Hadis 40 – Pengenalan, Keistimewaan & Ringkasan Isi Kandungan

Hadis 40 - Pengenalan, Keistimewaan & Ringkasan Isi Kandungan
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Untuk pengetahuan anda, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memperkenalkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi sebagai modul pembelajaran di sekolah-sekolah kebangsaan. 

Program ini mensasarkan  guru dan murid beragama Islam di sebanyak 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, terdapat banyak persoalan mengenai Hadis 40 terutamanya bagi yang pertama kali mengetahui mengenai hadis ini. 

Oleh itu, berikut dikongsikan serba sedikit mengenai Hadis 40. 

BACA JUGA: Darah Istihadah: Maksud, Cara Membezakan, Punca Keluar & Hukum Ibadah

Pengenalan Hadis 40

Hadis 40 merujuk kepada himpunan empat puluh dua hadis Nabi Muhammad SAW oleh Imam Al-Nawawi. Hadis-hadis ini merangkumi pelbagai aspek iman, moraliti, dan tingkah laku dan sebagainya yang menjadi panduan dalam agama Islam. 

Imam al-Nawawi telah menghimpunkan sebanyak 42 hadis sahih yang sebahagian besarnya terdapat di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Beliau menghimpunkan hadis-hadis yang menjadi prinsip-prinsip asas agama dan memilih hadis-hadis yang disifatkan oleh para ulama sebagai separuh daripada Islam atau sepertiga Islam atau seumpamanya. 

Terdapat sebuah riwayat tentang kelebihan menghafal 40 hadis sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas:

مَنْ حَفِظَ عَلَى أُمَّتِي أَرْبَعِينَ حَدِيثًا مِنْ أَمْرِ دِينِهَا يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَقِيهًا عَالِمًا

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafaz untuk umatku 40 hadis berkenaan urusan agamanya, dia akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang faqih dan berilmu.”

>> Apa Itu Hadis?

Hadis adalah kata-kata dan jawapan Nabi Muhammad dalam menjawab pertanyaan umat Islam pada masa lampau. Hadis diinterpretasikan bersama dengan Al-Quran dan merupakan sumber penting dalam agama Islam. 

Berbeza dengan Al-Quran yang ditulis selama hidup Nabi Muhammad, hadis disampaikan secara lisan dan kemudian dirakam sebagai sejarah lisan berdasarkan apa yang didengar oleh mereka yang hidup pada masa Nabi.

Terdapat beberapa jenis hadis seperti hadis sahih, hadis hasan, hadis qudsi hadis palsu dan sebagainya. 

Tema Hadis 40

Tema yang disentuh dalam himpunan hadis 40 ini ialah berkaitan niat, ibadat, iman, ihsan, ketentuan takdir, halal, haram, nasihat, jihad, ketaatan, keyakinan, kasih sayang,  kehormatan diri, menghargai orang lain, akhlak mulia,  mengikut  sunnah, bersederhana, penghakiman,  mencegah  kemungkaran, persaudaraan  dan  taubat.  

Keistimewaan

Terdapat banyak keistimewaan Hadis 40 karya Imam al-Nawawi ini. Antara keistimewaannya ialah:

1. Mencakupi semua hadis berkaitan kehidupan manusia.

2. Selari dengan ajaran islam

3. Hadis-hadisnya menjadi asas kepada kaedah agama yang penting.

4. Hadis-hadis dalam kumpulan ini memiliki sanad (rantai perawi) yang kuat dan diakui oleh para ulama hadis. 

5. Salah satu sumber pengajaran yang paling popular dalam Islam. Hadis-hadis ini sering dipelajari dan diajarkan oleh para ulama dan pendidik Islam di seluruh dunia.

6. Terdapat penjelasan ringkas berkaitan setiap hadis untuk memberikan pemahaman tambahan tentang pesanan yang terkandung dalam hadis tersebut.

Ringkasan Isi Kandungan

  1. Hadis 1: Setiap amalan bergantung pada niat. Apa yang diniatkan, itulah yang akan kita dapat. Individu yang beramal dengan niat ikhlas kepada Allah akan dibalas berdasar apa yang diniatkannya.
  1. Hadis 2: Mengenai maksud Islam, iman dan ihsan dan tanda kiamat. 
  1. Hadis 3: Mengenai bagaimana Islam terbina di atas lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji di Baitullah jika berkemampuan.
  1. Hadis 4: Menceritakan tentang peringkat kejadian manusia dan penentuan rezeki, ajal, qada’ dan qadar selepas roh ditiupkan ke janin.
  1. Hadis 5: Menggalakkan umat Islam agar menjauhi amalan bid’ah, mereka-reka amalan baharu dalam urusan agama tanpa rujukan sumber sahih. 
  1. Hadis 6: Mengenai halal haram. Islam menyeru umatnya meninggalkan perkara syubhah (tidak pasti) kerana dibimbangi terjatuh kepada perkara haram. Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruhan anggota badan yang lain.
  1. Hadis 7: Menjelaskan Islam sebagai agama nasihat yang mengandungi ketaatan kepada Allah, Rasul-Nya, beriman serta beramal dengan kitab dan sunnah Rasul-Nya. Selain itu, tanggungjawab menasihati pemimpin dan membantu pemerintah dalam perkara yang wajib dibantu. Nasihat bagi kaum muslimin pula dengan menyeru kepada Allah, melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar.
  1. Hadis 8: Menyatakan keizinan memerangi golongan musyrikin Makkah yang memusuhi Islam dan orang yang memerangi umat Islam. Hadis ini juga bermaksud larangan memerangi atau menyakiti bukan Islam secara semberono.
  1. Hadis 9: Larangan umat Islam melakukan perkara haram dan galakan supaya melaksanakan arahan nabi dengan sedaya-upaya. Umat terdahulu dibinasakan kerana terlalu banyak menyoal dan perselisihan dengan nabi mereka.
  1. Hadis 10: Syariat Islam menganjurkan umatnya makan dan minum daripada sumber halal. lslam menuntut umatnya menjaga diri dari semua aspek; kebersihan diri dan hati, keelokan berpakaian, kebersihan amalan perbuatan juga budi pekerti.
  1. Hadis 11: Rasulullah menyeru umatnya meninggalkan perkara meragukan, sebaliknya berpegang pada sesuatu yang yakin.Keyakinan adalah asas amalan dalam lslam. Amalan yang dilakukan dengan yakin dikira sah dan diberikan ganjaran pahala. Sebaliknya amalan yang dilakukan secara ragu-ragu, tidak memadai dan mesti diulangi.
  1. Hadis 12: Menyeru seseorang agar meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengan keperluannya atau perbuatan sia-sia, sama ada urusan dunia atau akhirat. Seseorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.
  1. Hadis 13: Kasih sayang dan persaudaraan adalah antara tuntutan iman. lman seseorang mukmin tidak akan sempurna sekiranya dia ada menyimpan perasaan benci terhadap mana-mana saudaranya yang seagama. Hadis ini menyeru kepada individu agar mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai diri sendiri kerana ia sebagai tanda kesempurnaan iman.
  1. Hadis 14: Memberi amaran mengenai haram menumpahkan darah seseorang kecuali tiga jenis pesalah syariah iaitu janda atau duda yang berzina, pembunuh dan individu murtad. Menurut hukum Allah seorang mukmin adalah terjamin keselamatan nyawanya, darahnya dan harta bendanya daripada sebarang pencerobohan dan kezaliman. Apabila berlaku pencerobohan terhadap darah, harta dan maruahnya dia berhak menuntut balas mengikut peruntukan syara’.
  1. Hadis 15: Hadis ini menerangkan beberapa tuntutan lman, antaranya ialah berkata hanya perkara benar dan berfaedah, kurang bercakap, menghormati jiran tetangga dan memuliakan tetamu.
  1. Hadis 16: Hadis ini menerangkan betapa sifat marah itu perlu dihindari oleh setiap mukmin, kerana marah membawa banyak keburukan terhadap diri sendiri juga terhadap orang lain.
  1. Hadis 17: Menggalakkan bersikap ihsan kepada semua makhluk termasuk haiwan korban dengan menajamkan mata pisau.
  1. Hadis 18: Taqwa dituntut walaupun di mana seorang mukmin berada, sama ada di khalayak ramai mahupun di ketika keseorangan. lni adalah tanda iman dan taqwa.
  1. Hadis 19: Pesanan Rasulullah kepada sahabat Abdullah Abbas agar memperkukuh iman dengan mematuhi dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang mukmin mesti menjaga dan memelihara hak kewajipan terhadap Allah setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi ketika dia dalam kesenangan. Dengan ini dia akan dijaga dan dipelihara Allah sepanjang masa, terutamanya ketika ditimpa kesusahan hidup.
  1. Hadis 20: Malu adalah salah satu sifat utama seorang mukmin kerana ia adalah sebahagian dari lman. Malu tidak menghasilkan sesuatu kecuali kebaikan. la menjadi perisai daripada melakukan banyak perkara jahat.
  1. Hadis 21: Hadis menuntut agar seorang mukmin sentiasa mengambil berat soal lman, tauhid dan aqidahnya, selalu memperbaharui imannya kepada Allah, dan istiqamah atas jalan yang diperintahkan oleh-Nya.
  1. Hadis 22: Hadis menerangkan betapa apabila seorang mukmin benar-benar menunaikan segala tanggungjawab agama yang fardhu dengan sempurna, menghalalkan perkara yang halal dan mengharamkan perkara yang haram, dia akan masuk syurga walaupun dia tidak melakukan amalan- amalan sunat yang lain. lni adalah kemurahan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hambaNya.
  1. Hadis 23: Menyatakan tentang kelebihan amalan soleh seperti bersuci, zikir (bertasbih, bertahmid serta bertakbir), mengerjakan solat dan bersedekah.
  1. Hadis 24: Hadis panjang yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Dzar al-Ghifari mengenai keluasan kurniaan Allah kepada hamba-Nya.
  1. Hadis 25: Mengenai galakan Rasulullah supaya sekumpulan sahabatnya berlumba-lumba dan bersegera melakukan kebaikan termasuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir yang dianggap sedekah.
  1. Hadis 26: Hadis ini menerangkan bahawa setiap amal perbuatan mukmin walaupun kadang- kadang dianggap biasa atau sedikit, akan mendapat pahala sedekah.
  1. Hadis 27: Mengenai Rasulullah menjawab pertanyaan sahabat tentang perkara baik dan dosa. Baginda berkata kebaikan menenangkan jiwa tetapi dosa meresahkannya.
  1. Hadis 28: Rasulullah SAW berwasiat dalam hadis ini beberapa perkara penting, antaranya; supaya bertaqwa kepada Allah SWT, patuh dan taat kepada pemerintah biarpun dia adalah orang yang berasal dari keturunan bawahan atau hamba ‘abdi, kerana yang penting apa yang diperintahkan, bukan orang yang memerintah. Serta, mengikut sunnah Nabi dan menjauhi bid’ah.
  1. Hadis 29: Berdasarkan hadis ini, amalan yang boleh memasukkan seseorang hamba ke dalam syurga ialah menunaikan rukun-rukun lslam, iaitu benar-benar beriman kepada Allah tanpa syirik dan beriman kepada Rasulullah SAW, sembahyang, zakat, puasa Ramadhan dan ibadat haji.
  1. Hadis 30: Berkaitan larangan mengabaikan syariat Allah yang difardukan dan haram melanggar batasan.
  1. Hadis 31: Pesanan Rasulullah kepada seorang sahabat agar mengamalkan sikap zuhud yang mengundang cinta Allah dan manusia kepada seseorang.
  1. Hadis 32: Hadis ini menjelaskan suatu prinsip utama dalam kehidupan lslam, iaitu jangan mencari mudharat dan menyebabkan kemudharatan terhadap orang lain. la adalah suatu prinsip yang agung demi kesejahteraan umat manusia semuanya sama ada muslim atau bukan muslim.
  1. Hadis 33: Hadis ini menerangkan sikap dan tabiat buruk kebanyakan manusia di mana mereka gemar mendakwa sesuatu yang bukan milik mereka. Sekiranya semua dakwaan mereka dituruti, nescaya akan kecohlah sistem kehidupan manusia. Secara tidak langsung ia membayangkan bahawa banyak persengketaan, pergaduhan malah pembunuhan dan peperangan yang berlaku di kalangan manusia membabitkan soal harta benda dan kekayaan.
  1. Hadis 34: Rasulullah mengingatkan tentang kewajipan cegah kemungkaran melalui tiga tahap kekuatan iman: tangan (kuasa), lisan (teguran) dan hati (dianggap selemah-lemah iman).
  1. Hadis 35: Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.
  1. Hadis 36: Hadis ini menganjurkan sikap tolong menolong, bantu membantu dan saling memperkuat antara satu sama lain.
  1. Hadis 37: Menjelaskan sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang amat adil lagi amat pemurah. Dia membalas satu perbuatan baik dengan sepuluh kebajikan dan hanya membalas satu maksiat dengan satu dosa. Satu kebajikan yang terlintas di hati seseorang tanpa dilaksanakan, Allah tetap mengurniakannya satu pahala, sedangkan kalau seseorang berniat mahu melakukan maksiat, dia tidak akan diberi dosa sehingga dia benar-benar melaksanakan lintasan dan niat hatinya itu.
  1. Hadis 38: Kemuliaan para wali Allah dan kelebihan mereka. Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan fardhu yang Dia fardhukan ke atas hamba-hambaNya.
  1. Hadis 39: Hadis ini menjelaskan betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kesian Allah SWT terhadap hambaNya. Dia hanya mempertanggungjawabkan mereka dosa yang dilakukan secara sedar, sengaja dan dengan kemahuan sendiri tanpa paksaan.
  1. Hadis 40: Rasulullah menasihati umat Islam agar memanfaatkan peluang semasa hidup tanpa tabiat menangguh-nangguhkan amalan kebaikan.
  1. Hadis 41: Hadis ini menerangkan salah satu daripada tuntutan lman, iaitu mestilah hawa nafsunya tunduk dan menurut ajaran yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Sekiranya dia mengutamakan hawa nafsunya daripada mengamalkan ajaran lslam, mencintai maksiat daripada amal kebajikan, maka lmannya tidak sempurna.
  1. Hadis 42: Imam Nawawi mengakhiri susunan hadis dengan mengkhabarkan pintu keampunan Allah sangat luas, maka Dia pasti akan mengampunkannya. Hadis ini menjelaskan betapa besar dan luasnya Rahmat dan belas kesian Allah SWT yang tidak terbatas bagaikan lautan tidak berpantai.

Muat Turun Hadis 40

Sumber:

  1. BAYAN LINNAS SIRI KE-272: HADITH 40 IMAM NAWAWI MENEKANKAN KESAHIHAN AKIDAH DAN KEHARMONIAN KEHIDUPAN – Mufti Wilayah Persekutuan
  2. #34 Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Hadis 40? – DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
  3. The Forty Hadith of Imam Nawawi – https://40hadithnawawi.com/ 
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut