Bagi murid yang ingin mendapatkan idea dan contoh karangan faedah amalan menabung, anda boleh merujuk melalui isi dan contoh yang dikemukakan di bawah.
Ini dapat memberikan gambaran terutamanya untuk menjawab soalan peperiksaan penulisan Bahasa Melayu.
Isi Penting Karangan
Isi penting yang boleh digunakan di dalam karangan faedah amalan menabung adalah seperti berikut:
1. Melatih Supaya Berjimat Cermat
- Mengelakkan diri dari melakukan pembaziran.
- Melatih diri sentiasa beringat.
- Agama sendiri melarang melakukan pembaziran dan menuntut kita sentiasa menabung untuk masa hadapan.
2. Mempunyai Wang Simpanan Pada Masa Hadapan atau Sewaktu Kecemasan
- Kita sendiri tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
- Kita tidak akan berasa bimbang apabila sesuatu musibah jika mempunyai tabungan.
3. Bijak Mengawal Urusan Kewangan
- Amalan menabung haruslah dimasukkan dalam pengurusan kewangan.
- Menabung sedikit dahulu sebelum berbelanja.
- Walaupun kadang kala kita berasa amat payah untuk berbuat demikian tetapi dengan keazaman yang kuat pasti boleh.
4. Mengawal Inflasi
- Jika tidak menabung, maka wang akan memasuki pasaran dengan banyaknya.
- Ia akan meningkatkan harga barangan di pasaran.
- Inflasi akan menjejaskan ekonomi negara.
5. Memperkukuh Kedudukan Bank Negara
- Penyimpanan wang di bank akan mengakibatkan bank boleh menjalankan aktiviti perniagaan dan sebagainya.
- Pihak bank pula akan mendapat keuntungan melalui skim pinjaman yang diwujudkan.
Nak ajar anak-anak menabung? Jom belikan Tabung Tong Gas Duit Syiling Aircond Colour Hitam – Ada Pintu Dan Kunci !
Contoh Karangan Faedah Amalan Menabung
i) PENDAHULUAN
Pepatah Melayu ada mengatakan sehari selembar benang lama-lama menjadi kain. Peribahasa ini bermaksud jika kita melakukan sesuatu itu sedikit demi sedikit, lama-kelamaan sesuatu yang kita lakukan itu menjadi banyak. Secara tersiratnya, peribahasa ini mengajak masyarakat kita mengamalkan sikap suka menabung. Malah kerajaan juga telah melancarkan kempen menabung menjamin masa depan dalam usaha menggalakkan masyarakat menabung untuk masa hadapan.
ii) ISI 1: MELATIH SUPAYA SENTIASA BERJIMAT CERMAT
Hakikatnya amalan menabung ini mempunyai faedah-faedah yang tidak terkira banyaknya. Antaranya ialah amalan menabung ini dapat melatih diri kita supaya sentiasa berjimat cermat. Sikap berjimat cermat merupakan sikap yang amat terpuji kerana ia dapat mengelakkan diri dari melakukan pembaziran. Selain itu amalan ini dapat melatih diri sentiasa beringat dan sikap ini wajar ditanam dalam setiap diri individu sejak kecil lagi. Pepatah “ingat sementara sebelum kena, jimat sementara belum habis” wajar dijadikan iktibar dalam kehidupan kita. Malah, dalam agama sendiri melarang kita melakukan pembaziran dan menuntut kita sentiasa menabung untuk masa hadapan. Jelaslah sikap suka menabung haruslah dijadikan amalan hidup setiap masyarakat di Malaysia.
iii) ISI 2: MEMPUNYAI WANG SIMPANAN PADA MASA HADAPAN ATAU SEWAKTU KECEMASAN
Melalui amalan menabung ini juga, kita akan mempunyai wang simpanan yang akan kita gunakan pada masa hadapan atau sewaktu kecemasan. Ungkapan “sediakan payung sebelum hujan” amat sesuai untuk digunakan dalam konteks ini. Hal ini disebabkan kita sendiri tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan seperti ditimpa musibah atau penyakit. Sekiranya kita mempunyai tabungan yang cukup, kita tidak akan berasa bimbang apabila sesuatu musibah menimpa kita. Oleh itu, adanya wang simpanan tersebut akan menolong kita untuk menyelesaikan masalah dan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan.
iv) ISI 3: BIJAK MENGAWAL URUSAN KEWANGAN
Aktiviti menabung juga menggambarkan betapa bijaknya kita dalam mengawal urusan kewangan. Kita sepatutnya bertindak dengan bijak dalam menguruskan kewangan dan amalan menabung ini haruslah dimasukkan dalam pengurusan kewangan kita. Kita sepatutnya menabung sedikit dahulu sebelum berbelanja agar kita sentiasa menyimpan walaupun sedikit. Walaupun kadang kala kita berasa amat payah untuk berbuat demikian tetapi dengan keazaman yang kuat kita pasti boleh melakukannya seperti pepatah “alah bisa tegal biasa.”
v) ISI 4: MENGAWAL INFLASI
Faedah yang seterusnya daripada amalan menabung ini ialah dapat mengawal inflasi daripada berlaku. Hal ini berlaku apabila kita tidak mengamalkan sikap suka menabung, maka wang akan memasuki pasaran dengan banyaknya. Sekiranya keadaan ini berlaku, ia akan meningkatkan harga barangan di pasaran. InfIasi bermaksud apabila berlaku lebihan wang di pasaran berbanding barangan. Sekiranya inflasi berlaku di negera kita, ini sedikit sebanyak akan menjejaskan ekonomi negara. Oleh itu rakyat haruslah sanggup berkorban demi negara agar ekonomi negara akan sentiasa stabil dan makmur.
vi) ISI 5: MEMPERKUKUH KEDUDUKAN BANK NEGARA
Amalan menabung bukan sahaja membawa faedah dalam diri individu dan masyarakat malah ia juga memberi impak yang besar kepada institusi kewangan negara. Ini dapat dilihat apabila aktiviti menabung akan memperkukuh kedudukan bank di negara kita. Apabila kita menyimpan wang di bank, wang ini dapat digunakan oleh pihak lain bagi menjalankan aktiviti perniagaan dan sebagainya melalui pinjaman yang diberikan. Oleh itu, secara tidak langsung ini akan dapat menjana pertumbuhan ekonomi kita. Manakala pihak bank pula akan mendapat keuntungan kerana mereka memperoleh laba daripada skim pinjaman yang diwujudkan.
vii) PENUTUP
Tuntasnya amalan menabung merupakan amalan yang baik dan sangat dituntut oleh semua agama. Amalan ini perlulah diterapkan kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia melalui kempen dan sebagainya. Kata-kata hikmat seperti ‘Menabung Mencerahkan Masa Depan’ hendaklah menjadi ikutan dan pedoman buat semua rakyat Malaysia.