Khasiat dan Potensi Ikan Toman Untuk Kesihatan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Ikan toman merupakan spesis ikan pemangsa yang terkenal dalam kalangan pemancing. Mungkin ada yang keliru atau susah untuk bezakan antara toman dan haruan kerana bentuk kepalanya yang agak sama.

Bagi yang belum tahu, kedua-dua ikan ini sebenarnya berasal dari keluarga yang sama iaitu Channidae.

Toman juga boleh dikenalpasti dengan bentuk kepala yang lebih bulat dan badan yang bercorak dengan warna seperti hijau dan ungu.

ikan toman
Sumber : Facebook EXP Fishing
ikan toman
Sumber : Facebook EXP Fising

Ikan dengan nama saintifik Channa micropeltes ini hidup di perairan air tawar dan boleh dijumpai di sungai bertanah rendah, tasik, paya, terusan atau lombong.

Berbanding haruan yang aktif pada awal pagi dan lewat petang, toman pula didapati lebih aktif pada waktu tengah hari iaitu ketika cuaca lebih panas.

Sering makan ikan kecil dan ketam, spesis ikan ini boleh membesar sehingga mencapai lebih enam kaki dan beratnya pula mencecah 20 kilogram.

Ikan yang juga dikenali dengan nama lain seperti emperor snakehead, giant snakehead atau giant mudfish ini juga tergolong sebagai salah satu ikan tempatan Malaysia dan mudah dijumpai di perairan Asia Tenggara.

Potensi Ikan Toman Untuk Kesihatan

Selain kaya dengan mineral penting seperti zink, zat besi, kalium dan kalsium, ikan toman juga didapati memiliki pelbagai potensi terhadap kesihatan. Ayuh kita sama-sama semak kebaikannya.

Kaya Dengan Albumin

Seperti yang kita tahu, ikan toman mengandungi kandungan protein yang tinggi. Namun, ia juga mengandungi satu lagi khasiat protein yang penting untuk tubuh iaitu albumin.

Ia mempunyai fungsi yang penting dalam pembentukan sel darah putih serta kelancaran cecair dalam badan.

Individu yang kekurangan khasiat albumin pula lebih mudah terdedah kepada sakit atau keradangan tubuh.

Sumber Asid Lemak Omega-3

Seperti yang kita tahu, asid lemak omega-3 adalah nutrien yang penting bagi sistem perkembangan tubuh khususnya kesihatan jantung dan otak.

Kandungan asid lemak omega-3 yang tinggi dalam ikan toman juga dapat membantu mengurangkan tekanan darah, menurunkan tahap trigliserida, mengurangkan keradangan sendi dan membantu meningkatkan kesihatan otak.

Mempercepat Proses Penyembuhan Luka

Selain ikan haruan, ikan toman juga adalah pilihan ikan popular bagi pesakit yang ingin menyembuhkan luka pada kulit serta bagi mengurangi rasa sakit selepas pembedahan.

Kandungan albumin yang tinggi dalam ikan ini juga dilihat membantu dalam membaiki proses pertumbuhan semula sel dalam tubuh badan.

Mencegah Pembengkakan

Edema boleh berlaku disebabkan kehamilan, pengambilan ubat atau penyakit tertentu seperti masalah buah pinggang atau sakit jantung.

Pengambilan khasiat albumin yang optimum mungkin dapat membantu mengatasi masalah ini. Ia memainkan peranan penting dalam mengelakkan cecair terperangkap dalam tisu.

Jika albumin dalam tubuh tidak mencukupi, ia boleh mengakibatkan perkumpulan darah pada kawasan tertentu tubuh dan menyebabkan bengkak.

Tak sangka rupanya terdapat pelbagai manfaat kesihatan yang terkandung dalam ikan toman. Selain padat dengan khasiat seperti asid lemak omega-3 dan albumin, ia juga berpotensi untuk mencegah kebengkakan dan mempercepat proses penyembuhan luka.

Memang tak hairanlah mengapa ramai yang memilih ikan ini sebagai sumber protein harian.

Sumber : UNAIR News, medparkhospital.com, umpan.com, Facebook EXP Fishing

Baca Juga : Ikan Untuk Ibu Berpantang: 18 Jenis Ikan Berkhasiat Tinggi

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut