Falsafah Pendidikan Kebangsaan: Matlamat & Sejarah

Sistem pendidikan negara adalah bertunjangkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Wujudnya falsafah ini adalah hasil daripada revolusi dan pembaharuan berterusan sistem pendidikan yang dijalankan di Malaysia semenjak dari zaman kolonialisme British sehingga sekarang.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah seperti berikut:

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan untuk mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang terhadap kaharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan dibentuk sebaagi asas kepada sistem pendidikan di Malaysia untuk menyokong usaha pembangunan insan dalam mendidik rakyat secara seimbang dan holistik.

Oleh kerana itulah, semua institusi pendidikan perlu melaksanakan segala aspek berkaitan pendidikan berdasarkan falsafah ini.

Hal ini adalah untuk memastikan semua dasar dan pelaksanaan sistem pendidikan kita akan berada dalam landasan yang sama seperti yang ditetapkan dalam falsafah tersebut.

Sejarah Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Sebelum pembentukan Malaysia, institusi pendidikan telah lama wujud di Tanah Melayu namun sistem pendidikan yang dilaksanakan adalah berbentuk tidak formal seperti sekolah pondok dan madrasah.

Namun, semasa zaman kolonialisme, dasar pendidikan tidak diberi penekanan oleh pihak British berbanding dasar ekonomi.

Sekolah aliran Inggeris diwujudkan bagi kumpulan elit dan aliran melayu dilaksanakan untuk golongan bawahan.

Dengan pengenalan dasar “laisses-faire,” sekolah aliran vernakular telah mula tumbuh dengan pesat.

Pertambahan sekolah yang berlainan aliran telah mengakibatkan pihak British tidak dapat menyeragamkan sistem pendidikan di Tanah Melayu.

Apabila hampir dengan kemerdekaan, beberapa pemimpin politik termasuk Tunku Abdul Rahman menyedari keperluan mengubah sistem pendidikan menjadi lebih seragam.

Terdapat beberapa jawatankuasa telah diwujudkan bagi menyemak sistem pendidikan yang wujud pada masa itu. Beberapa laporan telah dihasilkan antaranya Laporan Barnes (1951), Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran (1952) dan Laporan Razak (1956).

Laporan Barnes (1951) diwujudkan bagi menyemak dan menyelidik pendidikan kaum Melayu. I

anya mencadangkan dua jenis sistem sekolah ditubuhkan menggunakan medium bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai pengantar serta sekolah vernakular ditukar beransur-ansur sebagai sekolah kebangsaan manakala hasil dari laporan Fenn Wu pada tahun 1951 pula mengusulkan cadangan sekolah vernakular dijalankan dengan mengaplikasikan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Tamil dan Cina.

Ordinan Pelajaran (1952) pula mengusulkan cadangan mewujudkan sistem persekolahan kebangsaan dan menolak sistem vernakular namun ordinan ini tidak dilaksanakan disebabkan darurat dan kekurangan sumber kewangan pada ketika itu.

Kemudian, pada tahun 1956, Tun Abdul Razak sebagai Menteri Pelajaran telah mengetuai satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pelajaran 1956 atau Penyata Razak 1956 yang bertujuan bagi membentuk semula sistem pendidikan dengan mengaplikasikan kurikulum dan sistem pembelajaran yang selaras sesuai dengan masyarakat berbilang kaum serta bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar dan bahasa kebangsaan.

Seterusnya Ordinan Pelajaran 1957 dikuatkuasakan berdasarkan Laporan Razak (1956) yang mengkhususkan kepada perpaduan dan menjadi tunjang Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sistem pendidikan diperkemaskan melalui Penyata Rahman Talib (1960) yang diperakukan dalam Akta Pelajaran 1961 telah menggariskan Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar, sistem peperiksaan yang sama di semua peringkat persekolahan, menekankan subjek keagamaan dan Moral serta penekanan keperluan tenaga mahir melalui pendidikan Teknik dan Vokasional.

Kemudiannya, Akta Pelajaran 1961 adalah asas kepada pembangunan Falsafah Pendidikan Negara (FPN).

Namun begitu ianya tidak secara meluas dan sesuai dengan zaman pembangunan negara pada masa itu.

Pada tahun 1970, rentetan peristiwa 13 Mei 1969, wujud desakan untuk membina perpaduan dalam kalangan rakyat sehingga terhasilnya Rukun Negara yang menjadi tonggak sistem pendidikan.

Selepas itu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Bagi aspek pendidikan, berdasarkan perubahan dasar dan keutamaan kerajaan pada September 1974, satu Jawatankuasa Kabinet diwujudkan bagi mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan bermatlamat untuk mengkaji kesan sistem pelajaran terhadap keperluan tenaga rakyat serta memastikan sistem pelajaran dapat menghasilkan masyarakat yang bersatu, berdisiplin dan terlatih.

Pada tahun 1979, laporan ini diterbitkan dan dipanggil sebagai Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979.

Kesan daripada Laporan Jawatankuasa Kabinet tersebut, satu pindaan terhadap dasar pendidikan negara telah dilakukan.

Pindaan ini kemudiannya menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Laporan Kabinet 1979 ini juga merupakan permulaan ke arah pembentukan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang lebih jelas.

Dengan terbentuknya FPN, sistem pendidikan negara menjadi lebih teratur dan sistematik selepas diumumkan secara rasmi pada tahun 1988.

Penukaran nama FPN kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dilaksanakan pada tahun 1996 dan kekal sehingga hari ini.

Unsur Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Terdapat 4 unsur utama di dalam falsafah ini iaitu:

  • Intelek
  • Jasmani
  • Rohani
  • Emosi

Falsafah ini bertujuan melahirkan insan yang seimbang dan harmonis melalui:

  • Ilmu pengetahuan dan akhlak mulia
  • Tanggungjawab dan sumbangan kepada masyarakat
  • Kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan

Sumber: https://www.moe.gov.my/index.php/falsafah-pendidikan-kebangsaan

Bantu kami share artikel ini: