Hari Asyura 2024 – Tarikh & Kelebihan Puasa 9,10,11 Muharam
Antara amalan sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam bulan Muharram adalah berpuasa pada 10 Muharram atau lebih dikenali dengan puasa ‘Asyura.
Tahukah anda apakah itu Hari Asyura dan bagaimanakah tatacara yang paling baik untuk melaksanakan puasa sunat ini?
Berikut dikongsikan lebih lanjut untuk makluman bersama.
Kelebihan Bulan Muharram
Di antara kelebihan bulan ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang berikut:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.
Surah al-Taubah (36)
Rasulullah S.A.W telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.
Riwayat al-Bukhari (184)
Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Tarikh Hari Asyura & Jadual Puasa Sunat Bulan Muharam 1445H / 2024
Puasa pada bulan Muharram adalah seafdhal puasa selepas berpuasa pada bulan Ramadhan kerana Muharram merupakan awal tahun Hijriah maka sangat digalakkan dibuka dengan amalan puasa yang merupakan amalan paling utama.
Bagi tahun 2024, tarikh Hari Asyura & Hari Tasu’a adalah seperti berikut:
- PUASA TASU’A : 9 Muharram = 17 Julai 2024 (Rabu)
- PUASA ASYURA : 10 Muharam = 18 Julai 2024 (Khamis)
- Puasa Hari Putih : 13, 14, 15 Muharam – 21 Julai, 22 Julai, 23 Julai 2024
1. Galakan Berpuasa Hari Asyura (10 Muharam)
Marilah kita memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Muharram.
Disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.
Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW :
أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.
Riwayat Muslim (1162)
2. Galakan Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram)
Abdullah bin Abbas RA meriwayatkan:
حِينَ صَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ» قَالَ: فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ، حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada Hari Asyura dan menyuruh umat Islam berpuasa pada Hari Asyura, para sahabat berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya ia merupakan hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Kristian. Rasulullah SAW pun bersabda: Tahun depan, insya-Allah kita akan berpuasa pada hari ke-9 bulan Muharram.
Ibn Abbas berkata: Tetapi pada tahun berikutnya, Rasulullah SAW telah wafat.
(Hadis Riwayat Muslim, no. 1134)
Contoh Amalan Sunat Hari Asyura
Memperbanyakkan doa:
Hari Asyura mempunyai banyak peristiwa penting yang berlaku pada Nabi terdahulu yang diselamatkan ALLAH oleh berbagai ujian. Antaranya:
1. Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
2. Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
3. Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
4. Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
Oleh itu ambillah peluang pada hari ini untuk berdoa memohon keselamatan dan apa sahaja yang diinginkan.
Berpuasa Sunat:
Nabi S.A.W pernah bersabda:
Dan puasa di hari ‘Asyura’ saya berharap kepada Allah agar dapat menghapuskan (dosa) setahun yang lalu.” (HR Muslim)
Sedekah:
Amalan lain yang juga besar keutamaannya adalah sedekah di hari Asyura . Dari hadis Abi Said Al-Khudhri bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang meluaskan belanja kepada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan meluaskan atasnya belanja selama setahun.”
BELANJA KELUARGA PADA HARI ASYURA – Dr Ahmad Sanusi
1. Esok merupakan Hari Asyura. Majlis Fatwa Mesir (Dar al-Ifta) mengeluarkan kenyataan bahawa harus bagi seseorang itu untuk berbelanja atau melapangkan (menggembirakan) ahli keluarganya pada Hari Asyura. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bayhaqi yang menyebutkan:
مَنْ وَسَّعَ عَلَى أَهْلِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللهُ عَلَى أَهْلِهِ طُولَ سَنَتِهِ
“Barangsiapa yang meluaskan (melapangkan – menggembirakan) ahli keluarganya pada Hari Asyura, maka Allah akan melapangkan bagi ahli keluarganya sepanjang tahun. (HR al-Bayhaqi, Ibn Abi Dunya dan al-Tabrani. Hadis ini dinilai sebagai daif (lemah) di sisi sarjana hadis)
2. Sekalipun hadis ini adalah daif, para ulama empat mazhab mengharuskan kita berlapang dan menggembirakan ahli keluarga pada hari Asyura. Al-Imam Ibn Abidin daripada Mazhab Hanafi membincangkan perkara ini lalu menukilkan kata-kata Jabir:
قَالَ جَابِرٌ: جَرَّبْته أَرْبَعِينَ عَامًا فَلَمْ يَتَخَلَّفْ
“Dan berkata Jabir: Aku telah melakukan perkara ini selama 40 tahun dan tidak pernah meninggalkannya (Radd al-Mhtar)
3. Manakala al-Imam al-Hattab al-Maliki dari Mazhab Maliki pula menyatakan:
يَنْبَغِي أَنْ يُوَسِّعَ عَلَى الْأَهْلِ فِيهِمَا -أي ليلة عاشوراء ويومها
“Seharusnya bagi seseorang itu melapangkan (memudahkan urusan atau menggembirakan) ahli keluarganya pada malam atau siang Hari Asyura. (Mawahib al-Jalil)
4. Manakala Sheikh Abd al-Hamid al-Shrwni dari Mazhab Syafi’i pula menjelaskan:
وَيُسَنُّ التَّوْسِعَةُ عَلَى الْعِيَالِ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ؛ لِيُوَسِّعَ اللهُ عَلَيْهِ السَّنَةَ كُلَّهَا كَمَا فِي الْحَدِيثِ الْحَسَنِ
“Dan disunatkan untuk melapangkan ahli keluarga pada Hari Asyura mudah-mudahan Allah melapangkan ahli keluarganya sepanjang tahun seperti yang disebutkan dalam hadis. (Hasyiah ‘Ala Tuhfah al-Muhtaj)
5. Manakala al-Imam al-Bhuti dari Mazhab Hanbali pula menukilkan pandangan Imam Ahmad dan Sufyan Ibn ‘Uyainah yang menyebutkan:
قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ: قَدْ جَرَّبْنَاهُ مُنْذُ خَمْسِينَ سَنَةً أَوْ سِتِّينَ فَمَا رَأَيْنَا إلَّا خَيْرًا
“Kata Ibn ‘Uyainah: Kami melakukannya selama 50 tahun atau 60 tahun, kami tidak melihatnya melainkan kebaikan.”
Niat Puasa Asyura & Tasu’a 2024
i) Niat Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram)
نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى
Maksud:
Sahaja aku puasa sunat Tasu’a kerana Allah Ta’ala.
ii) Niat Puasa Hari ‘Asyura (10 Muharram)
نويت صوم عشر سنة لله تعالى
Maksud:
Sahaja aku puasa sunat ‘Asyura kerana Allah Ta’ala.
Semoga apa yang dikongsi ini memberikan manfaat kepada kita semua dan selamat beramal.
Baca juga: Niat Gabung Puasa Ganti
ADAKAH PUASA 10 MUHARRAM PERLU DISERTAI DENGAN HARI SELEPASNYA? – Pejabat Mufti WP
Perintah Supaya Menyelisihi Yahudi
Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya. Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
Riwayat Ahmad (2154)
Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi S.A.W:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ
Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).
Riwayat Muslim (1134)
Demikian juga ketika Nabi S.A.W memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:
فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ
Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.
Riwayat Muslim (1134)
Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kita untuk dilakukan juga puasa sehari sebelum 10 Muharram ataupun sehari selepasnya dengan tujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi.
Pendapat Para Fuqaha
Berikut beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya.
Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:
- Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
- Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
- Berpuasa sehari dan selepasnya.
Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut:
- Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
- Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
- Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.
Ayuh kita rebut peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura. Semoga amalan berpuasa sunat Asyura akan menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu.
Semoga semua amalan kita semua diterima Allah SWT.