Pasti ramai yang tahu bahawa gunung tertinggi di dunia adalah Gunung Everest yang terletak di antara Nepal dan Tibet.
Pada ketinggian 8.849 meter, gunung yang terletak di Banjaran Himalaya itu adalah sebahagian daripada The Seven Summits. Ini merupakan gelaran bagi 7 gunung tertinggi di 7 benua dunia.
Menawan kesemua 7 gunung ini merupakan impian terbesar bagi penggemar sukan mendaki.
Nama Gelaran Gunung Everest
Seperti kebanyakan gunung yang terkenal di dunia, gunung tertinggi di dunia ini juga mempunyai nama gelaran yang berbeza bagi orang tempatan.
Dalam kalangan orang Tibet, gunung Everest dikenali sebagai Chomolungma yang bermaksud “Dewi Ibu Dunia” atau “Dewi Lembah”.
Dalam Bahasa Sanskrit, ia dikenali dengan nama Sagarmatha yang bermaksud “Puncak Syurga”.
Sebelumnya dikenali sebagai Puncak XV, gunung tertinggi di dunia ini kemudiannya dinamakan semula sebagai Gunung Everest pada tahun 1865.
Nama ini diambil daripada seorang pegawai juruukur British yang berkhidmat di India pada 1830 hingga 1843 bernama Sir George Everest.
Puncak Everest ditutupi oleh salji setebal 1.5 hingga 6 meter. Paras salji di puncak adalah tertinggi pada September iaitu selepas musim monsoon dan terendah pada bulan Mei.
Cerun dan puncak tertinggi gunung ini terletak sangat tinggi di atmosfera bumi sehinggakan kadar oksigen yang terdapat di kawasan tersebut hanyalah satu pertiga daripada yang ada di paras laut.
Kekurangan oksigen, angin yang kuat dan cuaca yang sangat rendah membuatkan kawasan ini tidak sesuai untuk menjadi habitat tumbuhan dan haiwan.
Berapa Ketinggian Gunung Tertinggi di Dunia?
Disebabkan beberapa faktor seperti paras salji, biasan cahaya dan penyelewengan graviti, ketinggian gunung Everest sering menjadi perdebatan dalam kalangan pengkaji selama bertahun-tahun.
Ramai pengkaji dari serata negara telah mencuba pelbagai teknik untuk mengukur ketinggian yang tepat bagi gunung ini.
Sehinggalah pada Disember 2020, China dan Nepal telah mencapai persetujuan dan mengisytiharkan ketinggian gunung Everest secara rasmi iaitu 29,031.69 kaki (8,848.86 meter).
Ketinggian terbaharu ini telah diambil menggunakan pantauan data yang dilakukan oleh Nepal dan China dengan bantuan GPS dan teknologi navigasi BeiDou serta laser theodolites.
Kaedah ini sekaligus telah diterima oleh pakar dari pelbagai cabang bidang kartografi dan geodesi termasuk Persatuan National Geographic.
Orang Malaysia Menakluk Gunung Everest
Sejak tahun 1953, ribuan ekspedisi dari seluruh negara telah mencuba mendaki gunung itu. Bukan mudah untuk menakluk gunung tertinggi di dunia itu.
Selain terdedah kepada cabaran cuaca ekstrim dan kadar oksigen yang terhad, mereka juga perlu melalui pelbagai ujian fizikal selama berbulan-bulan sebelum memulakan ekspedisi pendakian Everest.
Ada juga yang memakan masa bertahun sebelum mampu mencapai puncak tertinggi dunia itu.
Namun, beberapa pendaki tempatan yang hebat dari negara kita telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga berupaya untuk mencapai kejayaan di mata dunia.
2 rakyat Malaysia pertama yang melakar sejarah menakluk puncak gunung Everest adalah Datuk M Magendran dan Datuk N Mohandas pada 23 Mei 1997.
Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin dan temannya Ahmad Redzuan Rozali merupakan rakyat ketiga dan keempat berjaya menjejak puncak Everest pada 2004.
Antara pendaki Malaysia yang turut berjaya menawan puncak Everest adalah :
- Allahyarham Idris Said (Ekspedisi Merdeka De’Everest 2007)
- Ahmad Reduan Rozali (Ekspedisi Merdeka De’Everest 2007)
- Ahmad Fakhri Abu Samah (Ekspedisi Merdeka De’Everest 2007)
- Marina Ahmad (Ekspedisi Merdeka De’Everest 2007) (wanita Malaysia pertama mendaki puncak Gunung Everest)
- Muhammad Fauzan Hasan (Ekspedisi Merdeka De’Everest 2007)
- Mohd Rafi Kori (Ekspedisi Merdeka De’Everest 2007)
- Mohd Nasuha Shamsuddin (2013) (rakyat Malaysia termuda mendaki Gunung Everest)
- Muhd Hafizudin Ibrahim( 2013)
- Zainudin Lot (2013)
- Myrza Fasha Md Hamyrudin (2013)
- Muhamad Ilaham Ishak (2013)
- Siti Hanisah Sharudin (wanita termuda mendaki Gunung Everest) (2013)
- N. Elanghovan (rakyat Malaysia tertua mendaki puncak Gunung Everest, 2022)
- Muhammad Hawari (2023) (pendaki OKU pertama menawan puncak Everest)
- RJ Nagarajan (2023)
Meskipun ada yang tumpas menawan gunung tertinggi di dunia ini, namun puncak Everest tetap menjadi tujuan utama ramai pendaki dari seluruh dunia.
Gunung ini juga menjadi simbol inspirasi dan kecekalan seseorang dalam mengharungi pelbagai cabaran demi menikmati manisnya kejayaan.
Sumber : Sinar, National Geographic, Harian Metro, Free Malaysia Today, Kosmo!, kln.gov.my, Astro Awani, Britannica
Baca Juga : Gunung Kinabalu: Persiapan, Harga Permit, Porter & Tips Mendaki