Keutamaan Bersedekah & Hadis Sahih Kelebihan Sedekah Bulan Ramadan
Bulan Ramadan adalah merupakan bulan istimewa di mana Allah melipat gandakan segala amal baik yang kita lakukan. Salah satu cara untuk meraih keuntungan besar dari bulan Ramadhan adalah melalui sedekah.
Umat Islam dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah pada bulan-bulan lain dan mempergiatkan lagi amalan bersedekah pada bulan Ramadan.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Kelebihan & Keistimewaan Puasa Ramadan – Hadis Sahih JAKIM
Keutamaan Bersedekah
Allah memuliakan hambaNya yang suka bersedekah. Terdapat banyak ganjaran yang menakjubkan bagi orang-orang yang gemar bersedekah.
“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (HR. Al Baihaqi, di shahihkan Al Albani dalam Shahihul Jami’, 1744)
Akhlak buruk tersebut ialah sifat bakhil/kedekut dan sifat suka meminta-minta. Kedua-duanya bukan akhlak seorang Mukmin. Akhlak seorang Mukmin ialah suka memberi.
Sabda Rasulullah SAW:
اليد العليا خير من اليد السفلى واليد العليا هي المنفقة واليد السفلى هي السائلة
“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta.” (HR. Bukhari no.1429, Muslim no.1033)
Sebagai umat Islam, kita wajib menjadikan Rasulullah SAW sebagai pedoman terbaik dalam melakukan kebaikan seperti bersedekah. Rasulullah SAW adalah seorang yang dermawan dan suka sangat bersedekah. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
Kebaikan Bersedekah
Terdapat banyak kebaikan bersedekah di bulan Ramadan, antaranya ialah:
1. Menghapuskan Dosa
Nabi Muhammad SAW bersabda:
والصدقة تطفىء الخطيئة كما تطفىء الماء النار
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.”
(HR. Tirmidzi, dishahihkan Al Albani dalam Shahih At Tirmidzi, 614)
Hadis ini jelas membuktikan bahawa sedekah itu dapat menghapuskan dosa. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan di mana segala amalan dilipatgandakan pahalanya. Namun perlu diingat, dosa yang dilakukan hendaklah disertakan dengan taubat.
2. Mendapat Jaminan Syurga
Sesiapa yang berpuasa kemudian bersedekah dan bangun untuk solat malam, Allah menjanjikan syurga untuknya. Ini berdasarkan sebuah hadis:
Rasulullah SAW bersabda:
إن في الجنة غرفا يرى ظاهرها من باطنها وباطنها من ظاهرها أعدها الله لمن ألان الكلام وأطعم الطعام وتابع الصيام وصلى بالليل والناس نيام
“Sesungguhnya di syurga terdapat ruangan-ruangan yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar. Allah menganugerahkannya kepada orang yang berkata baik, bersedekah makanan, berpuasa, dan solat dikala kebanyakan manusia tidur.”
(HR. At Tirmidzi no. 1984, Ibnu Hibban di Al Majruhin 1/317, dihasankan Ibnu Hajar Al Asqalani di Hidayatur Ruwah, 2/47, dihasankan Al Albani di Shahih At Targhib, 946)
3. Mendekatkan Diri Kepada Allah
Dengan memperbanyakkan sedekah kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Secara tidak langsung, ia menanamkan sifat tawaduk, rendah hati dan sedar diri bahawa apa yang kita miliki bukan hak kita sepenuhnya. Dan, apa yang kita dapati hari ini adalah hasil daripada pertolongan Allah bukan usaha kita semata-mata.
4. Mendapat Naungan Di Hari Akhirat
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menceritakan tentang 7 jenis manusia yang mendapat naungan dI hari yang ketika itu tidak ada naungan lain selain dari Allah, iaitu hari akhirat.
Salah satu jenis manusia yang mendapatkannya adalah:
رجل تصدق بصدقة فأخفاها، حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه
“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.”
(HR. Bukhari no. 1421)
5. Diberikan Kelapangan Hati
Sesiapa yang memberikan sedekah dengan ikhlas dan tanpa mengharapkan balas pasti akan mendapat ketenangan dan kelapangan hati. Selain itu, sedekah juga membuka pintu keberkatan dan pintu rezeki. Rezeki bukan sahaja dalam bentuk material, namun kelapangan hati juga salah satu rezeki yang tidak ternilai.
Hadis Sahih Kelebihan Sedekah Bulan Ramadan
Terdapat banyak hadis sahih mengenai kelebihan bersedekah di bulan Ramadan, antaranya ialah:
1. Rasulullah Menggandakan Amalan Sedekah Pada Bulan Ramadan
Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari Rahimahullah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Maksudnya: Adalah Nabi ﷺ seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi ﷺ pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah ﷺ menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas.
Riwayat Al-Bukhari (3554)
2. Sedekah Lebih Afdhal Pada Bulan Ramadan
Hadis riwayat Anas RA menyebutkan:
سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ: شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ . قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: Ditanyakan Nabi ﷺ puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?. Jawab Nabi ﷺ: Puasa di bulan Sya’ban untuk mengagungkan Ramadhan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi ﷺ: Sedekah di bulan Ramadhan.
Riwayat Al-Tirmizi (663) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini gharib.
3. Memberi Makan Orang Berbuka Puasa
Hadis Rasulullah ﷺ yang mana Baginda telah bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.
Riwayat Al-Tirmizi (807) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini hasan sahih
4. Naungan Untuk Orang Bersedekah
Ibn ‘Uqbah bin Amir meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Setiap orang akan berada dalam naungan sedekah yang pernah dikeluarkannya pada hari kiamat hingga nasibnya ditentukan bersama yang lainnya” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dan Al-Hakim).
5. Allah Menggandakan Kebaikan (Termasuk Sedekah) Pada Bulan Ramadan
Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:
“Setiap amalan manusia akan diganjarkan kebaikan semisalnya sehingga 700 kali ganda. Allah Azza Wa Jalla berfirman: ‘Kecuali puasa, karena puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.’”
(Hadis Riwayat Muslim)
Akhir kata, marilah kita bersama-sama menyemarakkan bulan Ramadan ini dengan sedekah dan amal kebaikan. Semoga ia menjadi saham untuk kita diakhirat kelak. InshaAllah.
SUMBER:
- BAYAN LINNAS SIRI KE-62: AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN. Mufti Wilayah Persekutuan
- BAYAN LINNAS SIRI KE-194: KONSEP SEDEKAH JARIAH MENJANA KESATUAN UMMAH. Mufti Wilayah Persekutuan
- Dahsyatnya Sedekah di Bulan Ramadhan. Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman