan mengambil rasuah dan memberi rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah dimalukan oleh sesiapa sahaja.
- Kurangnya pemahaman masyarakat terhadap masalah rasuah ini menyebabkan masalah ini menular secara pantas.
3. Penguatkuasaan yang Lemah
- Tindakan mahkamah yang mengenakan hukuman yang dianggap ringan elah memberikan satu pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu rasuah.
- Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi untuk melakukan rasuah kerana mereka sedar mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang mereka ambil itu setelah keluar dari penjara.
- Kelemahan dalam sistem kehakiman menjatuhkan hukuman yang setimpal telah memberi satu pandangan salah tentang rasuah ini kepada masyarakat kita.
4. Tangga Gaji yang Rendah
- Kos sara hidup yang semakin tinggi telah menjadikan pekerja perkhidmatan awam mengambil keputusan untuk mengambil rasuah.
- Ini merupakan jalan yang singkat bagi mereka untuk memperoleh pendapatan tambahan.
- Tidak perlu bersusah payah bekerja lebih masa.
Contoh Karangan Rasuah
i) PENDAHULUAN
Rasuah sering dikaitkan dengan istilah makan suap dan konotasi ini membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat. Semakin tinggi kadar rasuah di sesebuah negara, maka semakin rendah persepsi masyarakat luar terhadap kemampuan rakyat negara terbabit untuk melakukan sesuatu terutama dalam aspek ekonomi. Media massa juga turut menyiarkan pelbagai kes yang melibatkan pegawai kerajaan berprofil tinggi yang terlibat dalam amalan rasuah ini sebagai bukti betapa masalah ini semakin menular dalam masyarakat kita. Persoalannya, apakah faktor yang menjadi penyebab amalan ini berlaku?
ii) ISI 1: MASALAH KETELUSAN SISTEM PENTADBIRAN
Faktor yang menyebabkan gejalan ini berlaku adalah masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat menganggap masalah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutama dalam aspek pemberian tender dan projek lain. Ini menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengambil wang secara haram. Ketiadaan sistem pemantauan yang berkesan telah menyebabkan ramai kakitangan awam yang terangsang untuk melakukan jenayah yang keji ini. Ini jelas membuktikan masalah ini berlaku apabila tiadanya satu ketelusan dalam sistem pentadbiran awam negara kita.
iii) ISI 2: PERSEPSI MASYARAKAT TIDAK PEKA DENGAN AMALAN RASUAH
Selain itu, masalah rasuah berlaku akibat sikap masyarakat yang tidak peka dengan polemik masalah ini secara terperinci. Ada kalangan masyarakat yang menganggap masalah ini merupakan asam garam kehidupan yang harus dan telah dialami oleh semua negara di dunia ini. Persepsi sedemikian menyebabkan mereka menganggap tindakan mengambil rasuah dan memberi rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah dimalukan oleh sesiapa sahaja. Maka, kurangnya pemahaman masyarakat terhadap masalah rasuah ini menyebabkan masalah ini menular secara pantas dalam masyarakat kita.
iv) ISI 3: PENGUATKUASAAN YANG LEMAH
Amalan rasuah juga berlaku akibat penguatkuasaan undang-undang yang dikatakan lemah dalam sistem perundangan negara kita. Tindakan mahkamah yang mengenakan hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah memberikan satu pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini. Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang mereka ambil itu setelah keluar dari penjara. Kelemahan dalam sistem kehakiman menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah di negara ini telah memberi satu pandangan salah tentang rasuah ini kepada masyarakat kita.
v) ISI 4: TANGGA GAJI YANG RENDAH
Tangga gaji pekerja sektor awam yang rendah juga mendorong berlakunya amalan rasuah di dalam negara. Kos sara hidup yang semakin tinggi telah menjadikan pekerja perkhidmatan awam mengambil keputusan untuk mengambil rasuah yang ditawarkan kepada mereka. Ini merupakan jalan yang singkat bagi mereka untuk memperoleh pendapatan tambahan tanpa perlu bersusah payah bekerja lebih masa. Ini membuktikan gaji bulanan yang terlalu rendah telah menjadikan pekerja sektor awam sasaran utama amalan rasuah untuk berlaku dengan mudah.
vi) PENUTUP
Masyarakat umum perlu sentiasa diingatkan supaya tidak terjebak dengan amalan rasuah. Pemberi dan penerima rasuah wajar dihukum dengan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai. Ini bagi memastikan amalan rasuah dapat terus dibendung dan meningkatkan integriti dalam negara.