Siapa tak kenal dengan ikan patin? Ikan air tawar ini sering menjadi pilihan rakyat Malaysia dan cukup popular menerusi hidangan gulai tempoyak.
Rasa isinya yang lembut dan berlemak juga menjadikan ia sesuai untuk dimasak dalam pelbagai juadah lain seperti asam pedas, singgang dan sebagainya.
Di sebalik populariti ikan ini, sebenarnya ia juga merupakan sumber protein yang baik dan mampu memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan tubuh.
Ayuh kita semak kelebihannya bersama-sama.
Kandungan Nutrisi
Nutrisi yang terkandung dalam ikan ini mungkin berbeza mengikut jenis pemakanan serta persekitarannya.
Namun, 100 gram isi ikan patin dianggarkan mempunyai nutrisi seperti berikut :
- Protein (17 gram)
- Lemak (5.6 gram)
- Sodium (90mg)
- Vitamin B12 (25%)
- Selenium (26%)
- Fosforus (24%)
- Niacin / Vitamin B3 (42%)
Manfaat Ikan Patin Untuk Kesihatan
Bagus Untuk Kawalan Berat Badan
Ikan dengan nama saintifik Pangasius pangasius ini adalah antara sumber protein yang baik untuk diamalkan bagi yang ingin mengawal berat badan.
Bukan sahaja tinggi dengan pelbagai vitamin dan mineral penting, malah ikan ini juga bebas kolesterol dan tinggi kandungan lemak sihat.
Seperti yang kita tahu, ikan juga merupakan pilihan protein yang lebih baik daripada ayam atau daging kerana kandungan lemak jahat yang rendah.
Ini juga membuatkan ikan ini sesuai untuk dinikmati seisi keluarga termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Selain itu, kandungan proteinnya yang tinggi juga dapat membantu seseorang rasa lebih kenyang pada masa yang lama.
Sumber Asid Lemak Omega-3 yang Baik
Ikan patin merupakan antara ikan air tawar dengan khasiat omega-3 yang cukup tinggi iaitu kira-kira 31g seekor.
Omega-3 adalah lemak sihat yang sangat penting untuk tubuh dan mempunyai pelbagai fungsi penting termasuk melancarkan peredaran darah, kawalan kencing manis, kesihatan kulit serta membantu tumbesaran otak kanak-kanak.
Menyihatkan Jantung
Satu kajian daripada NIH turut mendapati pesakit jantung yang mengambil 1 gram omega-3 setiap hari dapat mengurangkan risiko serangan jantung atau strok kali kedua sebanyak 50%
Lemak sihat ini juga dapat membantu menurunkan kadar kolesterol dalam darah bagi mengelakkan masalah jantung.
Baik Untuk Kesihatan Mata dan Sistem Pertahanan Tubuh
Manfaat asid lemak omega-3 dan vitamin A yang terkandung dalam ikan ini juga menjadikan ia baik untuk mengekalkan kesihatan mata.
Pada masa yang sama, kebaikan DHA dalam omega-3 ini juga membantu dalam menguatkan sistem imuniti badan, mencegah alahan serta jangkitan.
Kaya Dengan Vitamin dan Mineral
Siapa sangka ikan yang sering dijadikan gulai tempoyak ini mampu membekalkan vitamin dan mineral penting untuk tubuh?
Selenium dapat membantu melindungi kerosakan sel dan berperanan dalam mengekalkan kesihatan tiroid.
Fosforus pula merupakan salah satu mineral penting bagi membina serta mengekalkan kesihatan tulang dan gigi.
Sementara itu, vitamin B3 penting bagi melancarkan perkembangan sel dalam tubuh manakala vitamin B12 pula berperanan untuk menghasilkan sel darah merah serta mempunyai fungsi penting dalam perkembangan otak dan metabolisma protein serta lemak.
Bukan sahaja lazat, rupanya ikan patin mempunyai pelbagai manfaat untuk dijadikan sebagai sumber protein harian.
Selepas ini, anda juga tak perlu membeli supplemen omega-3 lagi kerana ikan ini pun sudah mampu membekalkan lemak sihat yang diperlukan tubuh bagi kesihatan jantung, mata dan sistem pertahanan tubuh.
Ia juga padat dengan kebaikan mineral dan vitamin penting seperti fosforus, selenium, vitamin B dan sebagainya.
Memang sesuai untuk dinikmati seisi keluarga kerana kandungan lemaknya juga rendah.
Sumber : Facebook KKM, Medical News Today, sciencedirect.com
Baca Juga : Potensi Ikan Haruan Untuk Kesihatan Tubuh