Panadol adalah salah satu jenama ubat tahan sakit yang sangat popular di pasaran. Walau bagaimanapun, mungkin sesetengah pengguna boleh keliru untuk membeli kerana terdapat pelbagai jenis Panadol di pasaran.
Sebenarnya, setiap satu mempunyai kelebihan dan kegunaannya tersendiri.
Ada juga yang tak sesuai digunakan bagi sesetengah individu.
Ingin tahu jenis Panadol dan kegunaan khususnya? Ayuh kita semak satu persatu.
Fungsi dan Jenis Panadol di Pasaran
Panadol Regular / Panadol Biasa
Jenis Panadol ini sesuai untuk meredakan sakit kepala, migrain, sakit belakang, senggugut, sakit gigi, selsema dan sakit selepas vaksin.
Mempunyai kesan yang sederhana, ia juga sesuai untuk digunakan ketika demam atau sebagai ubat tahan sakit.
Panadol Actifast
Panadol ini pula adalah antara pilihan popular bagi yang perlukan kelegaan segera daripada sakit kepala dan demam.
Walau bagaimanapun, Panadol Actifast mengandungi sodium, jadi ia kurang sesuai bagi individu yang menghidap tekanan darah tinggi.
Panadol Optizorb
Panadol Optizorb lebih mudah dan pantas diserap oleh badan kerana sifatnya yang cepat hancur.
Ia juga tidak mengganggu perut dan sesuai untuk diambil oleh pesakit darah tinggi kerana bebas kandungan sodium.
Panadol Extend
Jenis Panadol ini adalah dikhususkan bagi melegakan saki otot, sakit tulang belakang, sendi dan artritis.
Ia juga mampu menahan kesakitan dalam tempoh yang lebih lama iaitu selama 8 jam.
Panadol Soluble
Hadir dalam bentuk tablet mudah larut dalam air, Panadol Soluble berfungsi untuk melegakan demam akibat selsema dan kesejukan.
Panadol Menstrual
Tablet Panadol berwarna merah jambu tua ini pula boleh digunakan oleh kaum wanita bagi melegakan kesakitan dan ketidakselesaan ketika datang haid.
Panadol Extra
Jenis Panadol ini pula adalah yang paling kuat bagi melegakan kesakitan yang teruk. Ia juga satu-satunya Panadol yang mengandungi kafein.
Panadol Kanak-Kanak
Mempunyai kandungan paracetamol yang rendah dan sesuai untuk kanak-kanak, ubat ini berfungsi untuk melegakan demam, kesakitan dan tanda-tanda selsema.
Hadir dalam perisa ceri, tablet Panadol untuk kanak-kanak ini boleh dikunyah dan mudah cair dalam mulut.
Peringatan Sebelum Menggunakan Paracetamol/Panadol
Sebelum mengambil Panadol, anda perlu tahu beberapa perkara seperti berikut :
- Dos maksimum Paracetamol adalah 4000 mg atau 4 gram sehari.
- Jangan ambil lebih daripada sepatutnya. Anda dinasihatkan untuk membaca label terlebih dahulu sebelum menggunakannya.
- Panadol Actifast, Soluble dan Extra kurang sesuai untuk diambil bagi pesakit darah tinggi. Gunakan ubat tahan sakit lain sebagai alternatif.
- Panadol Extend pula hanya boleh diambil 3 kali sehari. Jenis Panadol lain boleh diambil 4 kali sehari.
- Sesetengah orang juga ada yang alahan terhadap Paracetamol. Oleh itu, anda perlulah rujuk kepada doktor sekiranya terdapat sebarang kesan sampingan setelah mengambilnya. Doktor juga boleh mencadangkan beberapa ubat tahan sakit lain yang lebih sesuai.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda membuat pembelian ubat yang lebih sesuai dengan keperluan.
Jangan ragu untuk bertanyakan kepada doktor atau ahli farmasi bagi mencadangkan Panadol terbaik untuk anda.
Sumber : Facebook Public Health Malaysia, Facebook MommyHana
Baca Juga : Ubat Demam Kanak-Kanak Yang Bagus, Ini 12 Pilihan Terbaik!