Khasiat Ikan Bilis Untuk Kesihatan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Ikan bilis merupakan antara ramuan yang wajib ada bagi setiap rumah. Di Malaysia, ikan bilis biasanya didapati di pasar raya dan kedai runcit dalam bentuk kering serta mempunyai rasa yang masin.

Ini menjadikan ia sesuai sebagai penambah perisa bagi hidangan ringkas seperti nasi goreng, sambal tumis dan cucur.

Ikan Bilis in English

Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah nama ikan bilis dalam Bahasa Inggeris. Ia dikenali sebagai anchovies.

Di negara Barat, ikan ini lebih mudah didapati dalam bentuk segar. Selain dalam bentuk kering, ia juga sering dipasarkan dalam tin atau balang kaca (jar).  

Pada tahun 1990an, ikan bilis pernah menjadi topping pizza kegemaran ramai orang di negara Barat.

Namun, ia kini lebih sering dinikmati sebagai penambah perisa dalam hidangan salad, telur dan pasta.

ikan bilis
Sumber : blog.williams-sonoma.com

Kandungan Nutrisi

Walaupun saiznya kecil, namun ikan ini padat dengan kebaikan protein bagi membaiki tisu dalam tubuh, membina otot dan mampu meningkatkan metabolisma.

Selain itu, ikan bilis juga kaya dengan pelbagai nutrisi penting seperti :

  • Asid lemak omega-3
  • Niacin
  • Vitamin B12
  • Kalsium
  • Selenium
  • Potassium
  • Vitamin A

Khasiat Ikan Bilis Untuk Kesihatan Tubuh

Baik Untuk Kesihatan Jantung dan Mata

Ikan yang juga dikenali sebagai anchovies ini kaya dengan lemak asid oemga-3, iaitu komponen yang penting untuk kesihatan jantung.

Kajian mendapati ia juga mampu mengurangkan kadar trigliserida dalam darah, memperlahankan pertumbuhan plak dalam arteri, merendahkan tekanan darah serta berpotensi untuk mencegah strok.

Pada masa yang sama, beberapa kajian lain turut menunjukkan bahawa pengambilan diet yang tinggi khasiat omega-3 juga dapat mengurangkan risiko kerosakan pada makula (bahagian pusat retina pada mata).

ikan bilis

Melindungi Tiroid

Sebuah kajian menunjukkan bahawa selenium adalah sebahagian daripada enzim yang boleh mengaktifkan kelenjar tiroid.

Kajian lain juga mendapati kekurangan selenium dalam diet harian boleh mengakibatkan masalah tiroid.

Oleh itu, anda boleh jadikan ikan bilis sebagai sumber selenium untuk melengkapkan nutrisi harian seisi keluarga.

Baik Untuk Mencegah Alzheimer

Dalam sebuah kajian yang dilakukan oleh Harvard Medical School, individu yang mengambil makanan yang tinggi kandungan omega-3 mempunyai kadar protein beta-amyloid yang rendah.

Protein ini boleh menjadi salah satu punca kepada penyakit Alzheimer.

Kesimpulan

Secara umumnya, ikan ini boleh dinikmati oleh seisi keluarga atas khasiatnya yang tinggi.

Namun disebabkan kebanyakan ikan bilis boleh didapati dalam bentuk kering, kemungkinan besar ia mengandungi garam yang tinggi.

Seperti yang kita tahu, pengambilan garam atau sodium yang tinggi boleh mengakibatkan tekanan darah meningkat.

Oleh itu, individu dengan masalah kesihatan seperti kencing manis, sakit buah pinggang atau obesiti perlulah berhati-hati ketika mengambilnya.

Sekiranya anda ingin makan ikan bilis segar, jangan sesekali nikmatinya secara mentah kerana ia boleh mengundang risiko jangkitan parasit. Sebaiknya, masaklah ikan tersebut sepenuhnya sebelum makan.

Sumber : WebMD, Healthline

Baca Juga : Ikan Keli: Jenis Spesis, Kandungan Nutrisi & Cara Memasak

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut