Innalillahiwainnailaihirojiun (إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ): Maksud & Bila Perlu Ucapkan

Innalillahiwainnailaihirojiun (إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ): Maksud & Bila Perlu Ucapkan

Innalillahiwainnailaihirojiun bukanlah frasa Bahasa Arab yang asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Ia seringkali diucapkan apabila melihat, mendengar atau mengetahui berita kematian atau musibah. 

Sebenarnya, apakah maksud frasa ini dan huraiannya disebaliknya?

Jom baca perkongsian di bawah.

BACA JUGA: Jazakallah Khair (جَزاكَ اللهُ خَـيْراً) : Maksud & Cara Membalasnya

Maksud Innalillahiwainnailaihirojiun (إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ)

Innalillahiwainnailaihirojiun (إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ) adalah merupakan ungkapan Bahasa Arab yang mempunyai maksud: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali”. 

Berikut ialah makna ungkapan ini mengikut perkataan:

  • Inna: Sesungguhnya, benar-benar, memang, tentu, atau sungguh ‘kita’
  • Lillahi: Kita adalah kepunyaan Allah Yang Maha Perkasa
  • Wa Inna: Dan sesungguhnya kita
  • Ilayhi: Kepada-Nya
  • Rojiun: Akan kembali

Ungkapan ini adalah merupakan ayat Al-Quran daripada Surah Al-Baqarah (ayat 156). Ia juga dikenali sebagai Lafaz Istirja’. 

Innalillahiwainnailaihirojiun (إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ): Maksud & Bila Perlu Ucapkan

Huraian Di Sebalik Lafaz Innalillah

Innalillahiwainnailaihirojiun membawa makna yang mendalam mengenai sikap tawakal atau pasrah sepenuhnya kepada Allah SWT.

Frasa “Innalillahi” mengingatkan kita akan asal usul kita yang berasal dari-Nya. Allah adalah pencipta dan pemilik segalanya. Maka, tidak ada yang terjadi di alam semesta ini kecuali atas kehendak-Nya. 

Manakala, frasa “Wainnailaihi Roji’un” pula menegaskan bahawa segala sesuatu pada akhirnya akan kembali kepada-Nya. 

Setiap peristiwa sama ada baik, buruk, suka atau duka semualah adalah bahagian perjalanan menuju kepada-Nya. 

Frasa ini mengingatkan kita tujuan hidup yang sebenarnya, iaitu mempersiapkan diri untuk menghadap-Nya satu masa nanti. 

Apabila kita mengucapkan “Innalillahi Wainnailaihi Roji’un”, sebenarnya kita sedang memohon kepada Allah untuk diberikan ketabahan, kekuatan, dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang diberikanNya. 

Ungkapan ini bukanlah hanya sekadar kata-kata yang diucapkan apabila mendengar berita kematian atau musibah. 

Tetapi, dengan memahami maknanya ia boleh dijadikan sebagai pegangan untuk menjalani kehidupan dengan hati yang lapang, menyerahkan segala urusan kepada Allah serta mengakui Allah la yang berhak ke-atas semuanya. 

Bila Perlu Mengucapkan Innalillahiwainnailaihirojiun?

Ummu Salamah R.A berkata bahawa dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

“مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللهُ: {إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ} [البقرة: 156]، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَخْلَفَ اللهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا”.

Maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah, “Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji’uun allahumma`jurnii fii mushiibati wa akhlif lii khairan minhaa (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala karena mushibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya).’ melainkan Allah menukar baginya dengan yang lebih baik”.

Riwayat Muslim (918)

Hadis di atas ini menerangkani bahawa setiap orang mu’min digalakkan untuk menyebut lafaz istirja’ (Innalillahiwainnailaihirojiun) apabila ditimpa musibah sama ada musibah tersebut kecil ataupun besar (misalnya kematian). 

Hukum mengucapkannya adalah SUNAT. 

lafaz istirja’ ini bukan hanya disunatkan untuk dilafazkan pada waktu berlakunya sebuah kematian namun ia umum pada setiap perkara atau kejadian yang menimpa manusia apatah lagi menyakiti mereka.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

عن عكرمة: أنَّ مصباحَ رسولِ اللهِ ﷺ انطفأَ ذاتَ ليلةٍ، فقال: إنّا للهِ وإنّا إليْه راجعونَ. فقيل: أمصيبةٌ هي يا رسولَ اللهِ؟ قال: نعم، كلُّ ما آذى المؤمنَ فهو مصيبةٌ.

Maksudnya: Dari ‘Ikrimah R.A bahawasanya pelita Rasulullah SAW terpadam pada satu malam. Lantas Baginda mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Kemudian dikatakan kepadanya: ‘Adakah ini dianggap musibah wahai Rasulullah?’ Jawab Baginda: ‘Ya. Setiap yang menyakiti orang beriman maka ia dianggap musibah.”

Hikmah Mengucapkan إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Terdapat beberapa hikmah mengucapkan lafaz ini apabila ditimpa musibah atau perkara yang menyakiti kita, antaranya ialah:

1. Pengakuan terhadap keesaan Allah S.W.T.

2. Kepercayaan pada Hari Akhirat (tempat kembalinya manusia).

3. Berserah diri dengan ketentuan Ilahi.

4. Mengharapkan ganjaran di sisiNya.

Ganjaran  Apabila Mengucapkan Lafaz Istirja’ (Innalillah)

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Umm Salamah: Rasulullah SAW bersabda: 

“Apabila seseorang di antara kamu ditimpa musibah, hendaklah dia berkata: ‘Kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali.’ Ya Allah, aku mengharapkan ganjaran dari-Mu atas musibah ini, maka berilah aku ganjaran daripadanya, dan berikanlah aku pampasan yang lebih baik.” (Sunan Abi Dawud 3119)

Diceritakan oleh Umm Salamah bahawa Abu Salamah memberitahunya bahawa dia mendengar Rasulullah SAW berkata:

 “Tidak ada seorang Muslim yang ditimpa musibah dan bertindak dengan mengucapkan seperti yang diperintahkan oleh Allah: 

‘Inna lillahi, wa inna ilayhi raji’un (إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ).’ Allahumma indaka ahtasabtu musibati, fajurni fiha, wa ‘awwidni minha (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami kembali.Ya Allah, dengan-Mu aku mencari ganjaran untuk musibahku, maka berikanlah aku ganjaran atasnya dan berikanlah aku pampasan yang lebih baik),’

 tetapi Allah akan memberinya ganjaran atas itu dan memberinya pampasan dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.” 

Umm Salamah berkata: “Apabila Abu Salamah meninggal dunia, aku teringat apa yang dikatakannya daripada Rasulullah SAW dan aku berkata: ‘Inna lillahi wa inna ilayhi rajioon (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami kembali).

Allahumma indaka ahtasabtu musibati, fajurni alaiha (Ya Allah, dengan-Mu aku mencari ganjaran untuk musibahku, maka berikanlah aku ganjaran atasnya).’ 

Tetapi apabila aku ingin mengucapkan ‘wa ‘awwidni minha’ (dan berikanlah aku pampasan yang lebih baik), aku berkata kepada diriku sendiri: ‘Bagaimana mungkin aku dapat diberikan pampasan yang lebih baik daripada Abu Salamah?’ 

Kemudian aku mengucapkannya, dan Allah memberikan aku ganjaran dengan Muhammad SAW dan memberikan aku pampasan untuk musibahku.” (Sunan Ibn Majah 1598)

Berdasarkan hadis dan kisah diatas jelaslah bahawa ganjaran mengucapkan lafaz ini adalah:

  • Allah akan memberi ganti yang lebih baik daripada apa yang kita hilang.
  • Allah akan memberikan pelbagai jenis kebaikan untuk kita sekiranya kita benar-benar redha. 
  • Allah akan memberi rahmatNya. .
  • Setiap musibah/masalah yang dihadapi akan diberikan ilham/petunjuk jalan penyelesainnya. 

Penutup

Sebagai seorang Muslim, apabila ditimpa musibah atau ujian dalam kehidupan ucapkanlah lafaz Istirja’ (إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ). 

Lafaz ini  mengajarkan kita untuk menerima segala ujian dengan sabar dan tenang.. Dengan menghayati makna dari ungkapan ini, semoga kita dapat merasakan kedamaian dan ketenangan dalam menghadapi segala rintangan dalam hidup. 

RUJUKAN: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3922-al-kafi-1493-hukum-mengucapkan-lafaz-istirja 

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!